Wednesday, December 21, 2011

Kemas, bersih dandanan 2012


Fesyen rambut panjang yang di blow dry masih lagi sesuai pada masa kini.


SELAIN pakaian, kasut dan solekan, gaya rambut melengkapkan penampilan seseorang. Jika pakaian sahaja yang cantik namun rambut tidak terurus pastinya tidak sesuai, malah seseorang itu tidak akan kelihatan menarik.

Rambut yang bersih, sihat dan didandan cantik mengikut kesesuaian wajah seseorang pasti akan membuatkan orang yang memandang, menoleh dua kali.

Memang ramai yang mengambil berat akan rambut mereka tidak kira lelaki dan wanita kerana rambut diumpamakan seperti mahkota.

Bagi yang betul-betul menjaga kesihatan rambut, seminggu sekali mereka pasti akan ke salon untuk mendapatkan rawatan rambut seperti stim, trimming dan sebagainya.

Gaya rambut juga sering berubah mengikut peredaran masa. Biasanya fesyen rambut selebriti dan artis sering menjadi perhatian. Hari ini ramai yang gemar mengikut gaya rambut artis luar negara seperti Korea, Hong Kong dan Barat.

''Bagaimanapun gaya rambut yang versatil masih tetap sesuai di negara kita. Gaya seperti ini sesuai untuk setiap suasana sama ada hendak ke pejabat, berjalan-jalan dan sebagainya. Sekiranya hendak ke majlis, dandan sahaja di salon,'' kata pemilik E-Go Hair Salon, Nora Wahib ketika ditemui di salonnya, baru-baru ini.

Menurutnya, mendekati tahun 2012, gaya rambut untuk tahun depan tidak banyak berbeza dengan gaya rambut 2011.

Fesyen rambut pendek ujar Nora, masih digemari kerana nampak ringkas dan menepati untuk ke pejabat atau ke mana-mana. Senang diurus, rambut pendek juga mudah dibentuk dan dijaga.

''Bagi lelaki, penggunaan wax dan gel memainkan peranan kerana dengan menggunakan dua bahan tersebut, boleh menukarkan fesyen rambut pendek yang ringkas kepada yang nampak funky.

''Jika ke pejabat, sudah tentu anda perlu nampak kemas dan rapi dengan menyapu sedikit minyak rambut. Namun jika keluar bersama kawan-kawan, tambahkan sedikit gel yang membuatkan rambut nampak basah sedikit atau tarik sedikit ke atas supaya nampak spiky.

Begitu juga dengan fesyen rambut wanita yang masih mengekalkan gaya yang selamat untuk setiap ketika,'' sambungnya.

Tambahnya, biasanya wanita yang bekerja dan tidak memakai tudung masih mengekalkan gaya rambut yang sama. Sama ada fesyen rambut pendek, paras bahu atau melepasi bahu, rambut nampak kemas dan cantik jika di blow dry atau digulung.

Trimming dan rebonding sekali-sekala menjadikan rambut nampak lebih kemas.

Menurut Nora, kelainan dapat dicipta apabila menghadiri majlis kerana ada wanita yang ingin nampak lebih kemas, menarik dan berbeza daripada hari-hari biasa dengan dandanan sanggul atau ban.

''Sanggul yang bersaiz besar sedikit dengan perhiasan permata diselitkan pada sanggul sesuai tatkala menghadiri majlis rasmi atau ke majlis perkahwinan sementara ban untuk ke majlis yang lebih ringkas atau koktel. Ban turut sesuai digayakan ketika ke pejabat kerana rambut nampak kemas,'' jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: