TIDAK mudah untuk mencari tempat penginapan murah tetapi lengkap dengan pelbagai kemudahan serta dikelilingi keindahan alam semula jadi yang menawan hati.
Namun, keistimewaan tersebut ditawarkan di Rumah Tetamu Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Kurung Tengar, Kuala Perlis, Perlis. Apa yang pasti, ia cukup menarik untuk pengunjung berehat khususnya pada musim cuti.
Dengan kadar RM60 semalam, pengunjung boleh menikmati cuti di Rumah Tetamu UniMAP Kurung Tengar sambil menikmati angin laut kerana kedudukannya di pesisir pantai yang berhampiran Kuala Perlis, destinasi cukup terkenal bagi pengunjung yang ingin menikmati makanan laut.
Menurut Penyelaras Rumah Tetamu UniMAP, Mustaffa Ismail, kadar ditawarkan cukup murah jika dibandingkan dengan kemudahan yang disediakan untuk memastikan setiap pengunjung dapat menikmati percutian dengan selesa.
Katanya, sebanyak 15 chalet yang mempunyai 30 bilik disediakan untuk kemudahan pengunjung dengan kesemuanya mempunyai harga sama.
"Satu unit chalet dua tingkat mempunyai dua bilik dan setiap bilik disewakan dengan kadar RM60 bagi sesiapa sahaja yang menginap di sini," kata Mustaffa kepada S2 baru-baru ini.
Katanya lagi, kesemua bilik kategori standard itu mempunyai ruang luas berhawa dingin dilengkapi katil saiz queen, almari, televisyen paparan hablur cecair (LCD), peti ais mini, cerek eletrik dan seterika.
"Ternyata apa yang kami tawarkan ini tidak terdapat di tempat lain, jika ada pun rumah penginapan atau hotel bajet pada kadar serendah ini, ia mungkin terletak di kawasan bandar atau tidak mempunyai kemudahan lengkap," ujar beliau.
Mustaffa berkata, Rumah Tetamu UniMAP Kurung Tengar beroperasi Julai lalu dan dirasmikan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Canselor UniMAP pada Ogos lalu.
Katanya, sejak beroperasi, sambutan yang diterima daripada pengunjung terdiri daripada orang perseorangan, kakitangan agensi kerajaan dan swasta dan institusi pengajian tinggi (IPT) cukup memberangsangkan.
"Antara yang menjadi tarikan pengunjung memilih Rumah Tetamu UniMAP Kurung Tengar ialah kedudukannya cuma dua kilometer dari bandar Kuala Perlis, kawasan cukup popular dengan makanan laut.
"Selain itu, ia terletak di pesisir pantai Kurung Tengar dan dikelilingi perkampungan nelayan serta berhampiran kawasan industri makanan laut seperti tempat membuat belacan," tambahnya.
Ujarnya, ia juga sesuai untuk pengunjung yang hendak pergi ke Langkawi atau baru pulang dari pulau lagenda itu berehat seketika.
"Bagi yang baru hendak ke Langkawi, ramai yang menginap di sini kerana jaraknya berdekatan dan mudah untuk ke jeti Kuala Perlis.
"Sementara bagi mereka yang sudah pulang dari pulau berkenaan, selepas kepenatan berada di sana, sudah tentu mereka mahu berehat seketika dan Rumah Tetamu UniMAP Kurung Tengar pilihan paling sesuai," katanya.
Tambahnya, rumah tetamu tersebut turut digemari oleh pengunjung yang meminati aktiviti memancing atau mengadakan jamuan, hari keluarga serta barbeku (BBQ).
"Bagi peserta kursus atau latihan, jika ramai, atas permintaan pihak kami boleh menyediakan bilik seminar dan kenderaan untuk membawa peserta ke bilik seminar," katanya.
Di samping itu, Rumah Tetamu UniMAP juga terdapat di Bohor Indah (tujuh unit banglo tiga bilik), Taman Harmoni (lapan unit rumah berkembar tiga bilik) dan Taman Mesra (empat unit rumah berkembar tiga bilik).
Rumah Tetamu UniMAP di Bohor Indah ditawarkan pada kadar harga RM200 manakala Taman Harmoni dan Taman Mesra masing-masing daripada RM150 hingga RM180 mengikut keluasan bilik tersebut.
Kata Mustaffa, sesiapa sahaja boleh menghubungi Rumah Tetamu UniMAP menerusi talian 04-9798136 atau faksimili 04-9770841 atau emel: pro@unimap.edu.my untuk tempahan atau mendapatkan keterangan lanjut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: