
"MENINGGALKAN Pulau Sipadan adalah satu pengorbanan besar. Kami bukan sahaja kerugian berjuta-juta ringgit malahan kehilangan ramai pelanggan," kata pengarah urusan Borneo Divers, Clement Lee.
Clement bagaimanapun akur pada arahan daripada kerajaan negeri berikutan persekitaran marin dan habitat hidupan air di Taman Negara Pulau Sipadan seluas 12 hektar terjejas teruk akibat aktiviti manusia.
Pembinaan infrastruktur fizikal seperti pusat percutian dan kemudahan lain untuk menampung permintaan yang terus meningkat daripada penyelam dari seluruh dunia akhirnya mengancam ekosistem marin yang mudah musnah di taman ini.
Kemerosotan paling jelas adalah pada bilangan spesies marin yang banyak terdapat di sekitar pulau ini semasa ia pertama kali diteroka oleh Borneo Divers pada tahun 1993.
Bagaimanapun, Clement yang merintis industri aktiviti selaman di Pulau Sipadan pada tahun 1994 dan pengendali lain tidak kesal dengan keputusan mereka untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa demi memulihara khazanah Pulau Sipadan bagi generasi akan datang.
"Jadi kami meninggalkan tempat ini dengan pendapat yang kami mengambil langkah tepat dan melabur demi masa depan kami," kata Clement dan menambah jika mereka memutuskan untuk terus berada di Sipadan kemusnahan di situ pasti lebih teruk lagi.
Walaupun meninggalkan pulau ini, mereka tetap meneruskan aktiviti selaman di situ mengikut peraturan yang diperkenalkan oleh kerajaan termasuk mengehadkan bilangan penyelam ke taman ini kepada 120 orang berbanding tiada had sebelumnya.
Selepas meninggalkan pulau itu, Clement membuka sebuah lagi pusat percutian untuk aktiviti selaman atas tapak seluas 2.6 hektar di Pulau Mabul, yang terletak 15 minit perjalanan dari Sipadan dengan bot laju.
Pengorbanan Clement dan pengusaha aktiviti selaman yang lain telah mengubah Pulau Sipadan secara signifikan apabila penyelidik mendapati kehidupan marin di situ telah pulih semula dengan cepat dan persekitaran bawah air menunjukkan penambahbaikan yang ketara.
"Selepas tujuh tahun berlalu, hidupan marin di Pulau Sipadan menunjukkan peningkatan. Apa yang saya pernah lihat sendiri sebelum ini, saya melihatnya sekarang. Saya dapat bandingkan keadaan sebelum ini dan sekarang. Saya dapat lihat perkembangan positif," kata Clement berdasarkan kepada pengamatan beliau dan rakan-rakannya di Pulau Sipadan.
Nafas baharu

Satu pasukan penyelidik yang diketuai oleh pensyarah Jabatan Sains Marin Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Juanita Joseph mendapati penambahbaikan signifikan pada ekosistem marin di Pulau Sipadan.
Menurut Dr. Juanita kehadiran lebih banyak anak penyu menunjukkan peningkatan dalam populasi penyu di Pulau Sipadan sejak lima tahun yang lalu.
"Ini terbukti sepanjang Ekspedisi Saintifik Taman Marin Pulau Sipadan 2010, dianggarkan di antara 50 dan 60 penyu boleh dilihat setiap hari di kawasan haiwan itu mencari makanan".
Turut bersetuju dengan penemuan Juanita ialah seorang penyelidik dari Taman-Taman Sabah, Irwan Isnain. Kata beliau, kepulangan penyu-penyu muda ke pulau ini adalah selaras dengan peningkatan dalam spesies rumpai air di sekeliling pulau ini yang dimakan penyu.
Semasa ekspedisi itu, penyelidik ikan itu juga menemui dua spesies terancam humphead wrasse dan humphead parrotfish yang masing-masing dikenali sebagai maming dan kat dalam bahasa tempatan, meningkat dalam bilangan mereka di perairan Pulau Sipadan.
Dr. Mabel Manjaji dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) pula menemui sejumlah besar ikan kerapu batu karang iaitu petunjuk jelas akan satu ekosistem batu karang yang sihat. Kehadiran kumpulan barracuda, jackfish dan humphead parrotfish menunjukkan pemulihan berbanding lima tahun lalu.
Bagi Clement dan pengusaha aktiviti selaman yang lain, mereka bukan sekadar meninggalkan pulau itu tetapi juga membantu mengalihkan perhatian pelancong ke lokasi selaman lain seperti Pulau Mabul, Pulau Bohey Dulang, Pulau Kapalai, Pulau Pompom, Pulau Mataking dan yang lain untuk mengurangkan tekanan pada Pulau Sipadan.
Mengenai masa depan industri aktiviti selaman di Pulau Sipadan dan pulau lain di Semporna, Clement berkata, kelestarian industri itu banyak bergantung kepada sumber manusia profesional dan pemuliharaan persekitaran marin semula jadi.
"Persekitaran marin adalah rakan kami, kesejahteraannya penentu hasil dan pelanggan kami," kata Clement menjelas mengapa persekitaran marin yang sihat adalah penting bagi pengusaha aktiviti selam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: