Wednesday, December 28, 2011

Melvin guna teknik 3D


Melvin Shah menunjukkan Lakaran fesyen untuk pertandingan ratu cantik Miss Tourism International 2011 yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini.


PERJALANAN minat Melvin Shah dalam dunia fesyen mungkin agak berbeza. Ini kerana kerjaya anak muda ini bermula sebagai jurusolek artis dengan sebuah jenama kosmetik terkenal dunia.

Bagaimanapun, minat yang mendalam dalam fesyen membawanya ke dalam dunia yang indah dan penuh berwarna-warni ini.

Amat membanggakan apabila Melvin kini telah memiliki butik pakaian sendiri yang terletak di sebuah pusat membeli belah yang terkenal di ibu kota.

Menamakan butiknya sebagai I Nee by Melson, Melvin menyediakan pakaian yang sedia dipakai seperti baju kurung eksklusif khusus untuk mereka yang inginkan persalinan yang berbeza untuk majlis istimewa.

Melvin yang merupakan ahli Persatuan Pereka Bumiputera (BDA) mula menghasilkan rekaan fesyen pada tahun 2005 semasa membuat lawatan pembeli ke luar negara.

Daripada situ dia memperoleh pengalaman yang luas dalam bidang fesyen dan kemudian mengambil keputusan untuk meneruskan minatnya dalam bidang tersebut dengan menjual pakaian sedia dipakai.

Bermula dengan pakaian yang sedia dipakai, kini Melvin sudah bijak menghasilkan rekaan yang lebih eksklusif dan kontemporari.

Kebanyakan rekaan baju kurung yang dihasilkan adalah berpotongan kurung Pahang dan Riau yang mendapat permintaan baik daripada pelanggan.

Setiap helai baju disudahi dengan perincian manik dan batu-batu permata yang bermutu tinggi.

"Setiap corak manik dan sulaman adalah atas kreativiti saya dan mengikuti perkembangan semasa kerana tidak mahu sama dengan baju butik-butik lain.

"Jika dahulu saya banyak menggunakan teknik sulaman dan manik Jepun tetapi sekarang saya menggunakan teknik 3D dan manik crump kerana teknik ini menjadikan manik nampak timbul,'' katanya.

Pada pertunjukan fesyen BDA/MIfa 2011 baru-baru ini, Melvin menghasilkan rekaan moden daripada fabrik corak ular sawa yang berbeza daripada rekaan pereka-pereka lain.

Menurut Melvin, jika dahulu dia bersikap tidak mahu menonjol kerana mahu menimba lebih banyak ilmu dan pengalaman dalam fesyen, namun kini dia mahu lebih dikenali.

Malah baru-baru ini dia diberi peluang mereka persalinan bagi salah seorang peserta pertandingan ratu cantik Miss Tourism International 2011.

Menurut Melvin, pada pertandingan yang disertai ratu cantik dari 58 negara itu, dia menyediakan rekaan fesyen untuk peserta Korea.

"Untuk rekaan pertandingan ini, saya menghasilkan rekaan gaun yang menggunakan batik tjanting tangan bermotif wayang kulit.

"Sebelum menghasilkan rekaan, saya telah membuat kajian mengenai beberapa jenis wayang kulit yang terdapat di Terengganu, Kelantan, Indonesia, Thailand dan Burma. Setiap negeri dan negara ini mempunyai motif wayang kulit yang berbeza daripada segi perwatakan.

"Bagi saya, seorang pereka itu harus kreatif dan menggunakan elemen semasa bagi menonjolkan kreativiti kepada rekaan,'' ujar Melvin yang ditemui baru-baru ini.

Tambahnya, terdapat pelanggan yang mahukan sentuhan istimewa pada baju namun tidak mampu membeli yang berjenama mahal.

Justeru memintanya untuk menghasilkan rekaan yang sedemikian dan Melvin berpuas hati kerana dapat memuaskan hati pelanggannya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: