Tuesday, December 27, 2011

Hotel Smiles tarikan pengunjung


Rosly Sahasal di hadapan Hotel Smiles.


PERTAMA kali menjejakkan kaki di negara asing sama ada untuk berkerja mahupun bercuti kadangkala boleh membingungkan apatah dalam hal mencari tempat penginapan yang selesa dan selamat.

Lazimnya untuk memenuhi dua 's' tersebut pilihan yang ada tentulah hotel-hotel bertaraf bintang yang sudah pastinya membabitkan kos penginapan yang mahal.

Bagi yang sedang dalam perjalanan atau percutian bajet hasrat tersebut mungkin sukar dipenuhi kerana kekangan kewangan.

Dilema itu secara tidak langsung telah memberi inspirasi bagi penubuhan Hotel Smile yang terletak di tengah-tengah kesibukan Jalan Chow Kit, di Kuala Lumpur.

Dikategorikan sebagai hotel bajet, ia menawarkan perkhidmatan yang bukan saja selesa dan selamat, bahkan berada pada lingkungan harga yang cukup berpatutan.

Lebih penting lokasinya yang strategik di deretan kedai di kawasan yang menjadi tumpuan bukan sahaja penduduk tempatan tetapi juga pelancong dari luar negara.

Menurut pengurusnya, Rosly Sahasal, hotel tersebut menjadi tarikan pengunjung kerana selain menawarkan penginapan selesa, ia terletak di kawasan strategik membuatkan pengunjung senang untuk membuat urusan.

Katanya, sejak dibuka akhir tahun lalu, hotel yang memiliki 48 buah bilik ini sentiasa menerima tempahan pelancong sama ada yang datang secara berkumpulan atau individu serta mereka mempunyai urusan perniagaan di sini.

"Walaupun ia hotel bajet, tidak keterlaluan kalau saya katakan hotel ini diibaratkan seperti 'rumah' oleh pelancong asing sehinggakan sesetengah penduduk sekitar menggelarnya 'hotel mat saleh'.

"Kami menawarkan beberapa pakej bilik penginapan untuk pilihan pengunjung.

"Sesetengah pakej merupakan pilihan cukup popular bagi pelancong yang mahu tinggal dalam tempoh yang agak lama," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menariknya kata Rosly, Hotel Smiles dikelilingi dengan pusat beli-belah dan kedai makanan yang menawarkan kepelbagaian kepada pengunjungnya.

Selain mempunyai tahap kebersihan dan keselamatan yang baik, premis yang berdaftar di bawah Persatuan Hotel Murah Malaysia (MBHA) ini turut menyediakan pelbagai perkhidmatan yang setaraf dengan kebanyakan hotel lain.

Antara yang disediakan termasuk perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar (WiFi), penghawa dingin kawalan setiap individu, televisyen LCD dengan saluran stesen berbayar, perkhidmatan bilik dari pukul 6 pagi hingga 12 malam dan kemudahan minuman panas.

Perkhidmatan tambahan lain seperti penyaluran maklumat mengenai pelancongan di negara ini serta pakej pelancongan ke destinasi-destinasi lain.

Walaupun kadar bayarannya murah, hotel-hotel ini tetap menyediakan perkhidmatan yang selesa dan sistematik kepada pengembara untuk melepaskan lelah selepas seharian 'merayau'.

Penginapan ditawarkan pada harga serendah RM68 bagi kategori bilik Standard atau Standard Superior, bilik Deluxe dengan harga RM100 atau harga paling tinggi RM120 untuk Family Deluxe.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: