Saturday, December 24, 2011

Castury perkenal pop dakwah


DENGAN imej yang ringkas Castury tidak kelihatan seperti kumpulan nasyid tetapi lebih ke arah irama pop.


LAGU-lagu dakwah atau yang berunsurkan ketuhanan kini tidak lagi dibawakan menerusi irama nasyid semata-mata. Sebaliknya, ia juga boleh diterapkan dalam pelbagai lagi genre muzik popular termasuklah pop.

Pendekatan itu secara tidak langsung akan memperkembangkan lagi mesej-mesej yang positif dalam lagu. Kumpulan pop Castury misalnya, sejak beberapa tahun lalu cuba mempopularkan jalur muzik tersebut.

Selepas mencuba formula itu, Castury yang dianggotai Mohd. Hafiz Hamid, 37, Mohd. Fetri Hussin, 26, dan Mohammad Azim Mohd. Salleh, 22, mendapati lagu-lagu pop dakwah yang kontemporari mudah diterima para pendengar.

“Dalam hal ini, kalau boleh kami mahu menarik perhatian bukan peminat nasyid supaya mereka juga membeli dan mendengar lagu-lagu kami. Apatah lagi, lagu-lagu kami juga agak kontemporari dan ke arah world music.

“Namun, daripada segi lirik, ia tetap positif iaitu dengan menampilkan lirik tema ketuhanan dan kemanusiaan yang tidak lari daripada kebiasaan dalam lagu-lagu nasyid,” ujarnya kepada S3.

Bukti sambutan para peminat terhadap lagu-lagu Castury apabila salah satu lagu mereka yang berjudul Santun Berpesan telah dicalonkan dalam kategori Top 5 Etnik Pop Terbaik Anugerah Industri Muzik Malaysia ke-18 baru-baru ini.

Lagu itu yang turut mengundang Ayati Tasrip, penyanyi pop era tahun 1980-an sebagai pasangan duet mereka semakin mendapat sambutan para pendengar biarpun selepas hampir setahun ia berada di pasaran.

Santun Berpesan yang liriknya ditulis oleh Muhammad Devotees dan melodinya dicipta oleh Adi Akmal itu merupakan sebuah lagu berkonsepkan pop dan ia dinyanyikan secara berharmoni oleh tiga anggota Castury.

Lagu itu yang dipetik daripada album sulung mereka yang bertajuk Seharum Kasturi Wangian Syurgawi itu terbitan Allkind Music Entertainment yang dijual pada harga RM21.90 banyak dijual menerusi Internet.

Selain menampilkan gaya muzik yang lebih moden, Castury kata Hafiz turut mengambil pendekatan yang sama pada imej dan penampilan mereka yang lebih ringkas di mana pada masa sama mengikut trend fesyen semasa.

Jelas Hafiz, kebiasaannya kumpulan nasyid tampil bukan setakat daripada segi jalur muzik yang sealiran dengan kumpulan-kumpulan nasyid sedia ada, tetapi penampilan mereka juga hampir sama seperti bersongkok dan berpakaian seragam.

“Tidak semestinya menyanyikan lagu-lagu nasyid setiap kumpulan nasyid itu kena bersongkok. Sekarang ini, semakin ramai kumpulan atau penyanyi nasyid yang tidak bersongkok seperti artis antarabangsa, Maher Zain.

“Apa yang penting penampilan kami kemas dan sesuai serta lirik lagu-lagu kami yang positif termasuklah tentang ketuhanan atau kemanusiaan. Sekarang ini para peminat semakin bijak menilai semua elemen itu,” ujarnya.

Tambah Mohd. Hafiz, dia berharap penampilan imej anggota kumpulannya yang lebih moden termasuk menggayakan fesyen-fesyen terkini itu diharap mampu menarik perhatian terutamanya generasi muda hari ini.

Justeru katanya, Castury bukan setakat mahu menarik kalangan peminat irama nasyid tetapi juga membuka ruang kepada para peminat genre muzik-muzik lain agar turut menghayati lagu-lagu mereka.

“Sebab itu kami jemput Ayati Tasrip berduet dalam Santun Berpesan selain dengan Azwan iaitu anggota kumpulan nasyid Far East melalui lagu Sandaran Harapan,” tuturnya.

Album Seharum Kasturi Wangian Syurgawi itu diedarkan oleh Universal Music (Malaysia) Sdn. Bhd. di mana ia juga boleh dibeli melalui laman sesawang Munsyeed.com yang turut menjual pelbagai lagi album artis-artis lain.

Enam lagu yang dimuatkan dalam album Seharum Kasturi Wangian Syurgawi berjudul Kau Bernama Kasturi, Hanya Pasrah Menanti, Sandaran Harapan, Lumrah Kehidupan, Santun Berpesan dan Hanya Pasrah Menanti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: