Saturday, December 24, 2011

Paris tetap di hati Datuk Shake


GAMBAR terbaru Datuk Shake dan keluarga sewaktu hadir pada pelancaran pertandingan 1Impian di Kuala Lumpur baru-baru ini.


DATUK Shake mula mencipta nama sebagai penyanyi di Paris, Perancis pada awal tahun 1980-an. Bagaimanapun pada 1986 beliau berhijrah bersama-sama keluarganya ke Los Angeles, Amerika Syarikat selama 22 tahun.

Tiga tahun lalu, anak kelahiran Johor ini pulang semula ke Paris dan menetap di sana bersama anak-anak dan cucu-cucunya sehingga kini. Bagi Shake, Paris seakan-akan tidak boleh berpisah dengan kehidupan sehariannya.

Pemilik nama sebenar Sheikh Abdullah Ahmad Bakhbereh ini berpendapat, ibu negara Perancis itu banyak meninggalkan kenangan manis kepadanya. Justeru tidak hairan, dia secara peribadi amat menyenangi kotaraya terkemuka itu.

“Saya mula berhijrah dari Johor ke Paris pada tahun 1973. Sejak itu, saya jatuh cinta dengan Paris. Biarpun 22 tahun pernah menetap di Los Angeles, saya tidak dapat melupakan Paris yang menjadi bandar kegemaran.

“Selain suka dengan cuaca empat musim di sana, saya tertarik untuk menghabiskan penghujung hayat di Paris kerana semua anak-anak dan cucu-cucu saya menetap di sana,” katanya kepada S3 pada pertemuan dengannya baru-baru ini.

Bapa kepada empat anak dan datuk kepada lima cucu ini berkata, jika ditakdirkan meninggal dunia pun dia tidak kisah jenazahnya disemadikan di Paris bagi memudahkan anak-anak serta cucu-cucu menziarahi pusaranya kelak.

Jelas penyanyi berusia 61 tahun, itu bukan bermakna dia lupa asal usul dan tidak menghargai tanah tumpah darah, sebaliknya dia berfikiran demikian setelah mengambil kira keperluan keluarga.

“Saya masih orang Melayu walaupun berkahwin dengan wanita Yugoslavia. Sudah terlalu lama menetap di luar negara menyebabkan saya menganggap diri saya sebagai world citizen. Sebab itu saya tidak kisah kalau meninggal dunia nanti hendak dikebumikan di mana.

“Tetapi kalau di Paris, lebih memudahkan keluarga saya. Bagi, saya kalau sudah ajal di mana-mana pun boleh mati dan termasuklah juga untuk dikebumikan di mana. Saya serahkan semua itu kepada Allah yang lebih mengetahui kesudahan perjalanan hidup saya nanti,” ujarnya.

Cabaran pertahan identiti

Sebagai anak yang dibesarkan dalam keluarga Melayu, Shake yang pernah popular dengan lagu seperti Umi dan Lina ini, dia tidak menafikan berdepan dengan pelbagai cabaran dalam mempertahankan identiti diri.

Antaranya kata Shake ialah soal penggunaan bahasa dalam keluarganya, selain anak-anaknya yang berkahwin campur dengan pelbagai bangsa sehingga menjadikan mereka tidak setakat bertutur dalam satu bahasa sahaja.

“Biasanya di rumah dua anak perempuan saya Natasha dan Mina lebih banyak berbahasa Perancis, manaka dua anak lelaki kembar saya, Amiir dan Amaro cenderung berbahasa Inggeris kerana mereka sejak kecil tinggal di Los Angeles.

“Bagaimanapun, saya tidak lupa mengajar mereka bahasa Melayu. Sedikit sebanyak mereka faham dan akan menggunakannya pada waktu-waktu tertentu.

“Saya tidak nafikan bukan mudah untuk mempraktikkan bahasa Melayu dalam diri mereka kerana persekitaran yang lebih cenderung kepada penggunaan bahasa Perancis dan Inggeris. Apa pun saya telah mencuba sedaya upaya,” ujarnya.

Shake yang mula menjadi penyanyi secara profesional di Paris pada tahun 1976 berkata, biarpun telah 35 tahun bergelar artis bertaraf antarabangsa tetapi pada masa sama tetap tidak melupakan para peminat di sini.

Pada usia emas, penyanyi ini bukan sahaja masih bertenaga di atas pentas tetapi dia juga teringin merakamkan album Melayu dan mengadakan konsert terbarunya di Kuala Lumpur selepas hampir 25 tahun tidak berbuat demikian.

“Kalau tidak silap, konsert terakhir saya di Kuala Lumpur ialah pada pertengahan tahun 1980-an di mana selepas itu saya hanya mengadakan persembahan-persembahan kecil sahaja. Saya juga teringin merakamkan album Melayu lagi.

“Ini kerana, sampai bila saya mahu bergantung dengan lagu-lagu popular saya seperti Anugerah Dari Kegagalan, Lina ataupun Umi. Tidak dinafikan lagu-lagu itu bertaraf malar segar tetapi saya juga perlukan lagu-lagu dan album terbaru,” jelasnya.

Mencari lagu Melayu baru

Baru saja menghasilkan album dalam bahasa Perancis berjudul Hier et d’Aujourd’hui, Shake kini sedang dalam proses mencari lagu-lagu Melayu yang sesuai untuk dirakamkan pada masa akan datang.

Sungguhpun jauh di perantauan tetapi anak ke-10 daripada 12 beradik ini juga sentiasa berkunjung ke Malaysia apabila mendapat undangan menyanyi ataupun kerana mengunjungi sanak saudara dan rakan-rakannya di sini.

Terbaru pada pertemuan dengan S3 di Kuala Lumpur itu, Shake hadir memenuhi undangan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia, Datuk Md. Afendi Hamdan dalam pertandingan 1Impian.

“Saya memenuhi undangan Datuk Md. Afendi sewaktu kami berjumpa di Paris baru-baru ini. Pada kunjungan ini saya mengadakan persembahan di pelancaran 1Impian bagi mencari pengarah filem baru,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: