samsu

JELI – Kegiatan dua warga Vietnam yang memproses samsu haram akhirnya terbongkar apabila polis menemui sebelas tong berisi 18 liter cecair masam yang diperam dalam serbuan di rumah kongsi mereka dekat salah sebuah kilang papan di jalan Industri, jam 12.15 malam kelmarin.

Dalam serbuan itu, polis menahan dua warga asing dan menemui peralatan memproses samsu, termasuk sebelas tong berisi 18 liter cecair yang belum diproses, satu tong pemanas, penyejuk dan bahan campuran lain seperti tepung penaik dan arak jenis Lychee Liquer di mana mereka menjadikan dapur rumah kongsi itu sebagai tempat aktiviti tersebut.

Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Sheik Azhar Sheik Omar berkata, berdasarkan maklumat khidmat pesanan ringkas (SMS) dihantar Rakan Cop, polis diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli bersama anggotanya menyerbu kawasan itu.

Menurutnya, hasil serbuan polis berjaya menahan dua warga asing berusia 24 dan 31 tahun dan menemui 11 tong berisi cecair yang belum diproses disorok di bawah tempat tidur yang ditutup menggunakan papan juga turut dirampas.

“Hasil siasatan polis turut menemui dua paket plastik samsu haram yang siap diproses seberat setengah kilogram dan sejumlah besar paket plastik hitam serta lut sinar yang dipercayai bagi membungkus samsu untuk dijual kepada pelanggan dengan RM5 setiap satu.

“Kedua-dua suspek mendaftar dalam program 6P di Jabatan Imigresen pada Ogos 2011 lalu dan bekerja sebagai buruh di kilang berkenaan dipercayai menjalankan kegiatan haram itu sejak enam bulan lalu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sheik Azhar berkata, kes disiasat mengikut seksyen 3 (1) (a) AMU (Akta Memperbaharui Undang-Undang) PSG ( Penghapusan Samsu Gelap) 1976 yang boleh membawa hukuman penjara tidak lebih sepuluh tahun dan tidak kurang empat tahun serta tidak kurang dua kali sebatan.