sawah terbiar

POKOK SENA - Kira-kira 200 relung atau 70 hektar sawah di sekitar Tualang, Pokok Sena menghadapi risiko bertukar menjadi tanah terbiar berikutan kemudahan jalan ban dan pengairan yang masih belum dinaiktarafkan.

Di sebalik permasalahan itu, sebenarnya timbul persoalan berkaitan perancangan untuk membina jalan ban dan kemudahan pengairan pada tahun 1971 oleh pihak berkaitan yang mana bayaran pengambilan tanah juga telah pun dibuat.

Bagaimanapun, tahun demi tahun para petani menunggu, tidak ada sebarang pembangunan yang telah dirancang sebelum ini dilaksanakan sehingga mendatangkan kesukaran kepada kira-kira 150 petani di Kampung Kepala Bukit dan sekitarnya.

Bekas Ketua Unit, Unit Peladang Kecil Tualang 2, Osman Ebau, 76 berkata, kini hampir lapan hektar sawah yang berada jauh dari jalan ban sedia ada tidak lagi diusahakan oleh pemiliknya kerana mengalami kesukaran untuk menanam padi.

Menurutnya, dia menjangkakan akan lebih ramai petani mengambil keputusan untuk tidak menanam padi pada masa hadapan kerana kebanyakan mereka sudah pun berusia.

“Bayangkan rata-rata petani hampir menjangkau usia warga emas dan kudrat mereka juga sudah tidak seberapa. Kebelakangan ini kedengaran bahawa semakin ramai petani bersedia untuk tidak mengusahakan sawah lagi kerana sudah tidak larat.

“Bagi petani yang mempunyai tanah sawah berhampiran jalan ban tidak menghadapi masalah, tetapi bagi mereka yang sawah jauh dari jalan ban tentu tidak larat untuk memikul baja, benih padi dan sebagainya lagi,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas berhubung perancangan pembinaan jalan ban dan pengairan lebih sempurna pada tahun 1971 yang tidak dilaksanakan, dia bagaimanapun tidak pasti punca perkara tersebut.

Osman berkata, dia hairan perancangan projek berkenaan tidak dilaksanakan sedangkan bayaran pengambilan tanah pun sudah pun dibuat kepada petani yang terlibat.

“Sudah lebih 40 tahun petani memberikan kebenaran tetapi projek tidak dilaksanakan. Kami tidak tahu sama ada projek berkenaan dipindahkan ke tempat lain ataupun disebabkan faktor-faktor lain,” katanya.

Pikul baja dua kilometer


Tinjauan Sinar Harian bersama beberapa orang petani membuktikan terdapat hampir lapan hektar tanah terbiar yang berada jauh daripada jalan ban sedia ada.

Para petani perlu berjalan sejauh dua kilometer ke kawasan berkenaan bagi mereka yang masih lagi mengusahakan tanaman padi di sekitar tanah terbiar tersebut.

Seorang petani, Bakar Adam, 70 berkata, dia sudah berkira-kira untuk tidak lagi mengusahakan tanaman padi kerana kudrat untuk memikul baja padi semakin kurang.

Menurutnya, rata-rata petani di sekitar kawasan berkenaan sudah mencecah usia lebih 40 tahun dan segelintir sahaja terdiri daripada golongan belia.

“Sebelum ini petani perlu memikul benih padi, baja padi dan sebagainya dua kilometer menuju ke petak sawah masing-masing, namun hari ini kami semakin tidak larat,” katanya.

Sementara itu, penduduk yang juga pengusaha mesin padi, Sulaiman Ahmad, 54, berkata, pihak berkaitan perlu memberi perhatian kepada masalah ini kerana dikhuatiri mampu menyebabkan petani tidak mahu lagi mengusahakan tanaman padi.

Menurutnya, perkara berkenaan sudah beberapa kali dibawa ke pengetahuan pihak berkaitan, tetapi masih belum ada sebarang langkah pelaksanaan dijalankan.