Saturday, December 24, 2011

Halangan hebat ke Lubuk Kawah



DEDIKASI yang ditunjukkan oleh para peserta yang mengikuti rombongan anjuran Tourism Selangor, Fam Tour Kembara Selangor Shines (KSS) 2011 telah diberikan kejutan istimewa menjelang hari terakhir program tersebut awal Disember lalu.

Dihadiahkan dengan sebuah pengalaman mengujakan, para peserta kembara yang terdiri daripada kumpulan media, syarikat pelancongan dan blogger diajak menyertai ekspedisi kenderaan pacuan empat roda (4x4) ke Lubuk Kawah, Sungai Bernam, Ulu Bernam, Selangor.

Kumpulan peserta KSS yang berlepas dari Shah Alam menaiki dua buah bas pesiaran dan sebuah bas mini, menempuh perjalanan selama kira-kira tiga jam untuk tiba ke Hulu Selangor.

Jarak yang jauh itu membolehkan sebahagian peserta KSS sempat melelapkan mata bagi menghilangkan keletihan.

Setiba peserta di lokasi yang dituju, 16 buah kenderaan pacuan empat roda sedia menanti di pintu masuk jalan Sungai Bernam. Destinasi berikutnya adalah Teratak Riverview, Kampung Simpang Empat Dalam, Tanjung Malim yang telah beroperasi sejak dua tahun dahulu.

Turut menyambut mesra ketibaan kami ialah pemilik resort Teratak Riverview, Mohamad Noor Hakim Kassim, 55, bersama 32 pemandu dan pembantu kenderaan pacuan empat roda.

Para peserta ekspedisi masing-masing kelihatan teruja dan ceria untuk memulakan ekspedisi ke Lubuk Kawah yang tersembunyi jauh ke dalam hutan Gunung Semangkok.

Sebelum bertolak, Hakim yang juga merupakan pengelola ekspedisi memberi sedikit penerangan mengenai laluan perjalanan dan langkah-langkah keselamatan yang perlu dilakukan jika berlaku kecemasan.

Redah sungai

Kata Hakim, Sungai Bernam merupakan sempadan antara Selangor dan Perak serta terdapat banyak anak sungai yang berpunca dari rangkaian utama di sekitar Gunung Semangkok.


SITUASI kenderaan yang terperangkap dalam selut, lubang atau di kawasan sungai berbatu adalah sesuatu yang lazim.


“Sungai Lubuk Kawah adalah salah satu daripada beberapa sungai yang ada. Ia mengalir ke dalam Sungai Perah dan kemudian memasuki Sungai Bernam.

“Kedua-dua sungai itu mempunyai lokasi air terjun. Laluan masuk ke Lubuk Kawah akan menggunakan laluan jalan tar lama yang berlubang-lubang dan tidak kemas,” ujar bekas pesara pegawai kerajaan itu.

Tambah Hakim lagi, peserta akan dibawa ke Teratak Riverview untuk bersarapan pagi dan melalui latihan laluan percubaan sebelum meneruskan ekspedisi ke Lubuk Kawah.

Ekspedisi kenderaan 4x4 ke air terjun Lubuk Kawah yang terletak kira-kira 13 kilometer (km) dari jalan utama Ulu Bernam-Tanjung Malim itu benar-benar menguji ketahanan mental dan fizikal 70 peserta KSS yang terlibat.

Tidak seperti Lata Berembun di Raub, Pahang. Lubuk Kawah dianggap sebagai kawasan air terjun yang terletak jauh di dalam hutan.

“Air Terjun Lubuk Kawah masih tidak digazet oleh kerajaan negeri atau persekutuan sebagai lokasi pelancongan, tetapi ia menjadi lokasi tumpuan bagi mereka yang meminati aktiviti ekstrem.

“Selain terpesona dengan keindahan flora dan air terjun di Lubuk Kawah, para pengunjung juga bakal teruja dengan cabaran perjalanan di laluan balak,” kata Hakim.

Jarak dari Teratak Riverview ke Lubuk Kawah ialah 9 kilometer tetapi masa yang diambil peserta untuk sampai ke sana mungkin berbeza mengikut kenderaan dan pengalaman pemandu.

“Untuk sampai ke sana, perjalanannya tidak semudah yang disangka. Bagi mereka yang baru berjinak-jinak dengan aktiviti ini pasti akan berasa tercabar. Silap-silap boleh putus asa dan mengaku kalah kerana jentera yang dibawa mungkin rosak dan gagal melepasi halangan,” katanya.

Curam dan berlumpur

Seorang pemandu kenderaan 4x4, Munasor Aliyasak, 58, berkata, laluan ke Lubuk Kawah adalah tidak rata, berlumpur dan curam selain terpaksa menyeberang sungai yang dipenuhi batu-batu besar.

“Peserta perlu melalui jalan kebun, dusun pokok getah, tanah merah dan landskap hutan,” jelasnya.

Pada mulanya, keadaan perjalanan kelihatan biasa sahaja. Para peserta yang ada kelihatan bosan serta tiada perkara menarik untuk diperkata atau dicoretkan.

Bagaimanapun, semua itu mula berubah apabila jentera ekspedisi KSS mula menuruni bukit. Walaupun tidak banyak halangan lain, para pemandu dilihat amat berhati-hati kerana jalan yang digunakan masih basah.

Selepas melepasi cabaran pertama, para peserta ekspedisi berhenti seketika untuk makan tengah hari berhampiran sebatang sungai.

Sejurus perjalanan diteruskan selepas berehat seketika, peserta diberitahu tentang laluan peringkat hardcore. Kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki peserta perlu merentasi sungai berbatu yang deras arus airnya.

Sejurus melepasi beberapa batang sungai pada kilometer ke-25, tahap cabaran mula bertambah apabila jalan balak yang dilalui mula menguji kesungguhan para tetamu dari luar belantara itu.

Dihimpit tebing

Beberapa buah jentera yang dinaiki para peserta terpaksa berhempas pulas untuk melepasi laluan berlumpur dan menaiki bukit yang curam 40 darjah.


PARA peserta program KSS 2011 bergambar kenangan sebagai tanda kepuasan mengikuti ekspedisi pacuan empat roda ke Lubuk Kawah.


Beberapa kali badan kenderaan terasa dihimpit apabila ia bergesel dengan tebing tanah.

Perjalanan tergendala seketika apabila salah sebuah kenderaan 4X4 yang dinaiki peserta terangkat pada kedua-dua tayar belakangnya. Seperti ‘tertonggeng’, ia terjadi kerana bahagian depan kenderaan terperosok ke dalam lubang lumpur sedalam satu meter. Tidak kurang pula kenderaan yang dinaiki mengalami masalah enjin dan patah bahagian lower arm pada tayar.

“Keadaan yang berlaku ini biasa dilalui peserta ekspedisi pacuan empat roda. Ia memang laluan hardcore.

“Selain itu, terdapat laluan kedua yang lebih mudah atau light and easy. Tujuannya untuk memberi pengalaman berbeza dan menarik buat peserta KSS,” ujarnya.

Ketika jentera yang dinaiki penulis dan jurugambar ‘gelojoh’ membelah lopak air dan memanjat bukit, beberapa kenderaan terpaksa ditarik menggunakan winch selepas terbenam ke dalam becak dan gagal menaiki curam berlumpur.

Cabaran demi cabaran ditempuhi sepanjang laluan. Walaupun menghadapi ujian yang teruk, semuanya dilepasi dengan baik hasil kerjasama semangat berpasukan.

Selepas tiba di checkpoint terakhir di Lubuk Kawah, kesemua peserta ekspedisi tidak melepaskan peluang untuk berehat seketika bagi menghilangkan penat lalu membasahkan diri ke dalam air terjun Lubuk Kawah.

Pengalaman berharga

Salah seorang peserta ekspedisi, Md. Saad Mahshah, 35, berkata, ekspedisi ke Lubuk Kawah dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda sangat menarik dan pasti membuat setiap pengunjung teruja serta menjadi pengalaman yang amat berharga.

“Ekspedisi ke Lubuk Kawah ini sangat sesuai untuk semua peringkat umur dan menarik untuk dijadikan aktiviti seisi keluarga.

“Saya rasa sangat teruja dan berfikir untuk mengikutinya lagi pada masa akan datang. Selain pemandangan indah dan kesejukan air sungai Lubuk Kawah di tengah hutan, pengalaman mencabar ketika melalui jalan balak sangat menyeronokkan,” kata Pengurus Perhubungan Awam dan Promosi Tourism Selangor Sdn. Bhd.

Tambahnya, dalam ekspedisi tersebut setiap peserta dan pengunjung dapat mempelajari erti kehidupan dan resam hidup bermasyarakat.

“Di dalam hutan, orang yang kita tidak kenal akan jadi sahabat kerana setiap masalah yang dihadapi perlu ditangani bersama.


Meredah sungai seperti ini memberi pengalaman unik kepada para peserta baharu.


“Prinsip kerjasama dan saling membantu itu menjadi perkara penting bagi setiap peserta ekspedisi agar sama-sama dapat tiba di destinasi,” ulasnya.

Sesudah menikmati kesejukan air Lubuk Kawah dan keindahannya. Para peserta menaiki kenderaan 4x4 masing-masing untuk pulang ke Teratak Riverview semula.

Perjalanan pulang mengambil masa 40 minit dan lebih mudah berbanding perjalanan pergi yang mengambil masa selama 4 jam.

Kesemua peserta ekspedisi tiba ke tapak resort pada pukul 7.30 malam. Kesemua peserta ternyata sangat berpuas hati dengan ekspedisi yang dilalui walaupun setiap dari mereka tergambar wajah kepenatan.

Untuk maklumat lanjut sila layari laman web http://teratakriverview.blogspot.com/ atau hubungi 013-533 5033 (Hakim), 019-511 5033 (Hanah) atau 017-343 1346 (Haziq).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: