OPERASI...gerai yang menjual daging babi berhampiran Jalan Ara, Lucky Garden, Bangsar.
KUALA LUMPUR: Kewujudan pasar pagi tradisional yang beroperasi dalam keadaan sesak, kotor dan berbau di tengah-tengah pusat komersial moden serta berhampiran kawasan perumahan elit, berhampiran Jalan Ara, Lucky Garden, Bangsar, di sini, menimbulkan persoalan di kalangan penduduk setempat.
Apatah lagi, pasar terbuka itu yang bukan saja menimbulkan bau kurang enak di kalangan pelanggan kedai makan berhampiran serta mengakibatkan kesesakan lalu lintas berlarutan sejak berbelas tahun lalu.
Orang ramai khususnya yang beragama Islam bertambah tidak selesa kerana penjualan daging babi dilakukan secara terbuka di pasar berkenaan sedangkan beberapa restoran makanan Muslim terletak tidak jauh dari situ.
Biarpun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sering mengadakan operasi termasuk mengeluarkan saman kepada pemandu yang sesuka hati meletak kenderaan di kawasan itu keadaan masih tidak berubah.
Tinjauan Metroplus ke pasar itu baru-baru ini, mendapati peniaga masih ligat menjalankan perniagaan walaupun memasuki waktu makan tengah hari dan menjangkau jam 2 petang.
Mereka tidak menghiraukan kenderaan yang lalu lalang dan jalan sibuk, sebaliknya meneruskan aktiviti mereka.
Eksekutif Pemasaran, Khadijah Yong, berkata tidak sesuai lagi kewujudan pasar pagi di lokasi yang sesak biarpun bukan pada waktu puncak kerana Lucky Garden antara tempat tumpuan penduduk Bangsar.
“Pengunjung bukan saja mengharungi kesesakan yang disebabkan kewujudan pasar terbabit, tetapi terpaksa melalui gerai daging babi yang dijual secara terbuka.
“Saya berharap DBKL memberi perhatian kerana jualan daging babi tidak seharusnya dijalankan di tempat terbuka. Bau busuk berkekalan sehingga malam, sekali gus mencemarkan kawasan berkenaan,” katanya.
Pelanggan restoran, Joseph Lim, 35, berharap DBKL menyediakan kawasan perniagaan baru kepada peniaga kerana kedudukannya di tengah pusat perniagaan sudah tidak relevan.
“Kami bukan mahu menyekat punca pendapatan mereka, tetapi DBKL perlu melihat kepentingan seluruh masyarakat yang tinggal di sini, bukan hanya mengikut kemahuan peniaga.
“Jam 1 tengah hari baru mereka mengemaskan barangan dan mengalihkan gerai sedangkan ketika itu waktu makan tengah hari. Kenderaan keluar dan masuk, tetapi tiada tempat letak kereta, padahal kawasan ini sepatutnya dijadikan ruang letak kenderaan,” katanya.
Bagi suri rumah, Azimah, 52, bau sampah dan hanyir yang ditinggalkan penjaja sudah cukup menarik kehadiran gagak ke kawasan itu walaupun peniaga membersihkan kawasan perniagaan mereka serta-merta.
“Pemantauan semakin kurang, kadangkala jam 3 petang baru kawasan lapang ini kosong sepenuhnya, ketika itu kerja pembersihan dilakukan.
“Kawasan ini antara tumpuan ramai. Saya harap DBKL memindahkan pasar ini ke lokasi baru. Mereka masih boleh berniaga dan pastinya gerai lebih teratur dan persekitarannya juga tidak mengundang masalah kebersihan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: