Wednesday, December 21, 2011

Adilla kerja 7 hari seminggu


Adilla Zainuddin sentiasa optimis dengan setiap perniagaan yang dijalankannya.


Kita bekerja bukan semata-mata untuk mendapatkan duit, tapi untuk mencari erti kehidupan kita sendiri. Apa yang kita buat adalah lebih bermakna dari diri kita sendiri."

Kata-kata itulah yang menjadi pegangan wanita jelita ini. Istilah cuti dan rehat tidak pernah ada dalam diari hidupnya. Hatta ketika bercuti sekalipun, komputer riba tetap menjadi teman setia dan otaknya pula ligat memikirkan apakah strategi dan perancangan yang boleh dibuat demi memantapkan lagi perniagaan yang sedia ada.

Itulah semangat yang dibuktikan oleh Adilla Zainuddin, 32, pemilik pusat terapi dan kecantikan Dr. Azimuth Bioherbal dan kedai dobi Applefresh ini.

"Sebenarnya ia bukanlah sesuatu yang mudah, minat yang mendalam mengatasi segala-galanya. Namun tanpa ilmu dan pengalaman agak sukar untuk memulakan perniagaan apatah lagi mengukuhkannya ke satu peringkat yang lebih baik untuk jangka masa panjang," ujar wanita kelahiran Kedah itu.

Mengimbas kembali penglibatan awalnya dalam bidang perniagaan ia bermula selepas mendirikan rumah tangga.

"Saya nekad menamatkan perkhidmatan sebagai penolong pengarah di Jabatan Kesihatan Negeri Melaka. Walaupun terasa berat untuk meninggalkan kerjaya tersebut, namun permintaan suami untuk bekerja di syarikatnya wajib saya turuti.

"Alhamdulillah berkahwin dengan ahli perniagaan merupakan satu anugerah Ilahi yang tidak ternilai kerana di sini saya dicurahkan dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan selok belok perniagaan," jelas ibu kepada seorang cahaya mata itu.

Akhirnya, setelah beberapa tahun berkhidmat dengan suami, Adilla diberikan lampu hijau untuk meneruskan impian membina empayar perniagaan sendiri.

"Cabaran saya ialah apabila saya tidak mahu menggunakan modal seratus peratus daripada suami. Saya tidak mahu berharap semuanya pada suami. Didikan ibu bapa saya agar berdikari menyebabkan saya mengambil keputusan untuk menggunakan wang simpanan sendiri.

"Memang saya akui modal menjadi cabaran utama, biarpun ramai yang menyangka suami saya menyalurkan modal secara percuma, hakikatnya tidak begitu. Saya sendiri mahukan segalanya dibayar kembali setelah diberi pinjam kerana itu adalah hakikat perniagaan.

"Saya mulakan perniagaan dengan modal RM3,000, rumah menjadi premis pertama saya, akhirnya Seksyen 23, Shah Alam menjadi pilihan untuk beroperasi," jelasnya yang turut pernah menjadi guru dan Inspektor kawalan mutu di F&N Coca Cola, Shah Alam.

Menurut Adilla, berkat ilmu yang digali di peringkat institusi pengajian tinggi ditambah dengan pengalaman bekerja di sektor awam dan swasta menambah keyakinan untuk mengusahakan perniagaan sendiri.

"Pada mulanya saya memilih spa, kemudian barulah timbul idea untuk menubuhkan kedai dobi.

"Apabila sudah agak berjaya pula ada lah pihak yang mula cemburu dan rasa tidak senang hati dengan apa yang diperolehi.

"Namun saya mengambil pendekatan untuk menyerahkan semua urusan tersebut kepada Allah," ujar graduan sarjana Pengajian Makanan dan Sains dari Universiti Putra Malaysia itu.

Kejayaan Adilla memang berbaloi. Selain banyak ilmu perniagaan yang dipelajari dia juga mengakui menjadi usahawan banyak mendidiknya untuk mengawal emosi dengan baik. Tambahnya menjadi usahawan bukanlah sesuatu yang mudah kerana jika tersilap membuat keputusan akan mendatangkan kerugian.

"Alhamdulillah berkat kesabaran serta sikap tungkus-lumus selama dua tahun akhirnya modal boleh dibayar.

"Saya juga bersyukur kerana mendapat pekerja yang baik. Kesusahan dan kepayahan yang diharungi menjadi senang apabila ada rakan rapat yang sudi berkongsi dan memberi nasihat yang baik," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: