Friday, December 9, 2011

Ibu bantu suri rumah

AKTIVITI...Phillipa (dua dari kiri) turut aktif dalam  pertubuhan Ibu Family Resource yang menjalankan aktiviti membabitkan suri rumah sepenuh masa.
AKTIVITI...Phillipa (dua dari kiri) turut aktif dalam pertubuhan Ibu Family Resource yang menjalankan aktiviti membabitkan suri rumah sepenuh masa.

HIDUPNYA kini bagaikan kembali ke alam remaja. Apa yang diimpikannya dulu satu persatu mula menjadi kenyataan malah ada yang langsung tidak pernah terlintas di fikirannya.

Sememangnya Phillipa Yoong Bayly sendiri tidak menduga kemunculan semula dalam arena sukan ski air begitu menyerlah selepas lebih sedekad menyepikan diri.

  • Foto

    ATLET...perkahwinan dan gelaran ibu menjadikan Phillipa seorang yang lebih stabil serta kuat dari segi fizikal dan mental.

  • Foto

    TANGKAS...status ibu tidak menghalang Phillipa untuk meraih pencapaian membanggakan dalam sukan ski air.

  • Foto

    SAMA MINAT...Phillipa berlatih dan berkongsi tip sukan ski air bersama abangnya, Alex Yoong (kiri).

Selepas merangkul pingat emas terakhirnya di Sukan Sea Jakarta 1997 ketika berusia 18 tahun, Phillipa kembali menghangatkan pentas sukan dwi-tahunan Asia Tenggara itu menerusi pencapaian mengagumkan di Sukan Sea Palembang bulan lalu.

Lagaknya bagaikan balerina di atas air apabila melakukan disiplin tricks, terbang ke udara bagaikan mahu menggapai awan dalam acara jump dan merebahkan badan hampir mencecah air bagi acara slalom, seolah-olah dia tidak pernah meninggalkan sukan itu sebelum ini.


Nyata kematangan usia dan pengalaman banyak memberi kelebihan kepada ibu kepada dua cahaya mata berusia lima dan dua tahun ini mempersembahkan aksi mantap, sekali gus membawa pulang empat pingat, dua emas (slalom dan keseluruhan), satu perak (jump) dan satu gangsa (trick).


Yang pasti, ada satu perkara menarik mengenai wanita ini. Phillipa tidak pernah sekalipun berubah. Dia masih peramah, pintar dan lucu. Biarpun lebih lima tahun tidak bertemu, Phillipa atau lebih mesra dipanggil Pipa tetap ceria dan seronok melayannya bercerita mengenai keluarga, ski air serta aktiviti kumpulan ibu-ibu yang disertainya.

“Jelas sekali fizikal saya bukanlah seperti remaja 18 tahun, tambahan pula selepas melahirkan anak. Tapi saya merasakan keadaan fizikal ini lebih cergas berbanding dulu.

“Ketika remaja, saya sedikit tembam dan mudah penat. Kini sebaliknya dan saya selesa dengan keadaan ini. Berkahwin dan bergelar ibu menjadikan saya seorang yang lebih stabil serta kuat dari segi fizikal dan mental,” ujarnya.

Status ibu itu turut membuatkan Pipa lebih senang menghabiskan masa bersama keluarga berbanding kembali menjadi wanita berkarier.

Pipa sebelum ini bertugas sebagai Pengurus Pentadbiran di Channel V dan mengambil keputusan meninggalkan bidang itu selepas melahirkan anak pertamanya.

Pipa juga tidak selasak dulu dan pembabitannya dalam sukan permotoran beberapa tahun lalu kini tinggal dalam lipatan sejarah.

Bersama Deanna Yusoff dan Kazumi Mikami, Pipa ketika itu bergerak atas nama pasukan X-1R bagi perlumbaan Merdeka Millenium Endurance di Sepang, hingga meletakkan mereka selaku pasukan wanita tunggal di perlumbaan itu.

“Semuanya itu hanya untuk menimba pengalaman. Saya suka mencuba sesuatu yang baru dan sukan permotoran adalah sesuatu yang mengujakan saya ketika itu.

“Minat saya dalam sukan itu juga hanya seketika dan selepas berkeluarga, keinginan untuk berlumba terus padam. Pemanduan saya juga makin perlahan kerana bimbang memikirkan keselamatan anak-anak,” katanya.

Selain mengimbangi kehidupan sebagai ibu dan atlet, Pipa tidak ketinggalan aktif berpersatuan. Pengerusi pertubuhan Ibu Family Resource (Ibu) ini giat menjalankan aktiviti membabitkan suri rumah sepenuh masa selain menganjurkan kerja-kerja amal menerusi jualan lambak dan bazar.

“Ibu adalah sebuah pertubuhan yang tidak berteraskan keuntungan dan diselenggarakan secara sukarela. Ibu menawarkan kumpulan sokongan, nasihat dan maklumat kepada pasangan yang baru menimang cahaya mata di sekitar Kuala Lumpur.

“Daripada isu kehamilan hingga kepada proses perubahan dalam menjaga anak kecil, Ibu bertindak sebagai pusat sehenti bagi ibu-ibu mahupun bapa yang ingin mendapatkan bantuan, teman berbual serta ruang permainan untuk anak-anak.

“Menariknya, Ibu membuka penyertaan kepada semua warga negara, agama, bangsa dan fahaman. Dengan lebih 20 kerakyatan dalam senarai ahli, Ibu memang menggalakkan pergaulan pelbagai lapisan masyarakat agar masing-masing dapat membantu menangani isu yang dihadapi kala membesarkan anak-anak.

“Sememangnya Ibu adalah salah satu platform untuk saya dekatkan diri dengan masyarakat. Tidak mudah untuk menguruskan semua ini, tapi saya rasa ia lebih baik daripada membuang masa tanpa melakukan apa-apa,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: