Norish
KEHILANGAN aktres, pengacara dan penyanyi Norish Karman daripada dunia hiburan berbulan-bulan lamanya sejak teater muzikal lakonannya, Terima Kasih Cinta, berakhir sekitar Februari lalu memang disedari pihak media. Sehingga kini, tiada siapa yang tahu di manakah artis serba boleh ini berada kerana kelibatnya tidak pernah kelihatan dalam mana-mana acara hiburan.
Sekian lama cuba menjejaki aktres ini, akhirnya peluang bertemu artis yang berasal dari Singapura ini bakal menjadi kenyataan. Seperti yang dijangka, rata-rata media yang hadir pada petang Rabu lalu mempunyai objektif yang sama, iaitu untuk menemubual Norish dan mendapat kenyataan rasminya mengenai misteri kehilangannya itu.
Malangnya, hasrat berkenaan tidak kesampaian apabila pelakon itu tidak menghadirkan diri. Bukan saja Norish, tetapi dua artis lain yang turut terbabit dalam pementasan monolog itu iaitu Misha Omar dan Jasmin Hamid juga tidak kelihatan. Menurut pengarah monolog yang bakal dijayakan mereka, Rosminah Tahir, ketiadaan ketiga-tiga pelakon itu disebabkan masing-masing terikat dengan komitmen lain.
Bercerita mengenai pemilihan Norish, penerbitnya, Siti Rohayah Attan berkata, tawaran itu diberikan kepada pelakon itu bulan lalu, selepas beberapa kali hasrat untuk mereka bekerjasama dengannya tidak kesampaian.
“Kami pernah bekerjasama dengan Norish sebelum ini untuk teater Deja Vu Seorang Perempuan. Norish pun ada bertanyakan kepada saya, bila lagi mahu memanggilnya berlakon? Bila dapat saja teater yang sesuai, saya pun menghubunginya dan dia terus bersetuju menerima tawaran itu.
“Tawaran berkenaan diberikan kira-kira dua minggu lalu dan selepas itu kami ada berjumpa untuk sesi membaca skrip,” cerita Rohayah atau lebih mesra di kalangan wartawan dengan panggilan Kak Roy.
Hadir sama Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Sallehuddin Abang Shokeran; Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaarani; dan Ketua Bahagian Promosi & Pengiktirafan DBPKL, Kamsiah Mohamed.
Seakan dapat meneka apa yang bermain di fikiran wartawan yang datang pada hari itu, selain membaca sendiri gosip yang tersebar di internet mengenai pelakon itu, Rohayah berkata, sewaktu bertemu Norish, ibu kepada tiga cahaya mata itu berada dalam keadaan sihat.
“Cuma dia ada berpesan pada saya, kalau boleh dia enggan bertemu pihak media.
Alasannya, dia lebih selesa bersikap low profile sebelum membuat kemunculan semula secara besar-besaran pada Januari depan sempena kelahiran album sulung,” kata penerbit yang pernah menghasilkan teater muzikal Gamat dan Tun Mahathir ini.
Berkongsi maklumat mengenai festival monodrama itu, Rosminah berkata, tiga pelakon berkenaan diberi naskhah berdasarkan kebolehan mereka menghayati skrip yang diberikan.
“Tiada uji bakat yang diadakan. Sebaliknya, selepas kata persetujuan diberikan, mereka diberikan skrip dan kami melihat bagaimana mereka menghayati watak yang diberikan.
Walaupun mereka bertiga pelakon berbakat dan berpengalaman, tetapi mereka menetapkan syarat supaya mereka diberi latihan. Kalau ikutkan, saya hanya mahu mereka diberikan skrip dan terpulang pada masing-masing bagaimana mereka mahu persembahkan monolog itu,” katanya.
Misha akan bermonolog menerusi hasil karya Rosminah sendiri iaitu Gadis Yatim, manakala Jasmin membawakan watak berkonsepkan 1Malaysia iaitu watak orang Cina dan Tamil menerusi naskhah berjudul 4 Gadis Pingitan. Norish pula muncul menerusi monolog Bukan Deja Vu.
Ketiga-tiga artis ini akan tampil dengan persembahan selama 15 minit sepanjang dua hari festival itu diadakan, pada 13 dan 14 Disember ini, bertempat di Lambang Sari, mulai jam 8.30 malam. Tiket boleh didapati di Istana Budaya mulai semalam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: