Saturday, December 24, 2011

Kuasa peserta wanita


BERDEBAR. Azmarul akhirnya tewas kepada Mafa (kiri).


Akhirnya, hanya dua peserta wanita iaitu Norhasmidar Ahmad (Asmidar) dan Mafarikha Md. Akhir (Mafa) layak ke peringkat akhir program realiti Vokal Bukan Sekadar Rupa (Vokal) sekali gus mengenepikan seorang lagi peserta, Azmarul Azuan Harun (Azmarul) dalam peringkat separuh akhir yang berlangsung pada minggu lalu.

Kemaraan dua peserta wanita ke peringkat akhir sudah dapat diramal berdasarkan persembahan yang mereka berikan pada minggu lalu. Asmidar mara dengan mudah apabila mendapat undian tertinggi sebanyak 58 peratus selepas persembahan menariknya menerusi dua buah lagu, Can’t Take My Eyes Of You dan Bagaikan Sakti duet bersama Bob AF.

Sebaliknya, Mafa yang mendapat undian sebanyak 48 peratus dan Azmarul 43 peratus terpaksa berentap dalam peringkat Battle menerusi lagu yang sama iaitu Awan Nano dendangan asal penyanyi Hafiz.

Berdasarkan persembahan peringkat Battle itu, dua juri tetap Erra Fazira dan Azmeer sebulat suara memilih Mafa sebagai peserta yang layak ke peringkat akhir. Azmarul yang mendendangkan lagu Dua Insan duet bersama Wana dan Terima Kasih Cinta terpaksa akur dengan pilihan juri.

“Walaupun saya tersingkir, saya bersyukur kerana saya layak berada sehingga peringkat separuh akhir, itu sudah cukup baik buat saya. Sebenarnya memang saya sedih tetapi bukan rezeki saya untuk ke peringkat akhir, saya terima dengan hati yang terbuka, maknanya banyak lagi perkara yang harus saya belajar untuk menjadi yang terbaik

“Saya berterima kasih kepada semua orang yang menyokong saya selama ini. Walaupun saya memiliki badan yang besar itu bukan satu halangan untuk saya mencapai impian,” ujarnya yang memasang impian untuk memiliki sebuah lagu single, namun hasrat tersebut harus dilupakan selepas dia tersingkir.

Mafa, gadis berusia 19 tahun pula tidak menyangka dirinya akan layak peringkat akhir, malah telah menyiapkan dirinya andai dia tersingkir pada minggu lalu selepas mendendangkan lagu Earth Song dan Asmara duet bersama Atilia.

“Saya ada perasaan mungkin saya yang akan tersingkir kerana pada peringkat separuh akhir ini, siapa-siapa pun boleh disingkirkan. Saya akan melakukan persembahan yang terbaik pada peringkat akhir nanti dan setakat ini saya sudah mempunyai lagu pilihan sendiri,” tuturnya.

Asmidar pula mengakui bagai tidak percaya apabila namanya disebut dahulu secara automatik melayakkannya ke peringkat akhir. Dia mendapat pujian daripada pihak juri untuk kedua-dua persembahannya turut meluahkan rasa sedih apabila menyaksikan seorang rakannya tersingkir.

“Memang program ini sebuah pertandingan tetapi selepas berminggu-minggu membuat persembahan bersama kami jadi rapat. Apabila tahu saya layak ke peringkat akhir dan masa yang sama saya juga rasa sedih sebab salah seorang daripada rakan saya akan tersingkir.

“Apapun selepas bekerja keras dan diberi kepercayaan oleh penonton, saya akan memberikan persembahan yang terbaik pada peringkat akhir nanti,” ujarnya yang berusia 25 tahun.

Menurut Erra pula, kedua-dua peserta wanita sememangnya layak untuk berada di peringkat akhir berdasarkan kualiti yang ada dalam diri mereka. Sudah namanya program vokal, sudah tentu mereka yang dipilih memiliki vokal yang mengkagumkan.

“Disebabkan namanya program vokal, penonton serta kami sendiri mencari mereka yang memiliki vokal yang hebat, perkara lain terletak di tangga kedua. Saya harap pilihan penonton dan kami sendiri tidak salah. Saya yakin mereka berdua mampu berikan persembahan yang baik kerana kami tidak mahu dengar suara yang biasa-biasa sebaliknya suara yang hebat,” ucapnya.

Azmeer pula memberitahu, kedua-dua peserta yang mara ke peringkat akhir mempunyai kelebihan yang tersendiri termasuk perbezaan dalam genre lagu yang bersesuaian dengan mereka.

“Selepas berminggu-minggu, saya lihat banyak peningkatan dalam diri mereka tetapi mereka masih belum boleh jadi yang terbaik. Banyak lagi yang perlu dipelajari dan saya gembira melihat peningkatan yang ada pada Mafa. Saya tidak boleh kata siapa yang lagi baik kerana kita kena tunggu dan lihat persembahan mereka nanti,” balasnya.

Pada peringkat akhir peserta akan menyanyikan tiga buah lagu, iaitu lagu pilihan sendiri, sebuah lagu baharu dan sebuah lagu yang dipilih oleh pihak lawan.

Program akhir Vokal bagi merebut gelaran juara sekali gus membawa pulang wang tunai sebanyak RM50,000 bakal berlangsung pada 25 Disember ini di Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Selangor dan disiarkan secara langsung pada pukul 9 malam di TV3.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: