Thursday, December 15, 2011

140 ingkar bayar cukai pintu

 ANGGOTA penguat kuasa MBAS  merampas perabot sebuah rumah di Taman Delima kerana gagal menjelaskan tunggakan cukai pintu di Alor Setar, semalam.
ANGGOTA penguat kuasa MBAS merampas perabot sebuah rumah di Taman Delima kerana gagal menjelaskan tunggakan cukai pintu di Alor Setar, semalam.
MBAS sita premis, rampas barangan pemilik secara berperingkat

ALOR SETAR: Sebanyak 140 premis termasuk sebuah kediaman di sekitar bandar raya ini dikesan ingkar membayar cukai pintu membabitkan nilai keseluruhan hampir RM30,000 kepada Majlis Bandaraya Alor Setar sejak 14 tahun lalu.
Justeru, MBAS bertindak mengeluarkan waran terhadap pemilik premis yang ingkar membayar cukai pintu, selain bertindak menyita premis itu secara berperingkat.
Sebelum ini kita membenarkan mereka membayar cukai pintu secara ansuran tetapi apabila ia melepasi tarikh ditetapkan, kita menghantar surat waran memaklumkan premis mereka akan disita manakala barangan dalam premis berkenaan akan dibawa ke pejabat MBAS. - Azalina Abdul Rahman, Ketua Bahagian Hasil MBAS
Ketua Bahagian Hasil Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Azalina Abdul Rahman, berkata pihaknya mengadakan operasi untuk menyita barangan pemilik premis serta mengeluarkan waran mengenai perkara itu sejak November lalu.

Katanya, operasi menyita dan mengangkut barangan pemilik premis yang ingkar dilakukan setiap tiga kali seminggu dan pihaknya mengesan mereka berdasarkan rekod yang ada pada majlis.

“Sebelum ini kita membenarkan mereka membayar cukai pintu secara ansuran tetapi apabila ia melepasi tarikh ditetapkan, kita menghantar surat waran memaklumkan premis mereka akan disita manakala barangan dalam premis berkenaan akan dibawa ke pejabat MBAS.

“Mereka boleh menuntut barangan terbabit dalam tempoh tujuh hari selepas tarikh sitaan dengan membayar jumlah keseluruhan cukai pintu yang tertunggak sebelum mereka boleh mengambil semula barangan terbabit,” katanya pada sidang media selepas operasi sitaan di sekitar bandaraya ini, semalam.
Dalam operasi semalam, lima premis termasuk tiga di Kompleks Peruda, satu di Mergong dan satu di Pekan Melayu di sini disita barangan manakala satu kediaman di Taman Delima, Jalan Datuk Kumbar, di sini.

Azalina berkata, semua premis yang diperiksa semalam, mempunyai tunggakan cukai keseluruhan nilai berjumlah lebih RM25,000 yang dipercayai tertunggak sejak 14 tahun lalu.

Bagaimanapun, pemeriksaan di sebuah rumah kediaman di Taman Delima, di sini berlaku kekecohan apabila pemiliknya mendakwa tidak pernah menerima surat waran atau surat cukai pintu sebelum ini.

Pemilik rumah terbabit yang berusia 40-an itu mendakwa dia baru berpindah dan membeli rumah itu daripada pihak lain, menyebabkan dia tidak tahu mengenai cukai pintu yang tertunggak itu.

“Bagaimanapun, berdasarkan rekod kita, dia sudah mendiami rumah berkenaan sejak 14 tahun lalu dan tidak pernah membayar cukai pintu sepanjang tempoh berkenaan, walaupun kita sudah menghantar surat dan waran bertarikh 14 November lalu,” katanya.

Azalina berkata, operasi itu dilakukan mengikut Seksyen 148 (Akta 171) Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang membolehkan pihak berkuasa memecah masuk premis.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pemilik premis di sekitar bandar raya ini yang belum menjelaskan tunggakan cukai pintu supaya berbuat demikian bagi mengelakkan barangan di premis dan kediaman mereka disita.

Operasi itu disertai 50 orang termasuk pegawai, kakitangan dan penguat kuasa MBAS yang bermula jam 10 pagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: