|
GUNUNG Kinabalu sememangnya sinonim dengan negeri Sabah. Dengan ketinggian 4,095 meter, ia diiktiraf gunung kelima tertinggi di Asia Tenggara selepas Hkakabo Razi di Myanmar (5,881 meter), Puncak Jaya (4,884 meter), Puncak Trikora (4,730 meter) dan Puncak Mandala (4,700 meter) di Indonesia.
Digelar Aki Nabalu dalam bahasa Kadazandusun yang bermaksud Gunung Nenek Moyang, ia menyimpan pelbagai kisah mistik dan legenda tempatan yang terus menjadi bualan sehingga kini.
Popularitinya menyebabkan saban tahun ia sentiasa menjadi tumpuan pengunjung dan pendaki dari dalam dan luar negara.
Tarikan gunung itu bukan sahaja terletak kepada keindahan flora dan faunanya yang masih kekal terpelihara, malah sajian panorama yang ditawarkan dari puncaknya.
Penulis mengakui sudah lama menyimpan angan-angan untuk menakluk puncak Gunung Kinabalu sebelum ini.
Lebih-lebih lagi sudah 10 tahun ‘menggantung kasut’ selepas kali terakhir melakukan pendakian ke puncak Gunung Tahan di Pahang ketika menuntut di universiti dahulu.
Justeru, tidak hairanlah pelawaan Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) untuk menyertai Mount Kinabalu Challenge di Sabah baru-baru ini disambut dengan tangan terbuka.
Ekspedisi yang julung kali diadakan itu disertai kira-kira 40 orang kakitangan. Turut serta dalam ekspedisi kali itu ialah Ketua Pegawai Operasi BPMB, Jamaluddin Nor Mohamad, Ketua Pegawai Kredit BPMB, Abu Hurairah Bahari dan Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan, Abdul Hanif Abu Bakar.
Kami tiba di Kota Kinabalu pada 2 Disember dan sempat bersiar-siar di sekitar bandar raya tersebut.
Seterusnya, tepat jam dua petang, bas yang dinaiki kemudian bertolak ke Taman Kinabalu di Kundasang.
Gerimis petang menyambut ketibaan anggota ekspedisi. Selesai urusan pendaftaran, kami dibawa ke calet untuk berehat dan melepaskan lelah setelah mengharungi perjalanan jauh.
Tatkala enak menikmati hidangan makan malam di kafe, penulis diberitahu oleh ketua ekspedisi, Arfian Yusof, masa tiga bulan diambil bagi memastikan tahap kecergasan dan kesihatan setiap peserta berada pada tahap terbaik.
Katanya, selain latihan kecergasan dua hingga tiga kali seminggu, pihaknya turut mengadakan aktiviti seperti menjelajah kawasan di sekitar Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan mendaki Gunung Nuang.
“Setiap modul latihan diselia dengan terperinci dan mengambil kira faktor umur dan kesihatan peserta.
“Lagipun, sebahagian besar yang terlibat dalam ekspedisi ini masih baharu dalam aktiviti mendaki, pastinya kesemua elemen ini penting bagi meningkatkan stamina serta mengurangkan impak kecederaan,” ujarnya.
Keesokan harinya, tepat pukul lapan pagi, kami sudah berkumpul di Timpohon Gate, laluan utama pendaki ke Gunung Kinabalu.
“Hari ini kamu semua akan berjalan sejauh enam kilometer sehingga ke Laban Rata. Jika cuaca baik, saya jangkakan kita akan sampai di sana sekitar pukul 3 atau 4 petang nanti,” kata ketua penunjuk arah, Gohimin Gohutung, 65.
Semangat mendaki
Selepas membaca doa, kesemua peserta ekspedisi memulakan pendakian dengan semangat yang membara.
Penat. Itu sudah pasti, apatah lagi apabila melalui laluan curam yang berliku-liku di depan mata.
Mujurlah, kehadiran pendaki solo, Mohd. Noor Mat Amin yang turut sama menyertai ekspedisi itu sebagai latihan misi rekod dunianya yang akan datang menjadi penyuntik semangat kepada penulis dan peserta yang lain.
Sepanjang pendakian, terdapat beberapa pondok rehat yang tersedia. Antaranya ialah Pondok Kandis, Pondok Ubah, Pondok Lowii, Pondok Villosa dan Pondok Paka.
Menariknya, pendaki bukan sekadar boleh berehat malah boleh melepaskan ‘hajat’ masing-masing kerana ia lengkap dengan kemudahan tandas awam. Paip air juga tersedia untuk menghilangkan dahaga.
Semakin tinggi pendakian, hutan tebal yang pada mulanya menghiasi kiri dan kanan trek semakin berkurangan. Pemandangan itu digantikan dengan pokok-pokok renek dan bonzai.
“Wah cantiknya pemandangan di sini. Terasa macam dalam filem Lords of The Rings pula. Nak bergambarlah,” kata seorang pendaki kali pertama, Suhailah Shamsudin, 27, dari Ampang, Kuala Lumpur.
Biarpun ada yang kurang sihat, namun kesemua peserta selamat tiba di Laban Rata sekitar pukul 6 petang. Kesempatan itu digunakan untuk berehat dan bermalam sebelum meneruskan pendakian keesokan harinya.
Kami diberitahu, jarak pendakian ialah sejauh 2.7 kilometer dan biasanya mengambil masa tiga hingga empat jam.
Hujan lebat di sebelah malam menyebabkan semua peserta lena dibuai mimpi. Penulis hanya tersedar sekitar pukul 1 pagi apabila dikejutkan rakan sebilik untuk bersiap bagi memulakan perjalanan ke Low’s Peak.
Selesai mengalas perut dan memakai pakaian yang sesuai, kami berkumpul sekali lagi sebelum meneruskan pendakian pada pukul 2.30 pagi.
Keadaan gelap gelita yang hanya disinari cahaya lampu suluh di kepala setiap peserta. Kami terpaksa merempuh ratusan anak tangga yang begitu meletihkan.
Suasana dingin dan laluan berbatu yang basah dan licin juga menyebabkan kesemua peserta lebih berhati-hati. Mujur disediakan tali keselamatan untuk berpaut yang memudahkan sedikit pendakian.
Kami akhirnya tiba di Sayat-Sayat, iaitu pusat pemeriksaan terakhir. Di situ, butiran setiap peserta dicatatkan melalui tanda nama yang dipakai.
Di paras itu, adalah sukar untuk berjalan pantas dengan selesa kerana ketepuan oksigen atmosfera hanya 70 peratus. Tidak hairanlah pendakian terakhir sejauh 1.6 kilometer itu dirasakan begitu mencabar.
Hampir menangis
Namun, berbekalkan semangat yang kental, penulis dan beberapa peserta berjaya tiba di puncak sekitar pukul 5.30 pagi.
Biarpun jari dan bibir mulai berasa kebas berikutan suhu yang mencecah sehingga 2 darjah Celcius di bawah paras beku, namun kepuasan menakluk puncak tertinggi di Gunung Kinabalu itu sukar digambarkan dengan kata-kata.
“Saya hampir menangis sebaik sahaja tiba di puncaknya. Pengalaman melihat matahari menyingsing di ufuk timur lantas menyinari permukaan gunung. Momen itu ternyata terlalu indah dan membuktikan kehebatan Penciptanya,” jelas Suhailah tatkala menceritakan pengalamannya berada di puncak.
Di situ, gambar-gambar terus dirakam untuk dijadikan kenangan. Di atas itu juga para peserta berpeluang melihat puncak-puncak lain sekitarnya seperti South Peak, St. John Peak, Ugly Sister Peak dan Oyayu Peak.
Bagi Yusnizah Nordin, 28, pula, dia berpuas hati kerana usaha selama lebih tiga bulan menjalani latihan kecergasan sebelum itu berbaloi.
“Kabus tebal dan suhu sejuk melampau menyebabkan saya hanya sempat menghabiskan masa beberapa minit di atas puncak.
“Bagaimanapun, saya tetap teruja. Menakluk puncak Kinabalu ibarat satu pencapaian dan kejayaan peribadi tertinggi yang akan disimpan untuk dikenang hingga ke akhir hayat,” ujarnya.
Perjalanan turun dari puncak lebih mudah berbanding pendakian dan semua peserta selamat sampai di Laban Rata pada pukul 11.30 pagi.
Selepas menikmati hidangan, semua peserta mula menuruni gunung menuju ke Timpohon Gate. Kami sampai di pintu itu pada pukul 5 petang.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi BPMB, Jamaluddin Nor Mohamad berkata, faktor usia yang mencecah 52 tahun tidak menjadi penghalang buatnya untuk menamatkan pendakian.
Katanya, pengalaman menakluk puncak Gunung Kinabalu pada tahun 2007 digunakan sebaiknya di dalam ekspedisi itu.
“Pada pendakian lalu, saya terlalu ghairah untuk sampai ke puncak, semua mahu dilakukan sendiri termasuk membawa beg sehingga ke puncak.
“Akibatnya, saya cepat penat dan seluruh badan sakit-sakit. Kali ini saya lebih santai dan menggunakan khidmat pengangkut barang untuk keselesaan ketika mendaki,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: