SEBELUM menjejakkan kaki ke India, saya banyak mendengar kisah dan pengalaman teman-teman mengenainya. Rata-rata mereka yang pernah berkunjung ke sana tidak begitu suka dan tidak mahu mengulangi percutian ke India buat kali kedua.
Pelbagai tanggapan yang saya dengar.
Namun baru-baru ini setelah saya sendiri berkunjung ke empat bandar, Jaipur, New Delhi, Agra dan Srinagar (Kashmir) selama sembilan hari, tanggapan tentang India yang saya dengar sebelum ini agak berbeza.
Pengalaman rombongan yang ingin saya kongsi bersama pembaca hanya tertumpu kepada bandar Jaipur, sebuah bandar unik yang dikunjungi ramai pelancong luar.
Rombongan saya bersama 16 ahli rombongan yang lain dibawa oleh syarikat pelancongan Plus & Plus Travel and Tours ditaja oleh syarikat Jamu Mak Dara.
Penerbangan Malaysian Airlines mengambil masa selama lima jam penerbangan dari Kuala Lumpur ke New Dehli.
Setiba sahaja kami di New Delhi, rombongan disambut ejen pelancongan yang dilantik Plus & Plus Travel and Tours berpusat di New Delhi.
Rombongan kami dibawa menaiki bas mini yang hanya boleh memuatkan 18 penumpang. Basnya agak sempit, tapi boleh dikatakan selesa.
Setiba sahaja di New Delhi, rombongan dibawa singgah makan tengah hari di sebuah restoran di New Delhi. Tepat pukul 3.00 petang bas meneruskan perjalanan ke Jaipur yang mengambil masa selama lima jam.
Di sepanjang perjalanan itu, apa yang saya dapat lihat ialah mengenai keadaan jalan rayanya. Ia tidaklah sebaik dan terurus seperti di negara kita. Jika dibandingkan dengan lebuh raya kita ibarat langit dan bumi.
Di atas jalan raya, lapan puluh peratus kenderaan yang kita lihat ialah pelbagai jenis lori, trak, bas dan selebihnya ialah kereta.
Jalan rayanya juga berdebu dan pembahagi jalan serta simpang pusingan di jalan rayanya tidak begitu sistematik. Kelihatan juga banyak trak dan lori diberhentikan di sepanjang jalan untuk berehat walaupun keadaan jalan rayanya agak sempit.
Cara pemandu memotong kenderaan lain juga cukup berbahaya. Ada yang memotong laju sebelah kiri kerana kenderaan berat dipandu di sebelah kanan. Pelik sungguh saya melihat cara pemanduan di sana.
Tidak cukup dengan itu, ada pula penunggang motosikal yang ditunggang tanpa menggunakan topi keledar dinaiki tiga penumpang cuba menyelit di celah-celah kesibukan jalan raya.
Yang paling mengerikan bila ada kenderaan yang dipandu melawan arus di bahagian kiri jalan secara tiba-tiba dari depan. Namun itu adalah biasa bagi mereka.
Pun begitu sepanjang lima jam perjalanan dengan cara pemanduan yang agak berbahaya saya tidak melihat sebarang kemalangan jalan raya di sana.
Bunyi hon yang kedengaran sepanjang lima jam perjalanan bukan lagi asing bagi mereka, tetapi bingit bagi kita sebagai pelancong. Bunyi hon adalah perkara biasa bagi pemandu di India.
Di sepanjang perjalanan saya lihat perkampungan dan pekan kecil serta ladang padi dan tanaman lain yang dijadikan sumber ekonomi di sana.
Pada pukul 8.00 malam kami tiba di bandar Jaipur di negeri Rajasthan yang terletak di utara New Delhi.
Bandar yang kaya dengan batuan galian seperti pertama, berlian dan kain kapasnya serta permaidaninya itu terletak di atas bukit.
Jaipur terbahagi kepada dua bandar, Jaipur lama, (Red City) dan Jaipur baru. Red City adalah bandar awal yang dibina oleh seorang raja, Maharaja Sawai Jai Singh II pada 1727.
Kesemua bangunan di bandar itu diwarnakan dengan cat merah kecoklatan. Bandarnya agak sesak dan kotor di persekitarannya didiami 3.1 juta penduduk.
Melalui bandar yang mempunyai bentuk geografi separa gurun yang terletak di lembah bukit itu, pastinya anda akan terlihat beberapa orang sedang membuang air kecil di tepi-tepi jalan dan bangunan dan itu akan menjadi senario biasa bila anda di India.
Di tepi-tepi jalan raya kelihatan juga lembu berkeliaran dan sistem perparitan yang tidak ada langsung. Sampah berselerakan di hadapan kedai-kedai dan tepi jalan raya.
Di sebuah bulatan di tengah bandar, kelihatan orang yang duduk melepak dan berbaring di situ. Di jalan rayanya kelihatan kenderaan seperti beca, motosikal, pejalan kaki, van, bas kereta dan lembu bercampur-baur memenuhi jalan raya.
Kadang -kala anda akan ternampak unta di jalan raya. Ini kerana unta agak mudah didapati di sekitar Jaipur. Unta dijadikan binatang yang mengangkut barangan ladang atau pun keperluan masyarakat di sana.
Sekitar bandar Red City anda tidak akan nampak bangunan tinggi ataupun bangunan yang moden. Lain di Jaipur moden, bangunannya sama seperti bandar-bandar seperti Seremban dan juga Batu Pahat.
Sepanjang di sana, saya terdengar juga dengan laungan azan dari masjid yang dibina di tengah bandar Jaipur. Bilangan penduduk Islam di bandar itu adalah minoriti.
Kemudian kami tiba di hotel tempat kami menginap untuk malam pertama di Jaipur, Sheraton Rajputana Palace, Jaipur yang merupakan bekas istana lama dibina dijadikan hotel lima bintang terletak di kawasan Jaipur baru.
Bas diperiksa di pintu pagar sebelum boleh dibenarkan masuk ke kawasan hotel. Setiba di pintu lobi, semua bagasi dikehendaki melalui pemeriksaan ‘scanning’ yang diletakkan di pintu luar sebelum masuk ke lobi.
Kebanyakan sistem tersebut diamalkan di semua hotel bertaraf empat dan lima bintang di India bagi tujuan keselamatan.
Setiba sahaja di hotel, kami semua yang kelaparan akhirnya dapat menikmati makan malam di hotel Sheraton. Juadah separa antarabangsa dan tempatan kami nikmati dengan lahap.
Menutup hidung
Bagaimanapun bukan semua hidangan yang dihidangkan di hotel tersebut adalah halal. Dinasihatkan jika di India, anda tidak minum minuman yang menggunakan air batu, ini kerana bagi mengelakkan keracunan makanan.
Bila anda berada di dalam hotel bertaraf lima bintang di mana-mana bahagian di India, anda tidak terasa anda berada seperti di India.
Ini kerana suasana di sekitar hotel sama seperti di negara kita. Namun apa yang diidentitikan ia adalah di bumi India, bila anda melihat pekerja hotel dan makanan yang dihidangkan.
Keesokan harinya kami dibawa melawat Amber Fort yang terletak di atas bukit. Peninggalan istana dan bandar yang berkeluasan empat kilometer persegi itu boleh dilihat dari tepi jalan.
Kota itu dilawati hampir 5000 pengunjung sehari. Kota itu dibina oleh Raja Alan Singh Chandra dan reka bentuknya adalah campuran seni bina Hindu dan Mughal. Ia sebelum ini menjadi kediaman rasmi keluarga diraja Rajput. Di situ kami berkesempatan menunggang gajah untuk naik ke bahagian atas kota. Jika gajah digunakan untuk ke bahagian atas, jip pula digunakan sebagai kenderaan untuk turun.
Setelah tiga jam berada di situ, kami dibawa pula ke kedai menjual kain yang kesemuanya diperbuat daripada kapas. Kain yang dijual di situ agak murah, contohnya kain alas meja besar hanya dijual dengan harga RM20.00 dan cadar katil dijual dari harga RM50.00 hingga RMRM300.00.
Setelah itu kami melawat City Palace sebuah istana lama yang diberi nama Chandra Mahal. Istana City Palace diilhamkan oleh Vidyadhar Bhattacharya bangsawan Brahmin.
Ia dibina pada 1727 dan mengambil masa empat tahun untuk siap. Reka bentuknya unik dan dari situ kami dibawa makan di sebuah restoran bertaraf empat bintang.
Seperti biasa hidangannya tidak lari dari nasi beriani, roti nan, masala sayur, masala kambing, kuah dal, dan sayuran lain. Setelah menikmati makan tengah hari kami diberi peluang membeli-belah di sekitar Red City.
Berjalan di sekitar Red City, kami terpaksa menutup hidung kerana tidak tahan dengan bau hancing tandas terbuka yang dibina di tepi jalan.
Air kencing yang bertakung di tepi membuatkan baunya naik dan meloyakan. Selain itu habuk dan debu jalan yang meliputi jalan raya membuatkan kita sesak nafas.
Jika anda ingin membeli sari, sandal kulit, cadar, rag, kasut wanita, harganya agak murah. Sepasang sari berkualiti dan berukuran enam meter dijual dengan harga RM25.00 sahaja.
Banyak kedai-kedai di tepi jalan menawarkan harga yang murah di situ. Untuk keselesaan, kami memilih untuk membeli-belah di sebuah kedai kecil yang mempunyai hawa dingin bagi mengelak bau yang kurang enak di persekitaran bandar.
Sekali lagi anda ditegah membeli sebarang makanan dan air yang dijual di tepi-tepi jalan dan sebaiknya anda membawa bekalan air minum atau mineral yang tersedia di bilik hotel ataupun yang disediakan oleh ejen pelancongan dalam bas.
Di bandar Jaipur anda tidak akan nampak sungai ataupun anak sungai kerana ia adalah bandar separa gurun.
Oleh sebab itu raja yang membangunkan bandar Jaipur telah membina sebuah tasik besar buatan manusia di tengah bandar. Di tengah tasik itu didirikan sebuah istana untuk musim panas. Kini istana itu tidak digunakan lagi dan ia menjadi peninggalan sejarah.
Dari sisi lain, kita jangan beranggapan dan berpandangan negatif terhadap bandar Jaipur secara khusus dan bandar-bandar lain di India secara umumnya. Selain panorama yang diceritakan Jaipur juga mengalami arus kemajuan. Selain bandar Red City, Jaipur juga dibangunkan seperti bandar lain. Pada tahun 2014, Jaipur akan mempunyai metro yang menggunakan kuasa elektrik sebagai salah satu pengangkutan bagi mengelak kesesakan jalan raya.
Di bandar Jaipur moden, wujud juga kompleks membeli-belah, restoran makan segera seperti Mcdonald's, restoran piza, dan kedai yang menjual barangan jenama seperti bandar-bandar lain.
Jaipur mempunyai keunikannya sendiri dan apa yang terkandung di buminya adalah identiti sebagai sebuah bandar yang pernah mengalami pembangunan terancang sejak tahun 1700-an lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: