Monday, December 5, 2011

Berfesyen biar selesa


PELBAGAI warna dan fesyen tudung adakalanya pengacara program Ustazah Pilihan ini menjadi rambang mata.


BAGI Siti Rohani Surani yang sememangnya ayu bertudung, biasanya dia akan menghabiskan masa hariannya dengan berkunjung ke galeri pakaian untuk membeli tudung atau pun selendang dan skaf di Galeri Selindang dan Skaf Ratu yang terletak di Platinum Walk, Setapak, Kuala Lumpur.

Menurut anak kelahiran Temerloh, Pahang ini, dia cukup sukakan sesuatu yang ringkas tetapi menarik dipandang mata.

Namun begitu katanya, dia sememangnya cerewet mengenai pemilihan tudung mahupun sebarang produk yang dibelinya.

"Jujurnya, saya menitik beratkan pemilihan kualiti sesuatu produk yang ingin dibeli kerana saya tidak mahu menyesal jika tersalah beli. Kebiasaannya saya akan membuat perbandingan di antara kedai-kedai terlebih dahulu.

"Bukan terlalu memilih, tetapi kalau kita meninjau harga dan jenis tudung serta pakaian terlebih dahulu, sebenarnya kita dapat mengelakkan pembaziran dan dalam masa yang sama produk yang kita beli itu, benar-benar berkualiti.

"Saya suka ke Galeri Ratu kerana semuanya ada di sini. Macam one stop centre. Lagipun ia menawarkan tudung dan pakaian dengan harga yang berpatutan dan sememangnya berbaloi," ujarnya yang cukup manis apabila tersenyum ini.

Selain itu, bagi pengacara program realiti terbitan Astro Oasis, Ustazah Pilihan ini, fesyen bertudung akan menjadi lebih menarik sekiranya kena pada gaya.

"Bagi saya, apa yang penting ialah setiap apa yang saya pakai, mesti bersesuaian dengan diri saya sendiri. Malah jika berfesyen, harus kena dengan imej kita.

"Bukannya tidak mahu mengikut trend bertudung yang pelbagai, tetapi apa yang penting ialah keselesaan pemakai itu sendiri. Bak kata orang, biar alah membeli, menang memakai," ujarnya sambil memilih beberapa helai tudung untuk digayakan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: