Wednesday, December 21, 2011

Sambut tahun baru sambil beramal


Zawahir Abdullah (dua dari kiri) pada sidang media majlis makan malam amal 'Sambutan Tahun Baru 2012', baru-baru ini.


MEMANDANGKAN hanya tinggal kira-kira dua minggu sahaja lagi kita akan melangkah ke tahun 2012, maka bahang peralihan tahun baru sudah semakin terasa.

Rata-rata masyarakat membicarakan mengenai azam tahun baru. Tidak kurang juga yang turut membincangkan mengenai aktiviti yang akan diadakan bersempena sambutan tahun baru yang akan datang ini.

Berdasarkan peredaran bulan dan matahari manusia mencipta kalendar Hijriah dan Masihi. Bagaimanapun, kalendar Masihi lebih banyak digunakan dalam pelbagai urusan. Kalendar Hijriah hanya untuk tujuan keagamaan.

Dalam surah Yunus ayat lima Allah berfirman, yang bermaksud: Dialah (Allah) yang menjadikan matahari bersinar-sinar dan bulan bercahaya. Dialah yang menentukan perjalanan setiap satu itu (berpindah-randah) pada tempat peredarannya masing-masing supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa....

Jika mengikut kalendar Masihi, kita kini berada di tahun baru (2012 bersaman dengan 1433 Hijrah). Bagi kebanyakan anggota masyarakat, ketibaan tahun baru ini sudah tentu menjadi satu kebanggaan, tidak kira mereka hamba yang taat, suka melakukan maksiat, kufur terhadap Allah atau langsung tidak mempunyai ideologi dan ia akan disambut dengan penuh meriah.

Di negara kita, akan terdapat anak-anak remaja menyambutnya dengan berlumba haram dan terlibat dalam dengan pelbagai gegala yang tidak sihat. Mungkin pada pandangan mereka ia betul dan inilah cara sebenar untuk menyambutnya.

Pun begitu, terdapat juga golongan yang takut terhadap Allah dan menyambutnya dengan penuh rasa keinsafan dan menyesal atas kesilapan tahun lalu, malah berazam untuk tidak melakukannya lagi.

Yang pasti, sambutan tahun baru Masihi lebih mendapat sambutan berbanding tahun Baru Hijrah yang disambut dalam bulan Muharam mengikut kalendar Islam. Demi menyambut tahun baru Masihi mereka sanggup untuk berjaga malam demi menanti detik 12 tengah malam.

Tetapi bila disuruh melakukan amar makruf nahi mungkar mengikut syariat Islam, tidak ramai yang turun padang menyertainya.

Hakikatnya, menyambut tahun baru tidak salah tetapi perlulah mengikut tetapan yang betul berlandaskan syariat Islam. Di negara kita , kedatangan tahun baru Hijrah disambut dengan bacaan Yasin dan solat hajat secara berjemaah di surau, madrasah dan masjid. Sepatutnya perkara yang sama juga dilakukan bagi menyambut kedatangan tahun baru Masihi.

Tahun baru yang bakal tiba membuka lembaran baru kepada semua anggota masyarakat, ada segelintir masyarakat terpinga-pinga dan gelisah memikirkan kedatangan tahun tersebut kerana banyak kerja dan azam yang dibuat sebelum ini yang belum terlaksana.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Asr yang membawa maksud: Demi masa sesungguhnya manusia itu sentiasa dalam kerugian kecuali bagi mereka yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta nasihat menasihati dengan kebenaran dan nasihat menasihati dengan penuh kesabaran.

Oleh itu, masa yang diberikan perlu dimanfaatkan sebaik mungkin dan perancangan yang teliti perlu dilakukan agar kita tidak menyesal di kemudian hari.

Semoga kedatangan tahun baru ini disambut dengan cara yang betul, dan kita sebagai hamba Allah di muka bumi ini patut bersyukur ke hadrat-Nya kerana masih diberi kesempatan untuk bernyawa dan meneruskan kehidupan dunia.

Hakikatnya, saban tahun penduduk seluruh dunia rata-ratanya menyambutnya dengan perasaan gembira. Ini dibuktikan menerusi sambutan secara besar-besaran.

Keruntuhan moral

Namun, ramai tidak menyedari realiti keseronokan sambutan tahun baru telah menyumbang kepada isu keruntuhan moral.

Ini ekoran apa yang dilakukan jelas terpesong daripada budaya dan identiti bangsa, hingga timbul persoalan bilakah generasi muda kita akan berubah.

Sambutan yang lebih berpaksikan kepada hiburan itu mungkin boleh diubah dengan program yang lebih bermakna sekiranya diwujudkan suatu kelainan mengikut syariat Islam dalam melakukan perubahan dan penghijrahan.

Menyedari akan hakikat itu, satu usaha murni telah cuba diperkenalkan dalam menganjurkan majlis sambutan tahun baru berkonsepkan Islam yang memenuhi tuntutan syariat sebagai seorang Muslim.

Bagi menjalankan tanggungjawab sosial dalam membantu mereka yang kurang berkemampuan, sebuah pertubuhan yang fokus kepada bantuan kemanusiaan dalam negara, Islamic Aid Malaysia (IAM) telah ditubuhkan bagi membantu golongan tersebut. Pertubuhan itu telah menjadi platform kepada orang ramai yang prihatin untuk menghulurkan sumbangan.

Walaupun ia masih baru, namun atas usaha dan sokongan orang ramai pertubuhan ini telah berjaya menjalankan misi kemanusiaan peringkat tempatannya dengan baik sekali.

Pelbagai program kemanusiaan telah berjaya dijalankan antaranya program kemanusiaan membantu mangsa banjir, program Jejak Prihatin di mana penjelajahan ke Kedah, Kelantan, Pahang, Terengganu, Perak dan Sarawak telah dilaksanakan bagi menghulurkan bantuan termasuk program Pembaikan Rumah fakir miskin dan lain-lain lagi.

Lanjutan daripada itu, bagi memastikan usaha kemanusiaan ini dapat diteruskan pelbagai program pengumpulan dana telah dilaksanakan oleh IAM. Pihak pertubuhan juga turut mengalu-alukan kerjasama daripada badan-badan korporat, badan-badan kerajaan dan juga pihak individu mahupun perseorangan dalam menjayakan usaha kemanusiaan ini.

Menyedari situasi ini, usaha kemanusiaan IAM telah mendapat perhatian Syarikat Twins Light Bulb Sdn. Bhd. yang telah memilih IAM sebagai badan amal yang akan menerima sumbangan hasil daripada penganjuran majlis makan malam amal Sambutan Tahun Baru 2012.

Bertemakan Getaran Gemilang Islam 2011, buat julung kalinya sambutan tahun baru berkonsepkan Islam telah diperkenalkan. Program yang bermotifkan kebajikan sambil berdakwah ini merupakan anjuran Syarikat Twins Ligh Bulb Sdn. Bhd. pada 31 Disember, bertempat di Restoran Cerana, Batu 9, Cheras.

Uniknya, sambutan itu turut menampilkan konsep makan malam amal santai. Lebih menarik lagi, persembahan istimewa beberapa artis tempatan yang akan menyanyikan lagu-lagu bertemakan ketuhanan dan kerohanian.

Penampilan istimewa seramai lapan artis tempatan seperti Nasir Bilal Khan, Yasin dan juga beberapa artis veteran yang prihatin.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Syarikat Twins Light Bulb Sdn. Bhd., Abd. Aziz Abas, pada mulanya pihaknya telah berhasrat untuk menganjurkan acara sambutan tahun baru 2012 secara besar-besaran serta berunsurkan hiburan masa kini. Tetapi setelah dipertemukan dengan pihak AF.Com, maka idea asal tersebut telah ditukar kepada sambutan ke arah keislaman dan disuntik sedikit elemen kebajikan.

"Walaupun sambutan tahun baru Islam ialah pada Awal Muharam yang lalu, namun masih lagi ramai masyarakat kita terutama sekali golongan muda yang menyambut tahun baru Masihi dengan menikmati 90 peratus hiburan.

"Apa salahnya, jika tahun ini kita menyuntik sedikit kelainan dengan menyelitkan unsur-unsur keislaman dan kerohanian dalam mendidik generasi muda untuk berhibur mengikut acuan Islam.

"Saya akan buat yang terbaik dalam menghiburkan tetamu yang hadir dan yang pasti saya akan memastikan mereka yang hadir ke majlis makan malam ini akan meninggalkan majlis ini dengan memori yang indah," katanya.

Tambah Abd. Aziz, beliau berharap agar penganjuran majlis seumpama ini akan menjadi anjakan paradigma dalam penganjuran sambutan tahun baru yang biasa dipraktikkan.

Malah beliau turut menyeru orang ramai dan badan-badan korporat untuk turut serta dalam majlis makan malam amal ini.

Majlis yang dijangka diadakan di Restoran Cerana, Batu 9, Cheras, Kuala Lumpur ini boleh memuatkan kira-kira 700 tetamu.

Meja yang ditawarkan untuk kumpulan terdiri daripada tiga bentuk iaitu; Platinum (RM10,000), Emas (RM5,000) dan Perak (RM3,000).

Selain itu, jualan meja juga turut dibuka untuk individu, di mana kerusi yang ditawarkan juga dalam tiga peringkat iaitu; Platinium (RM1,000), Emas (RM500) dan Perak (RM300).

Mengulas lanjut, pengisian majlis makan malam amal adalah seperti persembahan nasyid, zikir, ratib, marhaban, berendoi dan sebagainya.

Turut diadakan adalah bacaan doa semasa 'countdown' dan juga alunan zikir serta acara 'Berendoi' dan 'Ratip Saman' di mana ramai di antara kita yang sudah alpa dengan acara yang semakin ditelan zaman.

Sementara itu, menurut Presiden IAM, Zawahir Abdullah, pihaknya amat berterima kasih kepada pihak penganjur kerana sudi memilih IAM sebagai penerima manfaat daripada hasil jualan meja untuk program ini.

Katanya lagi, hasil daripada sumbangan Majlis Makan Malam Amal ini akan disalurkan bagi meneruskan usaha-usaha kemanusiaan terutamanya, bagi membantu mangsa banjir menerusi Tabung Bantuan Bencana Banjir yang dilancarkan, baru-baru ini.

Tabung ini merupakan sebuah kerjasama kemanusiaan antara IAM dengan Utusan Malaysia. Pelancaran tabung ini diadakan sebagai salah satu usaha membantu meringankan beban mangsa banjir terutamanya yang berada di Pantai Timur dan di seluruh Malaysia.

Zawahir juga mengalu-alukan sumbangan serta sokongan daripada individu dan badan-badan korporat serta organisasi yang prihatin serta menyeru sokongan daripada orang ramai untuk turut serta menjadi sukarelawan.

Orang ramai juga boleh temui dan mendapatkan maklumat terkini mengenai aktiviti terkini IAM melalui jaringan rangkaian komuniti sosial facebook dengan carian nama Islamic Aid Malaysia.

Untuk tempahan meja majlis 'Sambutan Tahun Baru 2012' anda boleh menghubungi Abd. Aziz di talian 017- 7037158 dan Zuraida Md. Ali di talian 019-2477913.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: