Wednesday, December 21, 2011

Pamer rekaan kreatif pelajar


Dr. Mushtak Al-Atabi (kiri) bersama sebahagian pelajar yang menjayakan Pameran Kreativiti dan Inovasi Kejuruteraan Universiti Taylor di Kuala Lumpur baru-baru ini.


USAHA menganjurkan Pameran Kreativiti dan Inovasi Kejuruteraan oleh Universiti Taylor berjaya menarik perhatian pereka muda untuk menghasilkan produk-produk yang berkualiti.

Pameran yang diadakan tiga kali setahun itu mempamerkan rekaan kreatif para pelajar yang mana ia turut menunjukkan potensi mereka dari aspek daya reka mahupun kepimpinan.

Sebagai kemuncak dalam mengejar impian menjadi jurutera, pameran itu memerlukan para pelajar dari Fakulti Kejuruteraan (SOE) menggunakan pengetahuan ilmu yang dipelajari untuk memikir, melaksana dan menjalankan projek kejuruteraan.

Dekan SOE Universiti Taylor, Dr. Mushtak Al-Atabi berkata, pameran kejuruteraan itu memberi tumpuan yang menjadi kemuncak kepada semua usaha yang dicurahkan para pelajar sepanjang semester.

"Pameran ini telah menerima maklum balas yang menggalakkan daripada pelawat dan kami percaya bahawa dengan membuka pameran ini kepada orang ramai kami boleh berkongsi potensi kerjaya bidang kejuruteraan dan mengembangkan impian pelajar.

"Ia bukan setakat mempromosikan kejuruteraan sebagai kerjaya semata-mata dan mendidik masyarakat umum tetapi menunjukkan peluang-peluang yang dibawa jurutera kepada manusia," katanya.

Dr. Mushtak berkata, peluang diperolehi daripada pameran itu adalah selaras dengan falsafah pembelajaran berasaskan projek yang diguna pakai di Universiti Taylor.

"Kualiti inilah yang menjadikan bakal jurutera daripada Universiti Taylor lebih menonjol berbanding graduan kejuruteraan yang lain," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: