Tuesday, December 27, 2011

Inilah jawapan isteri kedua

SETIAP kali cerita tentang poligami disiarkan di ruangan ini, dada saya terasa sakit, benci dan meluat.

''Terus terang saya katakan cukup-cukuplah mengumpat isteri kedua. Seperti kisah minggu lalu, konon si suami banyak hutang semata-mata nak kahwin lagi. Jangan cepat mengecap orang berhutang kerana nak poligami, kerana mereka bukan buat keputusan sekelip mata untuk berkahwin. Mungkin kerana ada masalah keluarga yang lain, demikian tegas, Norsalimah dalam e-melnya kepada penulis.

''Memang kaum wanita tak suka dengar cerita suami berpoligami, malah bila ada janda atau anak dara duduk sebelah rumah pun mereka tak suka, takut suami kena kebas. Sebenarnya bukan semua wanita suka berkahwin dengan suami orang. Tetapi sebagai orang Islam kita kena bermuhasabah diri, ingat pada Allah, setiap ketentuan yang datang adalah kerana-Nya, jua bukan sesuka hati suami dan wanita terlibat.

''Anda sedarlah bukan semua lelaki suka berpoligami, ia hanya berlaku pada segelintir individu sahaja dan mungkin mewakili minoriti dalam masyarakat. Jadi mengapa mesti kita kaum wanita buat heboh bila suami hendak berpoligami?

''Tambah menghairankan saya mengapa isteri pertama sahaja di sanjung seratus peratus, konon dikatakan isteri yang teraniaya, sedangkan isteri kedua dan seterusnya di pandang serong. Pernahkah kita bertanya suami yang berkahwin baru adakah hidupnya selama ini bahagia, atau terabai dan teraniaya? Sebab itu dia mengorak langkah mencari kebahagiaan untuk kali keduanya. Adakah tindakannya itu salah?

''Seperkara lagi pembaca harus faham, poligami bukan budaya atau amalan semua lelaki, hanya lelaki yang Allah pilih sahaja yang dapat melaluinya. Kerana ada orang berani bercakap pasal poligami dan ingin berkahwin, tetapi tidak pernah dapat. Sebab itu saya katakan poligami untuk lelaki pilihan dan wanita yang sabar saja.

''Pembaca juga harus faham dimadukan pun bukan pilihan utama dan menjadi cita-cita semua kaum wanita. Lebih tegas bukan semua wanita mahupun gadis suka dan rela dipoligamikan.

''Jika difikirkan secara mendalam poligami itu banyak kebaikannya jika tidak manakan Allah halalkan sebagaimana tercatat dalam al-Quran. Malah Allah jadikan Nabi Muhamad SAW sebagai contoh berpoligami supaya jelas kepada manusia menjalaninya.

''Cuma yang terlihat dan menjadi buruk adalah disebabkan oleh pengamalnya, sudah pastilah para suami tidak menjalankan tanggungjawabnya seperti seharusnya, dan mereka telah menyalahgunakan kebenaran yang telah diberikan. Merekalah yang telah membuat persepsi buruk masyarakat khususnya para isteri takut dipoligamikan.

Berkemampuan

''Tetapi sekiranya suami tadi berkemampuan dan dapat menjalankan tanggungjawabnya dengan baik dan ditakdirkan dia hendak berpoligami mengapa harus di tentang oleh isteri dan anak-anaknya, mahupun ibunya.

''Alasan isteri kerana tidak mahu berkongsi suami dan menjadikan suaminya milik dia 100% pada saya itu adalah salah. Alasan pihak keluarga bimbang dia tidak boleh menyara hidup anak-anak dan isterinya terdahulu itu adalah tidak berasas sama sekali.

''Saya yang turut terlibat sebagai isteri kedua dan mana-mana isteri ketiga dan seterusnya, merasa amat terguris hati apabila kami dicap sebagai perampas suami orang, perempuan jahat, perempuan jalang dan sebagainya. Kami juga manusia dan ada perasaan.

''Saya ingin menekankan definisi perampas dalam konteks poligami, namun saya bukan berat sebelah kerana jadi isteri kedua, tetapi kita timbangkan definisi ini secara terbuka. Jika suami anda mampu zahir dan batin, bertanggungjawab dan berkeinginan untuk berpoligami mengapa isteri pertama dan anak-anaknya membantah? Bantah akan burukkan lagi keadaan.

''Dan anda juga harus ingat tidak semua hajat para suami ingin berpoligami dipermudahkan oleh Allah, hanya suami terpilih sahaja yang akan diuji oleh-Nya. Sepatutnya si isteri meminta suami tidak mengabaikan hidupnya dan anak-anak. Jika perasaan suami tidak diguris, pasti dia akan lebih bertimbang rasa kepada keluarganya.

''Adalah amat kejam jika isteri pertama mendesak suaminya supaya menceraikan isteri barunya. Lainlah kalau isteri baru meminta suami menceraikan isteri pertamanya. Maka isteri kedua jenis ini memang layak dipanggil perampas, kejam kerana merobohkan rumahtangga orang lain.

''Saya juga merasa amat kecewa jika poligami turut dirosakkan dengan ugutan seorang ibu yang tidak mahu mengaku anaknya, selagi si anak tidak menceraikan isteri keduanya. Bukankah doa ibu itu amat mustajab.

''Percayalah soal jodoh, rezeki dan maut itu memang ketentuan Allah. Tak percaya mengapa ada gadis baik dijodohkan dengan lelaki pembunuh, pengedar atau penagih dadah, kaki judi, kaki minum, pencuri dan sebagainya? Adakah wanita itu memintanya?

''Kepada isteri yang bermadu tak kira yang pertama, kedua atau seterusnya bermuhasabah diri banyak-banyak, cuba lihat hidup di dunia ini hanya sementara.

''Fikirkanlah kenapa isteri pertama dipilih Allah dam bakal mendapat Payung Emas di syurga? Kepada kaum suami yang diizinkan Allah berpoligami dan cuba buat yang terbaik, jangan jadikan nawaitu berpoligami untuk memuaskan nafsu dan dunia sahaja.

''Tanggungjawab suami adalah sebagai khalifah kecil dalam institusi kekeluargaan, dan jangan sesekali menjadikan kelebihan yang Allah berikan itu sebagai tiket untuk mempergunakan isteri.'' Itu permintaan Norsalimah kepada isteri pertama dan suami yang berpoligami.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: