PUTRAJAYA 20 Dis. - Semangat cintakan ilmu yang tidak pernah luntur menjadi kekuatan kepada seorang ibu, Nur Fatihah Mohd. Yasin, 30 untuk muncul graduan terbaik serta melayakkannya menerima Anugerah Meritious Kolej Antarabangsa TAJ.
Nur Fatihah yang turut menjadi graduan terbaik Diploma Pengurusan Perniagaan kolej itu memberitahu, beliau sebenarnya sudah menetapkan sasaran untuk membuat yang terbaik di sepanjang pengajiannya.
Maka tidak hairanlah jika ibu kepada dua anak lelaki yang masing-masing berumur tiga tahun dan tiga bulan itu berjaya meraih purata nilai gred keseluruhan (CGPA) 4.0 biarpun sibuk menggalas tanggungjawab suri rumah.
"Lapangan ilmu ini merupakan suatu bidang yang luas. Biarpun kita sudah habis belajar satu-satu bidang, ini tidak bermakna kita harus berhenti belajar.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada keluarga saya terutamanya suami yang banyak memberi sokongan dan memahami tugas sebagai ibu, isteri dan pelajar," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas majlis konvokesyen ketiga kolej itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Nur Fatihah merupakan salah seorang daripada 185 graduan Kolej Antarabangsa TAJ yang menerima diploma dan sijil masing-masing pada hari ini.
Majlis penyampaian diploma dan sijil itu disempurnakan oleh Penasihat Menteri Pengajian Tinggi yang juga Ketua Kluster Sumber Asli dan Alam Sekitar Majlis Profesor Negara, Prof. Datuk Dr. Ibrahim Komoo.
Hadir sama Pengerusi Kolej Antarabangsa TAJ, Datuk Tajuddin Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tina Tajuddin.
Nur Fatihah yang juga bekas jurutera berkata, usaha yang tidak pernah jemu antara resipi yang mendorong kejayaannya itu.
"Apa yang penting ialah cuba melakukan yang terbaik dan fokus," kata bekas pemegang Ijazah Kejuruteraan Kimia itu lagi.
Sementara itu, graduan terbaik Diploma Pengurusan Automotif, Sajidah Wan Mohamad Kasim, 20 memberitahu, antara faktor kejayaannya adalah disebabkan minat yang mendalam.
"Saya begitu meminati bidang automotif dan ini mendorong saya untuk memberikan yang terbaik dalam pelajaran," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: