SEBAHAGIAN penduduk di Lorong Seri Kemunting 21 membuat bantahan terhadap pemilik banglo yang dipercayai mengubah suai kediaman itu menjadi rumah burung walit kira-kira setahun lalu.
KUANTAN: Pulangan lumayan sehingga puluhan ribu ringgit hasil jualan sarang burung walet menyebabkan ada pihak sanggup menjadikan banglo tiga tingkat yang dianggarkan bernilai hampir setengah juta sebagai tempat perusahaan sarang burung berkenaan.
Mereka sepatutnya mengambil kira ketenteraman penduduk sebelum mengubah kediaman menjadi rumah burung dan memasang alat bunyian yang mengganggu kami hampir setiap hari. - T Subramanian, Penduduk
Namun, bukan banglo itu saja yang menyebabkan keresahan penduduk malah dua lagi rumah serta kebanyakan premis perniagaan di kawasan berkenaan dikatakan turut menjalankan kegiatan sama dan ada sebahagiannya sudah lama beroperasi.Penduduk, T Subramanian berkata, mereka kecewa apabila ada segelintir pemilik, termasuk pemilik banglo terbabit sanggup mengubah suai kediaman mereka semata-mata untuk mendapatkan keuntungan lumayan.
“Mereka sepatutnya mengambil kira ketenteraman penduduk sebelum mengubah kediaman menjadi rumah burung dan memasang alat bunyian yang mengganggu kami hampir setiap hari,” katanya.
Beliau dan beberapa penduduk lain sudah beberapa kali membuat aduan kepada pihak berkuasa tempatan namun tiada tindakan sewajarnya diambil malah pemilik rumah burung berkenaan tetap beroperasi seperti biasa.
“Banglo terbabit diubah suai dan digunakan sebagai rumah burung walet sejak setahun lalu manakala sebuah lagi rumah teres dua tingkat turut menjalankan kegiatan sama hampir tujuh tahun lalu.
“Bukan saja bunyi bising mengganggu kami setiap hari dari awal pagi sehingga lewat tengah malam malah kami bimbang sekiranya penyakit berpunca daripada najis burung akan merebak dan menjejaskan kesihatan penduduk di sini,” katanya.
Jirannya, Teoh Yew Peng, 30, pula berkata, seluruh ahli keluarganya tertekan apabila diganggu bunyi bising daripada alat bunyian yang dipasang setiap hari tambahan pula rumah mereka terletak hanya bersebelahan.
“Kami kini buntu untuk menyelesaikan masalah ini memandangkan pemilik rumah burung berkenaan seolah-olah tidak menghiraukan perasaan kami dan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera untuk mengembalikan suasana harmoni di kawasan ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: