DURIAN BADOR – Penantian penduduk untuk pembinaan longkang atau sistem perparitan sistematik ibarat menunggu bulan jatuh ke riba kerana hampir tujuh tahun hasrat itu belum ditunaikan mana-mana pihak yang bertanggungjawab.
Ibu tunggal, Lijah Salleh, 61, berkata, setiap tahun dia terpaksa menghadapi masalah air bertakung di halaman rumah dan tidak kurang juga yang memasuki ruang rumah terutama musim tengkujuh atau hujan lebat.
“Kalau bukan musim tengkujuh, apabila hujan lebat sekali pun boleh menyebabkan air bertakung di halaman rumah kerana tiada longkang di kiri dan kanan jalan di hadapan rumah.
“Lagipun kedudukan rumah ini lebih rendah daripada jalan besar (jalan utama) ke Sekayu, mempercepatkan air turun ke kawasan rumah kami dan bertakung sehingga mengambil masa berminggu-minggu kalau cuaca tidak panas. Beginilah keadaan yang terpaksa dihadapi tujuh keluarga di kawasan ini terutama rumah di bahagian kiri jalan ke Sekayu,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, masalah itu diadukan kepada pihak terlibat tetapi belum ada kata putus menyebabkan mereka menanti dan terus menanti penyelesaiannya.
“Tidak tahan dengan masalah ini, dua tahun lalu, dengan duit yang dikumpulkan sedikit demi sedikit, bahagian dapur ditinggikan bagi mengelak air memasuki kawasan ini.
“Tetapi ia hanya selesai di bahagian dapur, di halaman dan belakang rumah air masih bertakung serta menyebabkan pembiakan jentik-jentik pula,” katanya.
Lijah berharap, masalah itu tidak berlarutan dan ada pihak tampil membantu menyelesaikannya supaya mereka tidak menjadi mangsa untuk tahun berikutnya.
Pinjam wang AIM untuk tambun tanah
Seorang lagi penduduk, Senik Yasin, 60, berkata, dia yang tidak mempunyai pendapatan tetap terpaksa meminjam wang daripada Amanah Ikhtiar (AIM) untuk membuat pengubahsuaian dapur.
“Duit yang dipinjam ini digunakan untuk tambun tanah bagi meninggikan bahagian dapur kerana sering dimasuki air hujan yang bertakung.
“Kalau ada longkang tidaklah air masuk ke dalam rumah seperti ini sehingga mencecah paras lutut,” katanya.
Menurutnya, jika musim tengkujuh pula, keadaan semakin teruk kerana air lambat kering dan menyebabkan banyak masalah lain.
“Pernah suatu masa, wakil pejabat kesihatan datang, katanya hendak memeriksa nyamuk. Memanglah kalau air bertakung macam ini, masalah itu akan timbul, tetapi kalau disaman sekali pun, apa boleh kami buat sebab air yang bertakung mengambil masa lama untuk kering,” katanya.
Senik berkata, untuk meninggikan rumah, mungkin mereka boleh meminjam, tetapi jika longkang pun terpaksa dibuat sendiri sedangkan ada pihak bertanggungjawab menguruskan semua itu, mereka menyerahkan kepada yang layak.
“Ini semua bukan untuk kepentingan diri sendiri, tetapi untuk orang ramai, penduduk kampung di sini juga selesa,” katanya.
Usaha cari penyelesaian
Sementara itu Sinar Harian menghubungi Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Wan Razali Wan Ismail untuk merungkai masalah serta mencari jalan penyelesaian terbaik.
Menurutnya, longkang dibuat terus ke padang bola di belakang rumah penduduk berkenaan dan ia mengalir terus ke anak sungai yang berada di kawasan itu.
“Dulu sudah ada longkang tetapi cuma gali biasa, bukan buat konkrit menyebabkan ia tidak dapat berfungsi dengan baik.
“Untuk tahun ini pun sudah lulus satu pakej longkang yang telah dibina di bahagian hujung padang bola. Kemudian, kita akan sambung longkang ini menghala ke jalan besar dan memang akan ada longkang di hadapan rumah mereka, cuma sedang tunggu pakej seterusnya,” katanya.
Menurutnya, dalam pembinaan longkang, ia perlu diambil dari hujung terlebih dahulu sebelum dibawa ke hadapan.
Beliau berkata, sekiranya hujan lebat tambahan pula musim tengkujuh, kawasan itu dipenuhi air, tetapi belum ada yang terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan.
“Saya sebagai pemimpin di kampung ini sudah berusaha mencari jalan penyelesaian terbaik untuk penduduk kampung, dan berharap mereka bersabar,” katanya.
Manakala penghulu mukim Hulu Telemong, Effy Hamsha Ariffin berkata, peruntukan sudah disalurkan kira-kira RM150,000 untuk naik taraf jambatan di kampung itu dan ia mengambil masa sedikit untuk meluluskan permohonan berikutnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: