Wednesday, December 21, 2011

Suami isteri idola


Para peserta Seminar Baiti Jannati yang terdiri daripada ahli Kelab Pemilik Nissan Grand Livina Malaysia bersama ahli keluarga bergambar dengan kereta masing-masing di Masjid Negara, baru-baru ini.


DARIPADA Saad bin Abi Waqqas bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Di antara sumber kebahagiaan anak Adam itu tiga perkara, manakala di antara punca kecelakaan anak Adam itu juga tiga perkara. Tiga sumber kebahagiaan mereka adalah isteri yang solehah, tempat tinggal yang baik dan kenderaan yang baik. Manakala punca kesengsaraan mereka pula adalah isteri yang jahat, tempat tinggal yang buruk dan kenderaan yang tidak menyenangkan."

Inilah antara yang cuba ditekankan oleh Pensyarah di Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Ustaz Abdul Aziz Abdul Samad kepada para peserta seminar Baiti Jannati anjuran Masjid Negara, baru-baru ini.

Seminar separuh hari yang berlangsung di Dewan Syarahan Utama itu telah menghimpunkan 15 keluarga yang merupakan ahli Kelab Pemilik Nissan Grand Livina Malaysia dari sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang.

Menurut Abdul Aziz, isteri yang solehah yang disebutkan dalam hadis itu bermaksud patuh dan taat kepada perintah Allah, Rasul malah perintah daripada para suami juga perlu ditaati isteri selagi mana ia tidak bercanggah dengan syariat agama.

Manakala yang dimaksudkan dengan tempat tinggal yang baik pula ialah di dalamnya dilakukan aktiviti ketaatan kepada Allah dan Rasul. Contohnya solat, membaca al-Quran, melaksanakan ibadat dan begitu juga dengan wirid. Di samping itu juga rumah yang baik juga adalah rumah yang dikunjungi oleh tetamu.

"Rumah yang di dalamnya tidak ada bacaan al-Quran seumpama tanah perkuburan. Oleh kerana itu, isteri yang baik daripada keluarga yang baik mereka akan melakukan ketaatan di dalam rumah-rumah mereka.

"Sementara itu, kenderaan yang baik pula bermaksud, kenderaan yang digunakan kepada ketaatan kepada Allah ataupun kenderaan tersebut bergerak kepada jalan-jalan kebaikan bukan sebaliknya," kata Abdul Aziz pada slot pertama seminar tersebut.

Menjawab persepsi majoriti umat Islam sekarang yang menilai kebahagiaan semata-mata dari sudut kebendaan seperti rumah besar dan kereta mewah, jelas Abdul Aziz inilah antara masalah masyarakat moden sekarang apabila tenggelam di dalam kebendaan serta membelakangi ilmu.

"Sebenarnya, apabila kita memahami ilmu, kita akan sedar sebenarnya ada panduan yang jelas berkaitan kebahagiaan. Ini kerana ilmu yang datang kepada kita adalah berpandukan kepada al-Quran manakala dijelaskan menerusi hadis.

"Sekiranya kita berpandukan kepada al-Quran dan hadis, walau hebat mana cabaran duniawi itu, kita tidak akan mudah diperdayakan oleh kesenangan di dunia semata-mata," ujar Abdul Aziz.

Sementara itu, menurut Penolong Pengarah Kanan Unit Pendidikan, Masjid Negara, Ustaz Mohammad Zaki Ibrahim, pihaknya mengambil masa sebulan bagi memastikan seminar ini berjaya direalisasikan.

"Alhamdulillah apabila diutarakan kepada ahli kelab menerusi forum yang kami wujudkan secara dalam talian, respons yang diperoleh agak menggalakkan. Sebenarnya kami tidaklah berharap terlalu tinggi kerana ini adalah program percubaan untuk melihat sejauhmana penerimaan ahli kelab.

"Namun, melihat kehadiran pada pagi ini, ia jelas membuktikan satu yang positif, lebih-lebih lagi ini adalah program berbentuk keislaman. Kejayaan kecil ini, pasti menjadi pemangkin semangat untuk kami mengadakan lebih banyak aktiviti berbentuk Islamik.

Pada seminar itu juga para peserta turut diberi penerangan mengenai solat musafir memandangkan antara aktiviti popular kelab-kelab berkereta ialah berkonvoi berkereta.

Sebelum mengakhiri seminar itu, kata Mohammad Zaki para peserta akan solat Zuhur berjemaah sebelum menjamu jamuan tengah hari di Taman Tasik Perdana.

Menariknya pada slot latihan dalam kumpulan (LDK), antara harapan kaum suami kepada para isteri-isteri ialah seorang suri yang pandai memasak selain boleh memantau pelajaran anak, membantu kewangan keluarga, taat, mengingatkan suami, idola kepada anak-anak, tidak suka mengumpat dan memahami.

Manakala di pihak isteri pula, mereka mengharapkan agar seorang suami mempunyai daya kepemimpinan, bertanggungjawab, berlaku adil, ringan tulang, prihatin, bertolak ansur dan idola kepada anak-anak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: