Ahmad Idham (dua dari kanan) bersama tonggak 1Impian pada majlis prapelancaran program itu, baru-baru ini.
TIDAK mahu melihat bakat pengarahan golongan muda terbiar begitu saja di laman YouTube, pengarah dan penerbit filem terkenal, Ahmad Idham Ahmad Nadzri mewujudkan program TV realiti, 1Impian, bagi mencungkil bakat belia yang terdiri daripada penuntut institusi pengajian tinggi (IPT).
Bagaimanapun, program itu hanya terbuka kepada golongan belia yang berusia antara 18 hingga 25 tahun dan mempunyai idea menarik dalam penghasilan filem pendek.
Menurut Idham, setiap karya yang dihantar akan diadili juri profesional, termasuk dirinya sendiri. Karya mereka akan dinilai dari segi kreativiti, bukannya teknikal sesebuah filem.
“Penyertaan ini terbuka kepada semua golongan belia tidak kira penuntut IPT atau sebaliknya, tetapi mestilah mempunyai keaslian idea mereka sendiri dan karya yang dimuat naik itu mestilah berdurasi antara tiga hingga lima minit saja.
“Filem pendek yang dihasilkan perlu dimuat naik ke laman www.1impian.my untuk dinilai dan setiap muat naik akan dikenakan bayaran RM5,” katanya.
Pemilihan stesen TV terbabit sebagai penyiar program itu adalah kerana siarannya dapat ditonton di internet dan telefon anroid, yang menjadi medium terbaik untuk golongan belia.
Mengharapkan sambutan memberangsangkan daripada golongan belia seluruh negara, penyertaan yang sudah pun dibuka itu turut mengalu-alukan pembabitan penuntut Malaysia di luar negara.
“Kita wujudkan program ini bagi mencungkil bakat golongan belia, bukannya untuk menciplak atau mengambil idea mereka. Kita berharap, dengan adanya program ini, ia akan menjadi platform bagi mereka mengembangkan lagi bakat yang ada.
“Dengan cara ini juga mana-mana penerbit filem atau drama yang berminat untuk mengambil pengarah muda boleh berbuat demikian kerana mereka tidak terikat dengan kami selepas tamat program,” jelasnya.
Bagaimanapun hanya filem pendek berbahasa Melayu saja diterima dan tarikh tutup penyertaan akan dimaklumkan kelak melalui laman web terbabit.
Tanpa mengira genre filem dihasilkan, peserta bebas berkarya asalkan tidak melanggar undang-undang, keharmonian, perpaduan dan tata susila masyarakat Malaysia.
“Jika penghasilan sesebuah filem pendek itu membabitkan lebih daripada seorang, kita hanya pilih seorang pengarah saja. Hanya seorang saja yang layak bagi setiap penyertaan.
“Kita juga tidak mahu hadkan kreativiti mereka dalam berkarya atau meletakkan sebarang tema kerana ia akan menyempitkan idea mereka, sebab itu kita terima apa saja karya yang dihantar tetapi tidak berbaur perkauman mahupun seks,” terangnya.
Mengharapkan program terbabit akan menjadi pemangkin kepada pembangunan dan perkembangan industri perfileman negara, Idham mensasarkan lebih ramai bakat muda akan dapat diketengahkan, dengan idea baru dan segar.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: