TANPA pernah mengenal erti putus asa, disulami dengan usaha gigih yang berterusan, akhirnya pasangan suami isteri ini berjaya mengecapi kejayaan.
Walaupun pembabitan mereka di dalam bidang perniagaan banyak risiko serta cabarannya, namun bagi Mohd. Ashrin Alias, 43, dan isterinya, Nurulhuda Yaacob, 39, semua itu asam garam dunia perniagaan.
Bermula dengan perniagaan sewa kanopi, Wisma Sri Angsana kini berdiri megah dengan menawarkan perkhidmatan kanopi dan katering serta pakej perkahwinan yang berkualiti pada harga berpatutan.
Begitupun, jelas mereka, kejayaan yang dikecapi hari ini juga berkat sokongan dan dorongan daripada keluarga dan para pelanggan.
Menyorot kembali detik awal pembabitan mereka di dalam bidang perniagaan ini, jelas Nurulhuda, perniagaan mereka bermula pada tahun 1996 di Pandan Indah, Kuala Lumpur.
Ketika itu, mereka hanya menyewakan kanopi untuk majlis-majlis perkahwinan dan setahun selepas itu mereka mengembangkan perniagaan dengan menambah katering.
Ini kerana, menurut Nurulhuda atau lebih mesra disapa Nurul, pihaknya mendapat permintaan daripada pelanggan untuk memudahkan mereka mendapatkan kesemua perkhidmatan di bawah satu bumbung.
"Alhamdulillah, hari ini Sri Angsana Canopy & Caterer boleh dikatakan sebagai one stop centre (pusat sehenti) bagi bakal pengantin mendapat perkhidmatan untuk majlis kenduri.
"Ini kerana selain menyediakan kanopi dan katering, kami turut menawarkan pakej perkahwinan seperti pelamin, pakaian, solekan, fotografi dan sebagainya lagi.
"Yang penting, kami memudahkan para pelanggan mendapatkan kesemuanya di bawah satu bumbung dengan harga yang berpatutan," ujarnya ketika ditemui di premis perniagaannya yang terletak di No. 14, 18 & 22, Jalan Nirwana 37, Taman Nirwana Off Jalan Kampung Pandan, Ampang, Selangor.
Turun padang
Jelas ibu kepada dua cahaya mata ini lagi, perniagaan mereka kini merupakan perniagaan keluarga di mana rata-rata yang bekerja dengan mereka adalah adik beradik selain pekerja-pekerja lain.
Turut mempunyai empat anak syarikat di bawah Sri Angsana canopy & Caterer, Nurulhuda memberitahu ia adalah untuk memudahkan pengurusan yang berlainan perkhidmatan.
Anak syarikat yang berjaya ditubuhkan sepanjang 15 tahun mereka beroperasi ialah Sri Angsana Caterer, Sri Angsana Cipta, Sri Angsana Event dan Sri Angsana Canopy.
Berbicara lanjut mengenai kelebihan mereka sebagai sebuah syarikat yang menawarkan perkhidmatan untuk majlis kenduri kahwin, hari ini Sri Angsana Canopy & Caterer turut terkenal dengan masakan daging masak hitam, daging kambing masak kuzi dan lauk-lauk lain yang beridentitikan Johor.
Ini kerana selain mereka berasal dari Johor, resipi yang diketengahkan juga merupakan resipi keluarga turun temurun.
Tambah Nurul, bagi mengekalkan rasa dan keenakan makanan, dia dan suami akan memasak sendiri setiap hidangan yang ditempah walaupun mempunyai 30 orang kakitangan untuk tugas-tugas di dapur.
Maka tidak hairan, walaupun kini pasangan tersebut menjawat jawatan tinggi di syarikat tersebut, mereka masih lagi turun padang untuk memastikan segala-galanya berjalan lancar.
Sekarang ini, setiap bulan mereka sudah mempunyai tempahan majlis perkahwinan untuk diuruskan.
Tempahan majlis yang diterima hanya dihadkan untuk hari minggu iaitu Sabtu dan Ahad.
Hari ini, perniagaan yang turut disertai adik Ashrin, Mohd. Azlan, sebagai pemilik bersama itu, turut menawarkan tiga pakej perkahwinan percuma bagi setiap tempahan katering.
Pakej-pakej tersebut sudah pasti berbeza antara satu sama lain tetapi mereka tetap didatangkan dengan pakej perkahwinan percuma antaranya kanopi, kek pengantin, meja pengantin, hidangan pengantin serta pelayan beruniform.
Boleh didapati pada harga semurah RM8.80 seorang (pakej 1), kesemua pakej yang ditawarkan mestilah dengan jumlah tempahan minimum 1,000 orang jemputan.
"Sebenarnya, melalui pakej ini, semua masyarakat kelas rendah juga mampu untuk mengadakan majlis perkahwinan yang mereka idam-idamkan dalam suasana gilang-gemilang," ujar Nurul.
Bagi mereka yang ingin mendapatkan perkhidmatan Sri Angsana Canopy & Caterer, anda boleh layari laman web www.sriangsanacaterer.blogspot.com.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: