
MENJEJAKKAN kaki ke Sumatera Barat, Indonesia baru-baru ini atas sebab tugas, memang wujud rasa terkilan apabila penulis tidak dapat menyelami sepenuhnya beberapa pusat wisata di Bukit Tinggi.
Dengan kesibukan tugas selama dua hari pada acara Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia Indonesia (Iswami) di Bukit Tinggi, baki dua hari lagi untuk sesi bersantai nampaknya diaturkan untuk kami kumpulan media Malaysia bukanlah di kota itu.
Tanyakanlah kepada sesiapa sahaja, jika melancong ke Sumatera Barat atau sering disebut Padang, lokasi wajib yang perlu menjadi persinggahan sudah tentulah Bukit Tinggi.
Pendek kata, Padang dan Bukit Tinggi memang cukup sinonim sehinggakan memang diakui oleh pemerintah Sumatera Barat, orang Malaysia kalau ke Padang biasanya hanya berhabisan masa di Bukit Tinggi.
Selain beberapa lokasi mengagumkan seperti Jam Gadang, Ngarai Sianok dan Terowong Jepun, Bukit Tinggi begitu dekat dengan hati rakyat negara ini kerana ia terkenal sebagai pusat beli-belah.
Produk membeli-belah di Bukit Tinggi seperti telekung, tudung, kain ela, beg tangan dan cenderamata memang diakui penulis sendiri bukan sahaja mempunyai hasil kerja yang teliti bahkan, jauh lebih murah berbanding wilayah lain di Sumatera Barat.
Bagaimanapun, hakikatnya apabila kita menjejak kaki di Sumatera Barat masih banyak kota lain yang sebenarnya menyimpan seribu satu khazanah pelancongan mengagumkan seperti wilayah Pesisir Selatan, Solok, Muara Labuh, Sawah Lunto dan Padang Pariaman.
Lantaran itu jugalah, kali ini pemerintah Sumatera Barat mengaturkan kami percutian berbeza berbanding yang sering dilakukan oleh delegasi atau pelancong Malaysia.
Sebaik mendaftar keluar dari Hotel Royal Denai di Bukit Tinggi, sekitar 10 pagi tiga kenderaan pacuan empat roda dan SUV sudah bersiap sedia membawa kami 10 orang ahli rombongan ke destinasi yang sebenarnya tidak diketahui secara terperinci oleh kami sendiri.
Kami hanya diberikan nama tempat tanpa mengetahui apa yang bakal ditempuhi dalam perjalanan atau setiap lokasi yang menjadi persinggahan.
Ini kerana bayangkan dengan destinasi pertama kami pada hari itu ialah Danau Maninjau dan Muzium Buya Hamka, perjalanan selama lebih dua jam itu melalui kawasan tanah tinggi yang berbelok-belok.
Bahkan, kerana ketajaman dan begitu banyak selekoh di kawasan itu, ia menjadi satu lokasi tarikan pelancong dengan dinamakan Kelok 44.
Namun di sepanjang Kelok 44, kami disajikan dengan saujana mata memandang yang menghijau terutama sawah bendang yang terbentang luas.
Selain itu, terdapat juga gerai-gerai minuman yang boleh menjadi perhentian untuk pelancong jika ingin berhenti membasahkan tekak.
Bagaimanapun, mengharungi Kelok 44 ternyata bukanlah mudah. Selekoh tajam, curam dan begitu rapat menyebabkan bukan seorang dua wakil media yang mula menyandar diri di kerusi kenderaan sebab mula terasa pening.
Destinasi rohani

Mujur tidak lama kemudian kami tiba di Danau Maninjau sebelum bergerak pula ke Muzium Buya Hamka yang juga rumah kelahiran ulama berkenaan.
Perasaan kagum mula menerpa dalam diri apabila menapak di rumah kelahiran tokoh ulama terkenal itu. Melihat kamar tidur, potret wajah, ruang rehat dan segala hasil kerja termasuk terjemahan al-Quran beliau menyebabkan penulis terpanggil dengan memori zaman belajar sewaktu dalam kelas tafsir al-quran dahulu.
"Al-Quran terjemahan beliau akan berada dalam ribaan aku setiap kali kelas terjemahan pada hari Jumaat dahulu," imbau penulis.
Berada di Muzium Rumah Kelahiran Buya Hamka, hati makin tersentuh saat menemu bual Pengelola muzium itu, Hanif Rasyid.
"Kita punya Hamka, tetapi yang memilikinya ialah Malaysia?" luahnya dalam nada sedikit kecewa memandangkan Hamka lebih disanjung sebagai ulama besar oleh rakyat Malaysia berbanding masyarakat di sana.
Akui Hanif, pelancong Malaysia antara yang paling ramai bertandang di muzium berkenaan.
Selepas 20 minit di Muzium Buya Hamka, kami bergegas pula ke Makam Syeikh Burhanudin di Padang Pariaman iaitu seorang lagi tokoh ulama terkenal di Sumatera Barat.
Perjalanannya mengambil masa hampir dua jam. Sebaik semua wakil media sudah berkumpul di jalan masuk ke makam tersebut, ratusan orang kampung mula mengelilingi kami bahkan, pemain-pemain gendang mula mengalunkan pukulan gendang.
Rupanya kedatangan kami diraikan dengan sambutan penuh tradisi. Seorang lelaki kemudian berjalan di depan kami membawa bersamanya dulang yang berisi sabut kelapa yang berasap, sebotol air dan sirih.
Berdiri di depan lelaki itu ketika itu ialah wartawan Utusan, Suffian Abu Bakar dan wartawan TV3, Siti Khadijah Jaafar. Selepas diasapkan dengan asap kelapa, mereka berdua diminta berkumur mulut dengan air putih. Kemudian, upacara tersebut diteruskan dengan daun sirih diberikan kepada mereka untuk dikunyah.
Hanya selepas upacara itu, kami diarak kira-kira 100 meter ke dalam masjid bersebelahan Makam Syeikh Burhanudin bersama dengan paluan gendang.
Selesai acara di Makam Syeikh Burhanudin, jam sudah menunjukkan sekitar pukul 6 petang. SUV kami memecut laju untuk ke destinasi seterus iaitu Pesisir Selatan.
Dengan badan yang semakin penat lantaran diari harian yang padat, perjalanan lebih tiga jam ke Pesisir Selatan membuatkan kami semakin lesu di dalam kenderaan. Lebih memburukkan keadaan, apabila menuju ke satu setengah jam terakhir perjalanan ke Pesisir Selatan, kami bertemu lagi dengan jalan raya yang sempit dan berselekoh tanpa henti.

Beberapa orang yang mengisi SUV termasuk penulis sudah terasa pening. Penulis cuba menggunakan taktik semasa melalui Kelok 44 iaitu tidur untuk mengelakkan pening semakin melarat, namun tidak menjadi.
Ia berakhir dengan tragedi penulis muntah di dalam plastik, peristiwa yang rasanya sudah 20 tahun tidak pernah terjadi dalam hidup penulis.
Godaan pantai Pesisir Selatan
Tiba di ibu kota Pesisir Selatan iaitu Painan, sekitar jam 10 malam, kami disambut dengan jamuan makan malam oleh Pegawai Daerah Pesisir Selatan, H. Nasrul Abit. Keletihan menyebabkan kami tidur nyenyak malam itu.
Keesokannya jadual kami memang padat di Pesisir Selatan. Kami diperkenalkan dengan destinasi-destinasi percutiannya yang masih kurang diketahui ramai. Dibawa ke Pantai Carocok, ia merupakan antara kawasan pantai yang sering menjadi tumpuan masyarakat tempatan untuk beristirehat pada hujung minggu.
Tidak jauh dari Pantai Corocok, kelihatan dua buah pulau iaitu Pulau Kereta dan Pulau Cingkuak. Pulau Cingkuak masih dianggap pulau 'dara' kerana ia masih bebas daripada aktiviti pembangunan. Tiada resort, rumah agam atau kapal mewah di Pulau Cingkuak.
Dibawa menaiki bot ke Cingkuak, saat kaki menjejak pulau itu, hamparan pasir putih dengan kulit-kulit karangan di gigi pantai membuktikan betapa perawannya pulau tersebut.
Pada hari-hari biasa, ujar wakil Pejabat Daerah Pesisir Selatan, tidak banyak aktiviti di sekitar Pantai Carocok, Pulau Kereta dan Pulau Cingkuak, namun pada hujung minggu atau hari cuti antara sukan rekreasi yang boleh dilakukan ialah jet ski, snorkeling dan banana bot.
Puas bermain air laut, kami berangkat ke kawasan tanah tinggi di Pesisir Selatan iaitu Bukit Langkisau. Puncak Langkisau yang berketinggian 300 meter dari paras laut sebenarnya merupakan lokasi tumpuan pencinta paragliding.
![]() |
| PETA Sumatera Barat yang berdepan dengan Lautan Indonesia. |
Dengan penganjuran pelbagai pertandingan bertaraf antarabangsa Langkisau turut menjadi sebutan kaki paragliding luar negara.
Bagi yang tidak meminati sukan ekstrem itu, anda juga pasti tidak menyesal apabila berada di puncaknya. Ini kerana dengan hamparan pantai panjang Pesisir Selatan ia menawarkan pemandangan yang sangat menakjubkan.
Selepas jamuan tengah hari, kami meneruskan pengembaraan di Sumatera Barat ke lokasi seterusnya Kota Padang. Pertemuan dengan Penolong Pegawai Daerah Kota Padang yang diadakan di lokasi penuh romantik Villa Erick Cameron.
Ia adalah sebuah villa yang bernuansa etnik di puncak sebuah bukit dengan sajian memukau mata di bawahnya iaitu Pantai Air Manis dan Pelabuhan Teluk Bayur.
Sebelum bertolak pulang ke tanah air esoknya, kami sempat membeli-belah di sekitar kota Padang. Walaupun harganya sedikit mahal berbanding di Bukit Tinggi, tetapi kualiti dan pilihannya tidaklah mengecewakan.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: