Wednesday, December 21, 2011

Pendakwah muda pemacu generasi akan datang


Tekun... Badrul Sani menggunakan pendekatan santai dan menanamkan semangat kekeluargaan kepada anak didiknya bagi memudahkan mereka menerima apa yang ingin disampaikan.


SIAPA sangka kanak-kanak seawal usia sembilan tahun mampu berhujah dan mengutarakan idea matang di hadapan khalayak dengan penuh keyakinan.

Gaya pertuturan dan kebolehan mereka dalam memberikan pandangan mengenai isu semasa dan kemahiran berpidato sama sekali tidak menunjukkan umur yang sebenar.

Membawa perwatakan matang dengan berwajah riang, kanak-kanak ini sangat sesuai untuk dijadikan ‘ikon’ kepada rakan sebaya mereka.

Biasanya kanak-kanak pada umur tersebut lebih gemar menghabiskan masa dengan bermain dan berseronok bersama rakan-rakan dan ada segelintir yang masih belum dapat membezakan baik dan buruk (mumayiz) untuk diri mereka sendiri.

Namun, berbeza dengan 13 kanak-kanak celik yang terpilih mengikuti rancangan realiti televisyen Adik-adikku musim ketiga anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Peserta terbaik yang terpilih daripada 500 kanak-kanak dari seluruh negara termasuk negara serantau itu dipersiapkan dengan ilmu dan kemahiran diri yang lengkap bagi menjadi aspirasi masyarakat sebagai pendakwah (daie) cilik.

Bukan sahaja persiapan rohani, aspek jasmani juga ditekankan kepada setiap peserta agar bersedia menempuhi cabaran semasa yang semakin mencabar pada masa depan.

Pegawai Penyelidik Jakim, Muhammad Zarifi Mohd. Daud berkata, usaha melahirkan pendakwah muda penting dan amat diperlukan pada masa kini.

Beliau berkata, walaupun sudah pasti setiap peserta ingin memburu kejayaan, tetapi apa yang penting pertandingan ini akan melatih peserta menjadi daie muda yang berwibawa dan berkebolehan.

Merekalah yang akan memainkan peranan utama dalam memacu generasi masa depan dan juga negara ke arah berpaksikan ajaran Islam.

“Hanya mereka sahaja yang lebih mengetahui dan memahami masyarakat dalam kelompok mereka. Cabaran global berubah-ubah dari semasa ke semasa, oleh itu hanya generasi pada masa itu yang lebih mengetahui kaedah terbaik dalam menangani cabaran semasa tersebut,” katanya ketika ditemui di Institusi Latihan Islam Malaysia (ILIM), baru-baru ini.

Beliau yang juga merupakan murabbi (pembimbing) peserta Adik-adikku berkata, pendakwah muda juga memainkan berperanan penting sebagai ikon kepada rakan sebaya melalui contoh teladan yang baik.

“Untuk melahirkan pendakwah yang berkarisma, mereka perlulah dididik dan dipersiapkan dengan segala kemahiran dan persedian minda yang mantap. Peserta juga didedahkan dengan aktiviti bersukan agar mempunyai kemahiran yang serba boleh.

“Ia akan membuatkan mereka sentiasa bersedia menghadapi segala cabaran semasa yang semakin mencabar pada masa akan datang,” katanya.

Mengulas lanjut, kata Zarifi, beliau menggunakan pendekatan santai dan komunikasi dua hala dalam mendidik anak buahnya.

“Mendidik kanak-kanak bukanlah mudah, ia memerlukan kaedah yang mesra supaya mereka lebih mudah menerima dan mengamalkan apa yang kita ajarkan.

“Kita juga perlu pandai memainkan emosi dan mentaliti mereka dengan cara memberikan pujian dan kata-kata dorongan. Ia secara tidak langsung dapat meningkatkan motivasi mereka untuk terus berusaha dengan gigih,” katanya.

Manakala dua lagi murabbi ialah Ketua Jurulatih Az-Zahrah Multi-Intelligence Academy (AMPAC), Ahmad Badrul Sani Baharudin dan pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Mohd. Izhar Ariff Mohd Kashim.

Setiap murabbi bertanggungjawab membimbing empat atau lima peserta untuk dididik, diasuh, diasah bakat mereka bagi pertandingan ini.

Manakala, raesah (pengetua) pada sesi kali ini pula adalah pendakwah bebas dan juga personaliti televisyen, Asni Abu Mansor.

Asni berkata, akademi itu bukan semata-mata medan pertandingan, tetapi landasan bagi melahirkan pemimpin dan daie kecil yang boleh menjadi model kepada rakan sebaya mereka.

Katanya, pada musim ketiga ini juga, Jakim turut meluaskan penyertaan ke peringkat serantau dengan penampilan istimewa peserta dari negara Brunei.

“Peserta adalah berumur dari sembilan hingga 12 tahun. Mereka akan mengikuti sesi latihan di akademi selama hampir sebulan bermula awal Disember lalu.

“Peserta turut diwajibkan mengikuti kelas pembelajaran dan aktiviti kokurikulum yang disediakan bagi membentuk jati diri mereka menjadi daie yang berwibawa suatu hari nanti,” katanya.

Beliau berkata, pertandingan kali ini menjanjikan kelainan berbanding musim sebelum ini iaitu musim pertama dan kedua.

Ujarnya, ini kerana penonton dapat melihat sendiri penglibatan dan bakat peserta musim pertama dan kedua dalam segmen diari dan pengacara pentas.

“Segmen Diari Adik-adikku’ memaparkan aktiviti harian yang berlaku kepada peserta termasuk aktiviti kurikulum dan kokurikulum.

“Antara aktiviti yang wajib diikuti ialah kelas Pidato, Tahsin Al-Quran, Taranum, kelas Tasmi', kelas Fardhu Ain dan sesi motivasi,” katanya.

Selain itu, Asni berkata, peserta turut di bawa mengikuti lawatan sambil belajar, membuat tazkirah di masjid dan aktiviti memanah serta berkuda dalam sesi riadah sepanjang sebulan pertandingan.

Menurutnya, seperti musim sebelum ini, pertandingan pidato akan diadili gandingan juri profesional daripada pelbagai bidang.

Manakala juri tetap pertandingan adalah Pensyarah Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr. Sharifah Hayaati Syed Ismail.

Selain itu, peserta turut dinilai dari segi hafazan dan sahsiah ketika di Akademi.

Bagi Badrul Sani, penganjuran pertandingan seperti ini dapat mengenalpasti individu yang berpotensi menyebarkan dakwah dan memimpin negara pada masa depan.

Selain itu katanya, pertandingan ini juga secara tidak langsung berfungsi sebagai medium dakwah kepada masyarakat dengan cara yang santai dan mudah diterima semua peringkat umur.

“Jika kita lihat di kaca televisyen, majalah atau media baru yang lain, sangat sedikit nisbah pengisian berbentuk agama berbanding hiburan dan bermotif suka ria.

“Menerusi program ini, secara tidak langsung penonton dapat berhibur sambil menghayati nilai kerohanian disampaikan oleh peserta melalui kaedah pidato dan menyanyi,” katanya.

Beliau berkata, melihat kepada sambutan program musim sebelum ini, ternyata Adik-adikku mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.

Badrul Sani menitikberatkan tiga aspek utama kepada anak didiknya iaitu yang paling utama ialah ilmu, melakukan yang terbaik dan jadi yang terbaik.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan bahawa agak susah mendidik golongan celik ini lebih-lebih lagi diterapkan dengan unsur yang berat dan serius.

Adik-adikku akan memasuki peringkat separuh akhir pada 18 Disember ini bertempat di Dewan Dato’ Shahir, ILIM, Bangi, Selangor.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: