Saturday, December 24, 2011

Tiada Masa Untuk Membeli Belah



BAGI pemuda bujang berusia 30 tahun, Hansen Lee,, kesibukan dirinya sebagai hos The Breakfast Show dan pekerjaan lain telah melambatkan aktiviti memilih hadiah Hari Natal buat keluarga dan teman.

"Saya bercuti tidak lama, hanya sebanyak dua hari termasuk hujung minggu. Mengenai persiapan Hari Natal, saya memang tiada apa-apa lagi untuk keluarga. Saya hanya akan membeli-belah setelah saya punyai sedikit ruang waktu untuk membeli-belah kelak. Tahun ini sememangnya tahun sibuk untuk saya," ujar Hansen yang akan meraikan perayaan ini di Kuala Lumpur bersama keluarga dan teman.

Tinggal bujang bersama rakan-rakan, Hansen tidak menghias rumah bagi perayaan itu sebaliknya, kebiasaan baginya ialah berkunjung ke rumah kakak yang menetap di Singapura untuk membantu menghiasi kediaman kakaknya itu.

Namun, tahun ini, dia tidak akan berkunjung ke Singapura memandangkan kakaknya akan pulang ke rumah mertua di Melaka bagi meraikan Hari Natal tahun ini.

Bagi jejaka tinggi lampai dan berbadan tegap ini, istimewanya Hari Natal tahun ini bagi dirinya ialah ia merupakan masa untuk melihat apa yang telah dicapai sepanjang tahun 2011 berlangsung, umpama menilai semula pencapaian.

"Keistimewaan tahun ini sebenarnya lebih kurang sama dengan tahun sebelumnya yang juga merupakan satu kebiasaan iaitu berkumpul bersama keluarga dan teman, dan semestinya makan dengan banyak terutamanya ayam belanda yang sememangnya menjadi makanan tradisi semasa perayaan Hari Natal di seluruh dunia," tutur lelaki yang berkelulusan Ijazah Perniagaan dan Pemasaran, Universiti San Jose, California, Amerika Syarikat ini.

Ketika ditebak persoalan mengenai perbezaan sambutan Hari Natal di Malaysia dan di luar negara, berbekalkan pengalaman beberapa tahun di Amerika Syarikat semasa menuntut ilmu di sana, Hansen menceritakan suasana Hari Natal di sana berbeza jika dibandingkan di negara sendiri.

Keadaan dan suhu yang amat sejuk membuatkan dirinya hanya mahu melepak di rumah tanpa mempunyai keinginan untuk bersiar ke mana-mana. Selain itu juga, disebabkan cuaca sejuk itu juga, dia mempunyai keinginan makan yang tinggi.

Malah akui Hansen, semangat menyambut Hari Natal lebih terasa kerana Barat, Hari Natal merupakan perayaan terbesar dan sememangnya perayaan yang mereka nantikan.

"Jika di sini, kita punyai banyak kaum dan perayaan. Jadi, Hari Natal merupakan hari perayaan bagi orang Kristian. Jika anda seorang penganut Kristian, sememangnya perayaan itu disambut meriah seperti perga ke gereja, bertukar-tukar hadiah dan sebagainya," jelas Hansen yang merupakan penganut agama Buddha.

Lisa Beri Hadiah Buatan Sendiri

Bagi pengacara rancangan bual bicara Bella, Lisa Wong, Hari Natal tahun ini mungkin berbeza dari tahun sebelumnya kerana dia ingin menghadiahkan sesuatu yang istimewa kepada ibu bapanya dan keluarga mertua yang berada di London.

"Saya minat melukis dan Hari Natal kali ini saya akan memberi hadiah yang merupakan lukisan abstrak yang dilukis saya sendiri kepada mereka. Saya belajar melukis sejak setahun yang lalu dan pastinya mereka akan gembira atau menghargai kraftangan yang dibuat ini," bicara Lisa mengenai hadiah istimewanya itu.


KIRI: Lisa mempunyai tradisi mencari hadiah tersembunyi sempena Hari Natal bersama keluarganya. Sementara Hansen pula merancang untuk bercuti selepas perayaan dan meraikan sambutan tahun baharu 2012 di Singapura.


Berkahwin dengan seorang lelaki Inggeris, sambutan Hari Natal bersama keluarga perlu agar dapat bersama keluarga kedua belah pihak. Jika tahun lalu, keluarga mertuanya dari London turun ke Malaysia meraikan hari istimewa ini di Malaysia, kali ini, giliran Lisa pulang ke kampung halaman membawa suami.

Bagi wanita bertubuh langsing ini, percutian Hari Natal digunakan sepenuhnya dengan melakukan aktiviti santai bersama keluarga. Lisa mempunyai permainan tradisi yang dilakukan bersama keluarga tersayang bagi memeriahkan lagi sambutan Hari Natal.

"Kami mempunyai tradisi di dalam keluarga iaitu kami akan bermain satu permainan mencari hadiah Hari Natal di sekeliling rumah. Caranya, hadiah kecil seperti coklat, atau barangan kegunaan seharian dimasukkan ke dalam stokin Krismas dan disembunyikan.

"Jadi kami akan mencabut undi bagi menentukan hadiah apa yang perlu dicari. Ia merupakan aktiviti yang sangat menyeronokkan untuk berlibur bersama keluarga setelah tidak berjumpa dan penat bekerja," cerita Lisa tidak lekang mengukir senyuman sepanjang berbicara.

Sama seperti penganut Kristian yang lain, hidangan ayam belanda juga menjadi hidangan istimewa buat wanita berdarah kacukan Cina dan Sri Lanka yang menjadi santapan bersama keluarga.

Namun, mungkin pengalaman Lisa menyambut Hari Natal berbeza berbanding Hansen kerana walaupun mereka sama-sama pernah meraikannya di luar negara, Lisa meraikan ia bersama keluarga dan Hansen bersama teman.

Ujar Lisa, memang tidak dinafikan perayaan Hari Natal di sana lebih meriah dan dirasai. Ini kerana, sebaik melangkah keluar dari rumah, jiran tetangga, seluruh kawasan perumahan, kompleks membeli-belah semuanya dihiasi dengan dekorasi yang sangat cantik dan meriah.

"Jika di sini pula, ia lebih kepada semangat kekeluargaan dan bercuti serta dapat meluangkan masa bersama keluarga setelah penat bekerja atau mungkin lama tidak berjumpa. Kami akan bersuka ria bersama keluarga dan makan bersama hidangan yang disediakan," cerita Lisa mengakhiri perbualan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: