Saturday, December 24, 2011

Khasiat rempah ratus


Asam Pedas Muara dan Ekor Lembu Pedas Berempah merupakan antara sajian masakan Melayu yang ditawarkan Restoran Big Apple, Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur.


MASAKAN Melayu bukan lagi asing kepada masyarakat pelbagai kaum di negara ini memandangkan sajian tersebut mampu membuatkan sesiapa sahaja terbuka selera tidak kira ketika makan tengah hari mahupun makan malam.

Selain rasanya yang eksotik, manis dan pedas, sajian masakan tersebut pastinya lebih enak dimakan jika ia disediakan air tangan ibu atau isteri.

Istimewanya, walau terdapat pelbagai hidangan gabungan (fusion), namun cita rasa sebenar masyarakat Melayu masih dikekalkan keasliannya sehingga ke hari ini.

Baik untuk awet muda

Jika anda ingin kelihatan muda dan mempunyai tubuh yang lebih sihat dan menawan, Gaya Chef membawa pembaca bertemu dengan Chef De Cuisine, Mazlee Abdul Rahman, yang menceritakan `kekayaan’ khasiat masakan Melayu.

Ketika bertemu dengannya di Restoran Big Apple yang terletak di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur, Chef Mazlee sempat berkongsi pengalaman beliau dalam bidang yang diceburinya selama 22 tahun.

Menurutnya, sebagai seorang tukang masak yang berkebolehan memasak apa jua juadah masyarakat dunia, namun baginya masakan Melayu mempunyai keistimewaannya yang tersendiri.

“Masakan kita amat istimewa dan mempunyai pengaruh yang tersendiri sehingga ia dikenali diseluruh dunia.

“Malah keunikan masakan kita lebih kepada penggunaan rempah ratus yang diamalkan oleh nenek moyang kita dahulu.

“Pengambilan rempah ratus dalam sajian harian amat baik untuk kesihatan lebih-lebih lagi bahan tersebut amat ajaib dan terbukti kemujarabannya dalam ujian klinikal,” jelasnya.

Beliau berkata, antara bahan yang sering digunakan dalam masakan Melayu ialah serai, kayu manis, jintan, lada hitam, cengkih, halia, kunyit dan santan.

“Setiap rempah ratus yang digunakan mempunyai khasiat untuk kesihatan contohnya seperti kayu manis mampu mencegah lebihan kandungan gula dalam darah, melancarkan peredaran darah dan membantu mengatasi masalah suhu badan yang rendah.

“Minyak daripada jintan mengandungi carminative (gas pelega) untuk melegakan masalah kembung dan sakit perut malah ia turut mampu meredakan batuk dan sakit kerongkong.

“Lada hitam pula boleh melegakan masalah kerap membuang air kecil, perisa dan minyak cengkih menyekat pertumbuhan bakteria, halia membantu menyeimbangkan kandungan gula dalam darah, kunyit mampu meningkatkan daya ingatan dan menyembuhkan kesan luka serta santan berkhasiat untuk mengekalkan daya ketahanan badan seseorang,” kata Chef Mazlee.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: