Saturday, December 24, 2011

Luahan mata pen


BAGI Syahbandi, bahan yang digunakan tidak penting kerana kemampuan dan kebolehan untuk menghasilkan karya bermutu seharusnya diutamakan terlebih dahulu.


MELIHATKAN karya pelukis muda yang dipamerkan pada pameran Malaysian Emerging Artist Award (MEAA) 2011 anjuran Galeri House of Matahati dan Galeri Chandan, penulis dapati kebanyakkan daripada mereka lebih gemar berkarya menggunakan bahan medium seperti cat minyak dan arkelik.

Namun karya anak kelahiran Sarawak, Muhammad Syahbandi Samat, 19, yang merupakan salah seorang pemenang pertandingan itu agak unik dan berlainan dari yang lain.

Ini kerana, beliau lebih gemar berkarya menggunakan pen mata bulat yang sering digunakan di pejabat untuk menulis.

Digabungkan dengan keindahan seni figura moden, luahan yang sedang bergolak di dalam diri anak muda itu bercirikan persoalan.

Dalam siri kerjanya itu, secara tidak langsung Syahbandi berjaya mencipta satu siri kerja berdasarkan metafora karya-karya berusur cerita dongeng seperti watak Pinnochio dan Sleeping Beauty.

Olahan beliau yang kelihatan agak dramatik itu diharapkan diterima ramai.

Selain itu, keberanian Syahbandi untuk mendalami medium yang agak jarang digunapakai oleh seniman ternama seharusnya dipuji memandangkan beliau berbakat dan berkebolehan untuk pergi lebih jauh.

Ketika ditemui di Wisma Kebudayaan Soka Gakkai Malaysia (SGM), Syahbandi berkata, selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), beliau terus mengambil keputusan untuk berkarya secara sepenuh masa.

Syahbandi berkata, karya-karyanya itu hanya dihasilkan menggunakan pen jenama Kilometriko.

“Untuk menghasilkan karya sebesar 136 x 87cm saya menggunakan tujuh batang pen pelbagai warna.

“Setiap karya itu mengambil masa selama tiga minggu untuk disiapkan,” jelasnya.

Menurutnya, karya tersebut diharapkan mampu mengubah persepsi masyarakat kerana karya pen mata bulat juga boleh menghasilkan karya yang cantik untuk tatapan ramai.

“Saya pernah menggunakan medium lain seperti pencil warna dan cat air tetapi kos membeli medium itu lebih mahal berbanding pen Kilometriko.

“Mungkin satu hari nanti saya akan gunakan bahan medium lain tetapi kalau boleh saya nak orang kenali saya sebagai artis yang menghasilkan karya menggunakan pen mata bulat,” ujar Syahbandi.

Katanya, dalam kontek kesenian, bahan yang digunakan tidak penting kerana kemampuan dan kebolehan untuk menghasilkan karya bermutu seharusnya diutamakan terlebih dahulu.

Tambahnya, karya-karya seni yang dihasilkan beliau merupakan luahan perasaan seperti yang ditonjolkan dalam karya Twisted Fairy Tale Series- Pinnochio.

“Dalam karya ini saya gambarkan Pinnochio tidak yakin dengan dirinya selepas bertukar menjadi manusia sejati sehingga dia menghiris bahagian pipinya sehingga terkoyak.

“Simbolik perilaku tersebut ialah untuk menyentuh persoalan manusia yang sering berasa sangsi dan tidak yakin dengan kebolehan diri sendiri sehingga mereka sanggup melakukan perkara-perkara yang tidak dijangkakan,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: