Tuesday, December 27, 2011

Shotokan senjata Othman


BERSAMA logo Karate Shotokan PDRM.


MUNGKIN ada yang tidak pernah mendengar istilah Shotokan. Namun bagi peminat seni mempertahankan diri dari Jepun, Shotokan merupakan salah satu daripada gaya yang terdapat dalam karate selain Shito-Ryu, Sholin-Ryu, Goju-Ryu, Wado-Ryu dan Shorinji Kempo (sekadar menyebut beberapa nama).

Shotokan merupakan gabungan teknik yang pernah dipelajari oleh pelopor karate iaitu Gichin Funakoshi dan ia berpegang pada konsep Ichigeki Hissatsu, iaitu satu gerakan dapat membunuh lawan.

Teknik Shotokan menggunakan kuda-kuda yang rendah serta pukulan dan tangkisan yang keras.

Bagi Sub Inspektor Othman Abdullah, 52, teknik ketangkasan tangan dan kaki yang dipelajarinya dalam aliran karate itu mampu mematahkan serangan fizikal oleh individu yang berniat jahat.

"Mempelajari seni mempertahankan diri karate seperti Shotokan amat penting kepada semua individu kerana ia boleh membantu kita untuk bertahan sekiranya diserang.

"Teknik ini bukanlah bertujuan untuk membalas sesuatu serangan tetapi lebih untuk mempertahankan diri daripada dicederakan," ujar Othman yang kini bertugas di Cawangan Latihan dan Sukan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor ketika ditemui Gaya Polis baru-baru ini.

Menurutnya, Shotokan adalah salah satu aliran utama seni bela diri karate dari negara timur yang turut menerapkan nilai-nilai murni seperti taat setia.

"Shotokan bermaksud tangkas dan bertenaga yang menggunakan teknik kekuda yang rendah serta tangkisan dan pukulan yang keras.

"Gerakan Shotokan cenderung untuk terus ke hadapan sehingga orang yang mempraktikkan teknik ini berani dan tidak gentar untuk beradu pukulan atau menangkis serangan pihak lawan," katanya.

Karate atau karate-do mempunyai beberapa aliran. Shotokan adalah salah satu aliran utama yang dipraktikkan di kalangan anggota yang menjalani latihan di Pusat Latihan Polis (Pulapol).

Beliau menjelaskan, sebelum tahun 1992, karate aliran Shotokan belum berkembang di dalam pasukan PDRM.

Bagaimanapun, selepas Cawangan Seni Mempertahankan Diri Karate PDRM bergabung dengan Persekutuan Karate Malaysia, pasukan itu kemudian maju ke hadapan dengan menjalinkan kerjasama dengan Persekutuan Karate Shotokan Antarabangsa (SKIFF) dari Jepun pada tahun 1996.

Sejak itu, seni mempertahankan diri Karate Shotokan PDRM telah berkembang sehingga ke arena sukan di peringkat PDRM, kebangsaan dan antarabangsa.

Shotokan turut menjadi pengajaran wajib kepada semua anggota yang menjalani latihan asas kepolisan, kursus dalam perkhidmatan, sukan karate Piala Ketua Polis Negara (KPN) setiap tahun yang bertujuan mencungkil bakat-bakat baru.

"Ini bagi memberi peluang kepada mereka untuk menonjolkan bakat di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

"Setakat ini, beberapa anggota PDRM berjaya mewakili negara dalam beberapa kejohanan peringkat antarabangsa, seperti Sukan SEA dan Sukan Asia.

"Malah, ada di kalangan mereka berjaya menyumbangkan pingat untuk negara," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: