Wednesday, December 28, 2011

Dilema Fenomena Grafiti

Hasil kreativiti grafiti yang mencantikkan dinding bangunan.

PARIS tidak hanya dihiasi bangunan seni bina klasik yang mampu mengindahkan persekitarannya sebagai kota fesyen tumpuan pentas peragaan dunia sebaliknya turut dihiasi dengan lakaran lukisan menarik ataupun grafiti pada tempat-tempat tertentu.

Semasa kembara ke ibu negara Perancis itu baru-baru ini, sebahagian tembok dan bangunannya dilihat turut diwarnai grafiti terutama di sepanjang laluan kereta api.

Begitu juga dengan beberapa gerabak kereta api bawah tanah di Rom, Itali yang sarat dengan grafiti sehingga menutupi ruang cermin tingkap pengangkutan awam itu.

Pelik apabila pengawal keselamatan di platform Stesen Colosseo melarang penulis merakamkan ‘pemandangan’ itu yang mungkin baginya tidak mahu ia didedahkan kepada dunia.

Kereta api bawah tanah di Rom, Itali yang sarat dengan grafiti.

Grafiti tersebut boleh dilihat jelas oleh semua pengguna kereta api dan ia adalah strategi pelukis untuk menarik perhatian orang awam bagi melihat hasil seni mereka.

Jalanan La Ramblas di Barcelona, Sepanyol tidak kurang hebatnya apabila grafiti dijadikan sumber rezeki penggiat seni menerusi penghasilan karya di atas kanvas.

Selagi ada ruang dan peluang, grafiti dilukis dengan penuh warna di aras bawah sehingga ke aras atas bangunan malah di tempat yang tidak pernah difikirkan pun.

Pengaruh grafiti begitu meluas yang bukan sahaja di kebanyakan bandar di Eropah bahkan kota metropolitan New York dan kini menembusi Kuala Lumpur.

Grafiti dijadikan sumber rezeki bagi penggiat seni di jalanan La Ramblas di Barcelona, Sepanyol.

Pergilah meronda di sekitar Bukit Bintang dan beberapa tempat strategik ibu negara pasti antara kita dapat melihat ‘karya agung’ penggiat seni jalanan ini.

Semburan aerosol

Seorang pelukis grafiti sedang menyempurnakan karya seninya.

Grafiti sudah lama wujud sejak zaman peradaban dunia lagi bermula daripada hasil lukisan batu di dinding dan kini diadaptasi menggunakan tin semburan aerosol.

Dengan hanya menandakan nama di sesuatu kawasan, revolusi grafiti berkembang pesat apabila setiap abjad diubah secara abstrak serta stail dan genre berbeza.

Bagaimanapun sebahagian grafiti di ibu kota sudah dipadamkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berikutan ia menjadi masalah kepada vandalisme.

Sudah tentu ia bermasalah sekiranya segelintir pelukis grafiti bertindak ‘menconteng’ harta awam, dinding-dinding bangunan milik kerajaan atau persendirian sesuka hati.

Pelukis grafiti tidak seharusnya memberontak dengan lakaran kotor.

Menyifatkan grafiti sebagai platform untuk menyuarakan pandangan atau perasaan bukan alasan untuk mencacatkan pemandangan Kuala Lumpur.

Sama ada ia sekadar gambaran aktiviti nakal atau gejala sosial generasi muda, ia bergantung di mana dan apakah grafiti yang dilukis serta maksud yang ditulis.

Orang ramai tidak perlu berjiwa seni untuk menghargai grafiti di dinding-dinding dan pelukis pula tidak seharusnya memberontak dengan lakaran kotor atau lucah.

Tidak dinafikan sebahagian grafiti sememangnya cantik sehingga memukau mata yang memandang malah boleh dianggap sebahagian daripada produk pelancongan.

Ketiadaan ruang khas dan terlalu banyak bangunan pencakar langit menyukarkan aktiviti grafiti selain pemikiran negatif segelintir masyarakat terhadap seni urban ini.

Fikiran sempit atau malas hanya menganggap grafiti sebagai sesuatu yang buruk sedangkan isu pelekat-pelekat haram semakin berleluasa lebih menyakitkan mata.

Grafiti sebegini hanya mencacatkan dinding bangunan.

Natijahnya, tembok atau dinding bangunan dijadikan mangsa sebagai tempat untuk mencurahkan bakat dan tindakan itu hanya mempamerkan sisi gelap grafiti.

Produk pelancongan

DBKL bagaimanapun tidak sekadar duduk diam atau hanya bertindak memadam lukisan grafiti kerana tindakan itu bukan satu penyelesaian bijak.

Jika hari ini DBKL memantau dan memadam grafiti di ceruk bandar raya sekalipun, grafiti baru ‘dinaikkan’ semula sebagai ganti tanpa perlu menunggu lama.

Grafiti terus dijadikan trend di kalangan penggiat kreatif yang menghargai seni ini kerana mempunyai nilai estetika yang tinggi terutama di kalangan generasi muda.

Penganjuran Festival Kul Sign 2011 merupakan inisiatif DBKL bagi mengawal gejala vandalisme melalui penyediaan ruang dan aktiviti untuk penggiat seni grafiti.

Begitu juga dengan Gotong Royong Grafiti 2011 yang bertujuan untuk memadam grafiti haram bagi memupuk semangat cintakan harta benda awam tanpa vandalisme.

Aktiviti memadam grafiti haram.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail pernah mengatakan bahawa grafiti jika dilukis pada tempat yang disediakan bukan satu perkara menyalahi undang-undang.

Beliau sendiri menyifatkan seni urban itu boleh dijadikan sebagai satu produk pelancongan terbaru di ibu negara kerana ia mengindahkan pemandangan, Kuala Lumpur.

Justeru, isu grafiti tidak perlu dihambat dengan kontroversi tetapi melihatnya sebagai sesuatu yang positif selagi ada ruang dan peluang untuk memanfaatkannya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: