|
KHERSONESE Expedition menyediakan pakej ekspedisi rakit arus deras bersesuaian dengan kemampuan dan kehendak pelanggan. HUJAN mula membasahi bumi apabila kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki penulis dan jurugambar, Hafiz Johari, memasuki kawasan Behrang ke Slim River, Perak menuju ke satu lokasi yang masih menjadi tanda tanya.
Hanya berbekalkan nombor telefon dan nama tempat, penulis akhirnya dipertemukan dengan penyelia ekspedisi berakit jeram arus deras (white water rafting) dari syarikat Khersonese Expedition Sdn. Bhd. Kamal Abdullah, 34.
Setiba di pekan Ulu Slim, penulis bertemu dengan Kamal atau lebih dimesra dipanggil Bai dan 12 peserta dari sebuah syarikat pembekal telekomunikasi Itali di Malaysia yang menyertai aktiviti sama.
Ternyata sebelum dapat merasai keterujaan menongkah arus jeram, perjalanan yang ditempuh ke lokasi jeram tidaklah semudah yang disangka.
Peserta dibawa menaiki kenderaan pacuan empat roda untuk ke lokasi bermulanya rakit arus deras di Sungai Ulu Slim.
Lebih mencabar, dari Kampung Ulu Slim kenderaan pacuan empat roda kami perlu melalui jalan balak sejauh tiga kilometer memasuki hutan, bukit dan jalan berlumpur selain melalui kawasan perkampungan Orang Asli.
Kehangatan ekspedisi mula dirasai apabila kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki hampir terkandas di laluan balak yang berselut. Deruan enjin kenderaan yang dinaiki mula kedengaran kuat memecah kesunyian hutan.
Hanya selepas 30 minit melalui trek sukar berlumpur barulah kami tiba ke titik bermulanya misi berakit menempuh jeram. Setibanya di tapak aktiviti, dalam keadaan hujan turun renyai-renyai, setiap peserta diminta memakai topi keledar, jaket keselamatan serta memegang sebatang dayung.
Dengan tiga buah rakit bersama pemandu yang ditugaskan dalam keadaan bersedia, Kamal terlebih dahulu memberi taklimat tentang penggunaan setiap alatan dan keselamatan.
Jangan panik

"Kami pasti anda akan berasa seronok dengan menyertai aktiviti rakit arus deras ini namun, perkara paling penting yang harus diutamakan ialah keselamatan. Untuk melakukan aktiviti ini, anda tidak boleh cepat panik jika berlaku kecemasan. Walau apa pun yang berlaku, anda mesti sentiasa tenang. Apa yang penting, patuhi arahan jurupandu masing-masing," tegas Kamal yang telah 12 tahun berpengalaman dalam aktiviti rakit arus deras kepada peserta.
Setelah memastikan jaket keselamatan dan topi keledar dipasang sempurna, setiap peserta dibekalkan dengan pendayung.
Rombongan kami yang tidak ramai memerlukan tiga buah rakit getah dengan setiap rakit memuatkan empat hingga enam orang peserta termasuk jurupandu.
Perasaan bercampur baur antara teruja, seronok dan takut mula menerjah ke dalam diri setiap peserta ketika memasuki bot di bahagian air yang tenang.
Tetapi, melihatkan ketangkasan jurupandu dan peralatan keselamatan yang disediakan peserta mula menaruh keyakinan akan kecekapannya, ketakutan yang menguasai diri mula dibuang jauh-jauh.
Kembara melawan arus deras sepanjang tujuh kilometer itu bakal mengambil masa kira-kira 4 jam.
Penulis difahamkan akan menempuh banyak jeram dan tahap arus sungai pada hari itu mencecah tahap empat atau lebih laju kerana hujan. Mendengar perkara itu, ada antara peserta menghela nafas panjang dan mula berdoa.
Deria mendengar penulis dalam keadaan bersedia untuk menerima sebarang arahan yang diberikan jurupandu, pada masa yang sama menikmati keindahan sekeliling.
Jurupandu rakit penulis, Amin Ahmad, 28, memberi arahan agar rakit digerakkan ke hadapan sebaik sahaja 'kenderaan' itu mencecah air dan dibawa arus.
Kelajuan pergerakan air dapat dirasakan mengalir di bawah rakit. Terkial-kial kami mendayung seperti yang diarahkan namun, pengalaman itu masih asing buat diri setiap peserta.
Rakit menghempas batu

Selepas beberapa minit berakit saat cemas mula menerjah apabila rakit menghampiri jeram yang pertama. Jantung berdegup kencang dan Amin berteriak, "All hard forward!", sebelum meminta kami berhenti mendayung sambil memegang erat tali di sisi rakit getah.
Perasaan cemas mula bercampur keseronokan apabila kami dapat rasakan rakit menghentam batu bersama air sungai sebelum ia terus meluncur laju turun ke bawah menuruni jeram ke hulu sungai.
Penulis dan peserta tercungap-cungap menarik nafas setelah berjaya melalui jeram pertama yang menakutkan.
Jeram demi jeram kami lalui dengan selamat malah, setiap rakit akan bergilir-gilir menuruni jeram satu persatu sambil jurupandu masing memantau perjalanan arus deras yang menyelusuri sungai pada hari tersebut.
Penulis melihat bagaimana peserta lain yang melalui cabaran sama tidak lekang dengan senyuman dan keterujaan. Jelas kelihatan setiap peserta merasai sendiri keseronokan sukan ekstrem itu.
Bagi salah seorang peserta, Nicole Kuck, 33, aktiviti berakit arus deras seumpama itu merupakan suatu kegiatan riadah yang amat sesuai dicuba bersama rakan-rakan atau keluarga.
"Ini merupakan aktiviti yang sangat sesuai untuk saya kerana ia sangat menyeronokkan serta hanya mengambil masa selama separuh hari. Kedudukannya yang tidak jauh dari Kuala Lumpur juga menarik perhatian kami.
"Di samping itu, ia turut mengeratkan tali kekeluargaan apabila melakukan aktiviti yang memerlukan kerjasama setiap ahli," kata Nicole yang menggemari aktiviti berakit arus deras walaupun baru dua kali mencubanya.
Beliau yang menyertai ekspedisi itu bersama majikan dan rakan sekerja pada hari itu, juga merasakan aktiviti seumpama itu bukan sahaja untuk kegembiraan tetapi, juga mendekatkan diri dengan keindahan alam sekitar.
![]() |
| KHERSONESE Expedition menyediakan pakej ekspedisi rakit arus deras bersesuaian dengan kemampuan dan kehendak pelanggan. |
Sementara itu, Carlo Afredo, 58, yang berasal dari Itali mendakwa penglibatan kali pertama dalam aktiviti berakit arus deras hari itu merupakan salah satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan.
"Walaupun pada mulanya hati berdebar kerana takut tetapi, setelah melaluinya, saya merasa sangat teruja dan tidak sabar untuk mencubanya sekali lagi," katanya.
Walaupun rakit yang dinaiki tersangkut di batu dan pusaran arus deras, namun ia tidak melunturkan semangat pengarah urusan syarikat telekomunikasi dari Itali tersebut untuk meneruskan pengembaraan beliau hari itu.
"Kerjasama yang diberikan oleh rakan sekerja dan kakitangan selain mengingati langkah-langkah keselamatan yang diberikan meningkatkan lagi keyakinan dalam diri," kata beliau lagi yang berazam akan melakukan aktiviti lasak itu lagi pada masa akan datang.
Selain itu, Afredo turut memuji kecekapan jurupandu dan penyelia ekspedisi yang sangat cekap mengendalikan rakit.
Apatah lagi aliran arus Sungai Ulu Slim bertambah deras selepas hujan turun sejak dua hari sebelum ekspedisi.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: