sri pinang

Emas Sri Pinang bukan suatu nama baru di kalangan syarikat yang terlibat dalam operasi niaga menjual emas di Malaysia. Jika dilihat daripada segi pengembangan, operasi Emas Sri Pinang Sdn Bhd bermula sejak 1977 di Pulau Pinang oleh pengasasnya Abd Razak
Shaikh Dawood.

Setelah beliau mula menyedari permintaan dan sambutan terhadap barangan kemas di ibu negara semakin meningkat, akhirnya beliau memutuskan untuk meluaskan perniagaan dengan membuka cawa­ngan utama merangkap pejabat urusan di pusat
membeli-belah Semua House, Kuala Lumpur pada 1981.


Dari Kedai Emas Razak Ke Emas Sri Pinang

Pada awal perniagaan, penggu­naan nama premis adalah Kedai Emas Razak yang diambil sempena nama pengasas, namun serentak dengan perubahan dalaman dan pengurusan, kini nama yang digunakan adalah Emas Sri Pinang.

“Pada awal dahulu, perniagaan ini lebih bersifat kepada perniagaan keluarga, dan setelah beberapa pembaharuan yang dilakukan, kini legasi perniagaan ini dikembangkan de­ngan sokongan kakitangan lama dan baru,” kata Penolong Pemasarannya, Aminuddin Daud memulakan sesi temu bual bersama Sinar Harian, bagi mengisi ruangan Sembang Bisnes minggu ini.

Menurutnya, baik kepimpinan baru mahupun lama, fokus utama adalah memajukan perniagaan dan menjadikan jenama ini terus tersohor.

“Kami menjanjikan perbezaan baik dari segi perkhidmatan, produk, rekaan, dan sasaran pasaran kerana kami ingin semua golongan mampu miliki dan berkeinginan melabur dalam pasaran emas yang menjanjikan pulangan lumayan kini dan masa hadapan,” katanya.

Katanya, ramai di kalangan pembeli yang berprasangka hanya golo­ngan kaya sahaja mampu memiliki emas, namun tanggapan mereka tidak tepat kerana Emas Sri Pinang sedaya-upaya berusaha memberi harga berpatutan agar mampu memenuhi keinginan golongan berpendapatan sederhana dan sesiapa sahaja.

“Setiap koleksi yang diperkenalkan, kami akan membuat penyelidikan daripada segi pasaran, taraf hidup masyarakat setempat dan paling penting rekaannya mestilah sesuai dengan sasaran utama kumpulan kami iaitu orang Melayu di samping kaum-kaum lain,” katanya.


Fokus jual gelang dan rantai tangan emas

Bercerita mengenai produk utama, Amin berkata, Emas Sri Pinang begitu fokus terhadap jualan emas tulen dan koleksi yang difokuskan adalah rantai tangan dan gelang tangan.

“Kami mempunyai 10 hingga 15 dulang koleksi dan kedua-dua bara­ngan itu akan ditukar dengan koleksi baru setiap tiga hingga lima bulan,” katanya.

Katanya, kebanyakan koleksi yang ditampilkan amat menitik beratkan soal warisan kemelayuan dan contoh yang paling jelas adalah koleksi cincin wanita dengan ukiran bunga tanjung, dan koleksi teruna menggunakan Palladium yang bebas kandungan emas khas untuk
golo­ngan lelaki.

Selain emas, pelanggan juga boleh mendapatkan beberapa perkhidmatan lain seperti membeli jongkong emas, mencuci barangan kemas, mengukir nama untuk cincin, di samping proses jual dan beli bara­ngan emas lama pelanggan.

“Setakat ini kami telah menjual 1 kilogram (kg) jongkong emas dan sedang menunggu kemasukan stok baru,” katanya.