Wednesday, December 21, 2011

Busana muslimah inspirasi Samurai, Geisha


Topi rotan menjadi penyeri kepada model yang menggayakan baju berbentuk fesyen Samurai ini.


PASTI ada sebabnya mengapa pakaian Geisha dan Samurai menjadi inspirasi kepada pereka fesyen tanah air, Melinda Looi dalam koleksi terkini busana muslimahnya.

Memang diakui potongan tradisional Jepun itu ada kesantunan yang tersendiri. Lapisan kain yang labuh digunakan untuk menutup keseluruhan kulit serta menyembunyikan sebahagian bentuk tubuh wanita sememangnya mengikut syariat.

Maka tidak dinafikan ia juga ada persamaan dengan busana Arab seperti jubah dan abaya dengan potongan yang berbeza.

"Ia memang diilhamkan daripada Samurai Jepun dan pakaian Geisha. Namun saya tidak mengambil keseluruhan potongannya. Saya lakukan sedikit penyesuaian untuk koleksi ini berbanding koleksi muslimah saya yang terdahulu.

"Selain itu saya juga menggunakan semula fabrik kimono dengan sulaman berat dan penggunaan benang emas pada bahagian tertentu koleksi ini, contohnya di bahagian kolar," jelas Melinda yang ditemui pada Festival Fesyen Islam (IFF) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambah Melinda, bagi koleksi itu dia menggunakan fabrik sutera asli dalam jersey, sifon dan juga satin berat. Pada koleksi tersebut juga tertera jenama Melinda Looi di atasnya.

Menceritakan kenapa hatinya boleh terdetik untuk mengambil pakaian tradisi wanita Jepun, Melinda berkata, idea tersebut tercetus selepas bermesyuarat dengan kumpulan IFF untuk tahun ini.

"Apabila jawatankuasa IFF memberitahu bahawa pertunjukan fesyen IFF tahun ini bertemakan Oriental, saya terus mahukan satu koleksi yang mengambil inspirasi dari pakaian Jepun.

"Memang saya tiada alasan selain itu. Ia sememangnya sesuatu yang baru saya cuba. Namun secara peribadi saya mengakui memang meminati persalinan Samurai dan budaya masyarakat Jepun itu sendiri," jelasnya yang turut membuat kajian tentang asal persalinan tradisional itu sebelum menghasilkan koleksinya.

Antara elemen tambahan yang dimasukkan dalam busana muslimah itu ialah motif sulaman bunga Jepun. Selain itu terdapat juga lipatan sun-pleat pada bahagian kain labuh dan seluar.

Melengkapi gaya dan kelainan koleksi tersebut, para model menggunakan topi rotan Samurai menarik di pentas peragaan.

"Tentunya keunikan koleksi busana muslimah kali ini selain potongannya ialah sulaman dan cetakan motifnya. Lagipun ia menggunakan fabrik asli kimono itu sendiri. Butang untuk membuka pakaian ini juga adalah sama dengan pakaian tradisi masyarakat Jepun.

"Pada sesi peragaan koleksi ini di IFF baru-baru ini, saya meletakkan sedikit budaya Jepun yang tunduk hormat sebagai elemen tambahan untuk menambah keindahan rekaan ini," jelasnya.

Selain fabrik kimono asli, Melinda turut mengolah kreativiti dengan penambahan kain seperti sutera organza, sutera Perancis dan juga baldu.

Koleksi itu dihasilkan untuk semua jenis potongan badan dan wanita muslim tidak perlu risau kerana potongannya yang longgar. Boleh dipakai untuk majlis rasmi mahupun tidak rasmi.

Tambah Melinda, koleksi itu juga kelihatan lebih menarik apabila disuai padan dengan seluar, pakaian atas dan juga kaftan dari koleksi muslimahnya yang terdahulu.

"Saya memang aktif dalam acara IFF. Tahun ini merupakan yang paling sibuk bagi kami untuk mengembara ke bandar-bandar utama di seluruh dunia semata-mata untuk mempromosikan koleksi fesyen Islam.

"Bagi saya Datuk Raja Rezza Shah menjalankan tanggung jawabnya dengan penuh dedikasi bagi mempromosikan pakaian Islam di seluruh dunia bermula dari Malaysia," kata Melinda.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: