Kerancakan penerbitan filem sejak akhir-akhir ini menjadi satu penanda aras yang baik dalam industri perfileman tempatan apabila masyarakat sudah kembali menonton filem Melayu di pawagam.
Buktinya, pengumpulan bilangan penonton di pawagam yang dijalankan, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), menunjukkan peningkatan jumlah kutipan terhadap filem tempatan semenjak 2004 sehingga tahun ini.
Antara filem boleh dianggap berjaya sepanjang tahun ini (2011) dari segi kutipan adalah Karak, RM4.28 juta, Bini-Biniku Gangster (RM4.71 juta), Nur Kasih The Movie (RM4.93 juta), Hikayat Merong Mahawangsa (RM6.50 juta), Khurafat (RM8.08 juta), Kongsi (RM8.09 juta), Hantu Bonceng (RM8.53 juta), KL Gangster (RM11.74 juta) dan Ombak Rindu (RM8.46 juta-mengikut kutipan sehingga 15 Disember).
Pencambahan filem tempatan yang semakin baik, memberi variasi buat penonton untuk datang ke pawagam bagi menonton filem karya tempatan. Malah tidak keterlaluan mengatakan ada filem Malaysia sudah setanding dengan filem tempatan dan tidak kurang juga ada filem kita yang berjaya menandingi kutipan filem antarabangsa pada hari pertama tayangan.
Namun sejauh manakah sambutan baik ini akan berterusan dalam industri perfileman? Adakah filem kita benar-benar sudah mula diminati atau ia sekadar trend? Ikuti komen karyawan filem tempatan dan juga penonton.
'Sekadar penonton semusim'- Ahmad Ibrahim
Bagi Presiden Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim atau lebih dikenali dengan Mat London, menyifatkan sambutan masyarakat terhadap industri perfileman sekarang hanya sekadar penonton 'semusim'.
Menurutnya, kehadiran penonton ke pawagam adalah untuk menonton filem-filem tertentu sahaja dan mereka bukanlah penonton tetap yang mengikuti setiap filem tempatan yang ditayangkan.
"Macam sekarang kita lihat fenomena Ombak Rindu dan orang berpusu-pusu ke pawagam untuk menonton filem ini. Tetapi jika kita lihat, bukan semua golongan yang menonton filem bercorak drama ini.
"Pada pandangan saya, filem ini mungkin menarik golongan suri rumah atau golongan wanita ke pawagam. Tetapi tidak pada golongan remaja atau pun pada golongan seperti mat rempit," katanya.
Tambahnya, selain itu, jika dilihat filem seperti gengsterisme turut dikategorikan filem semusim kerana filem bergenre seperti itu turut mendapat sambutan namun tidak banyak filem seumpama itu dihasilkan.
"Apabila filem yang bermusim ini tamat tempoh tayangannya, maka sambutan penonton ke pawagam juga akan kembali seperti sedia kala. Tetapi jika ada filem yang bagus, penonton akan kembali ke pawagam.
"Malah selepas Ombak Rindu ada sebuah lagi filem yang cukup hebat iaitu Songlap. Saya seru ramai penonton untuk menonton filem tersebut di pawagam kerana filem tersebut ada moral, mesej dan sinematografi yang cukup hebat. Ditambah pula dengan barisan penonton yang cukup mantap," katanya.
'Semakin dapat kepercayaan'-Ahmad Idham
Sementara penerbit dan juga pengarah prolifik, Ahmad Idham Ahmad Nadzzri berpendapat, sambutan penonton terhadap filem tempatan bukanlah satu trend, sebaliknya ia adalah petanda bahawa filem tempatan mula mendapat kepercayaan daripada peminat filem.
Idham berkata sejak dahulu lagi, pembikin filem sudah mencuba untuk membawa perubahan dalam penyiaran filem. Namun 2011 menjadi penanda aras yang baik buat penggiat filem apabila filem tempatan sudah mula diterima.
"Jika kita lihat dari awal tahun ini, penonton tidak lagi memilih genre-genre tertentu sebaliknya apa sahaja genre filem yang masuk seperti seram, komedi, aksi, drama diterima dengan baik dan mendapat pulangan kutipan yang memberangsangkan.
"Jadi saya tidak setuju untuk mengatakan sambutan ini adalah sekadar satu trend, sebaliknya kita (penggiat filem) mula mendapat kepercayaan daripada penonton untuk menonton filem tempatan," katanya.
Bagaimanapun, Idham menegaskan bukan semua filem tempatan sentiasa bernasib baik, menerima sambutan yang menggalakkan. Namun kehadiran penonton ke pawagam masih menunjukkan ada penonton yang tetap menyokong filem tempatan.
'Bukan trend!'- Aziz M Osman
Manakala penerbit dan pengarah, Aziz M Osman menegaskan sambutan penonton terhadap filem tempatan bukanlah suatu trend kerana jika dilihat, penonton sekarang pandai menilai untuk penonton filem yang berkualiti.
Katanya jika sambutan perfileman dianggap sebagai trend, maka tiada siapa yang akan menonton filem di pawagam.
"Kalau kehadiran penonton di pawagam digelar trend, saya rasa sudah lama industri perfileman berkubur kerana trend itu adalah sekadar musim tertentu sahaja," katanya.
Aziz berkata setakat ini, dia melihat industri perfileman negara berkembang dengan baik dan penonton sudah mula menerima karya-karya tempatan.
Katanya, jika sesebuah naskhah itu bagus dengan penampilan idea, mesej serta yang cerita yang segar, maka secara automatik, filem tersebut akan mendapat sambutan waima mempunyai genre yang sama dengan filem yang ditayangkan sebelum itu.
"Contoh jika bulan tersebut menayangkan semua filem bergenre seram. Jika sebuah filem itu mempunyai idea yang lebih segar, lebih menarik dari filem sebelum itu, maka secara automatik penonton akan terarah pada filem yang bagus ini sahaja.
"Selain itu pengarah dan penerbit juga memainkan peranan yang besar untuk menjadikan sesebuah filem itu diterima oleh penonton," katanya.
Thursday, December 22, 2011
Semakin diminati atau sekadar trend?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: