Saturday, December 24, 2011

Bagai Perancis dalam iklim tropika


BANYAK bar santai beroperasi di kawasan marina untuk menarik minat para pelayar.


SUATU masa dahulu, seorang gadis yang berasal dari sebuah ladang tebu masih samar tentang masa depannya. Begitupun, Marie-Josephe-Rose Tascher de la Pagerie yang berhijrah ke kota Paris telah mengubah kehidupannya buat selama-lamanya.

"Kamu akan menjadi seorang ratu," seorang tukang tilik memberitahunya, seperti yang diceritakan dalam legenda tempatan.

Gadis telah meninggalkan bahagian tenggara Pulau Martinique di Laut Caribbean itu dan menjalani kehidupan baharu di Perancis.

Semuanya berlaku pada hari-hari terakhir pemerintahan beraja, selepas Revolusi Perancis, apabila beliau akhirnya berkahwin dengan Napoleon Bonaparte. Gadis itu akhirnya memakai gelaran Permaisuri Josephine.

Sekiranya berpeluang kembali semula ke Martinique pada hari ini, Josephine mungkin terpaksa mencari semula budaya asal Perancis yang kini digarap dengan ritma dan pengaruh elemen bukan Eropah. Sejak berkurun lalu, semua itu telah berakar-umbi dalam kalangan penduduk di kepulauan itu.

Kisah kehidupan Josephine di Martinique kini dipaparkan di muzium Domaine de la Pagerie, berhampiran sebuah resort di Les Trois-Ilets.

Ketika beliau menetap di situ sekitar pertengahan abad ke-18, Martinique masih diletakkan di bawah pentadbiran Perancis.

Keluarga wanita itu memiliki lebih 200 hamba abdi untuk bekerja di ladang-ladang milik mereka di bahagian selatan kota itu yang kini dikenali sebagai Fort-de-France.

Rumah asal Josephine yang terletak di atas bukit dengan menawarkan panorama lembah bagaimanapun telah musnah akibat taufan ketika beliau masih kecil. Rangka bangunan itu masih kekal dan menjadi bukti kedatangannya dari Perancis pada tahun 1779.

Pemuliharaan

Dinding kilang batu itu masih kekal berdiri di sebalik pokok-pokok berdaun. Sebuah bangunan yang telah dipulihkan menjadi astaka terbuka masih menyimpan beberapa peralatan dan mesin pemproses tebu yang telah berkarat.

Bahagian dapur yang dipisahkan daripada bangunan utama turut dibaik pulih sebagai muzium kecil. Ia menempatkan bilik Josephine, katil kanopi dan potret.


PANORAMA dunia pelayaran dapat disaksikan ketika berkunjung ke kawasan pelabuhan Fort-de-France.


Pelbagai cenderamata porselin yang memaparkan wajah Napolean dan dirinya juga dipamerkan, termasuk salinan surat perkahwinan dengan Napolean serta banyak lagi dokumen bersejarah lain.

Perhambaan ketika di era Napolean telah memberi faedah kepada keluarga Josephine dan golongan berada yang masih menguasai sebahagian besar tanah di kepulauan itu sehingga ke hari ini.

Sentimen Josephine

Disebabkan itu, tidak hairanlah wajah dan nama Josephine masih boleh dilihat di kebanyakan jalan-jalan sempit, bangunan berwarna-warni sehingga di kedai cenderamata di Pagerie, yang menjual poskad-poskad pemandangan Martinique.

Patung figura terkenal itu kini boleh dilihat di Fort-de-France. Bagaimanapun patung berwarna putih itu telah dirosakkan beberapa tahun lalu. Kepalanya dipancung, disimbah cat berwarna merah dan namanya turut ditanggalkan daripada tapaknya.

Umumnya, Martinique merupakan sebuah wilayah di Perancis. Bahasa Perancis dan mata wang Euro digunakan secara rasmi di situ.

Penduduk tempatan menggunakan kenderaan jenama Perancis seperti Renault dan Citroen. Mereka juga mengunjungi butik untuk mendapatkan fesyen-fesyen terkini dari Eropah.

Campuran budaya

Signatur hidangan Perancis di Martinique menggunakan rempah-ratus dan kari, makanan laut segar dan buah-buahan tropika hasil campuran budaya Afrika serta India. Tradisi kulinari itu telah sebati di pulau itu sejak sekian lama.

Pasar tertutup di tengah-tengah Fort-de-France pula sering sibuk dengan jualan menjual rempah-ratus, pewangi vanila dan alas meja buatan tangan yang khusus.


SUASANA harian di pasar basah Fort-de-France.


Ketika memerintah, Josephine cuba mencipta keindahan tropika Martinique di kediaman baharunya di Paris, Malmaison yang terkenal dengan kehijauan taman-tamannya. Idea itu juga berasal dari martinique.

Pengunjung ke Martinique boleh merasai pengalaman yang sama tatkala ke Jardin de Balata yang terletak di kawasan berbukit di Fort-de-France.

Laluan pejalan kaki berturap yang tersedia membawa pengunjung melihat spesies tumbuhan tropika seperti orkid, pokok-pokok berbunga dan bunga Balisier. Mekar dalam tarikan warna merah, bunga sepit ketam spesies heliconia menjadi identiti kepulauan Martinique.

Pengalaman melalui jambatan gantung di taman itu menawarkan pandangan yang lebih menarik di sebalik juntaian pepohon tropika.

Jauh di utara berhampiran Caribbean Martinique, terdapat pantai pasir hitam di sekitar bandar kecil Saint-Pierre. Bandar itu dibina di bawah runtuhan gunung berapi yang meletus pada tahun 1902.

Terdapat bahagian pantai di pulau itu yang mengadap ke Laut Atlantik yang digelar 'tempat mandi Josephine'. Air laut cetek berwarna biru kehijauan itu dipercayai menjadi tempat permaisuri itu bermandi-manda ketika zaman mudanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: