Saturday, December 24, 2011

Api simbol perjuangan

Penghayatan semangat kepahlawanan dan erti kemerdekaan Indonesia diabadikan di Tugu Monas, Jakarta.


SIRI peristiwa bersejarah diabadikan dalam bentuk ukiran diorama di tapak Tugu Monas, Jakarta.


BAGI rakyat Indonesia dan warga Jakarta khususnya, kelibat monumen yang seakan-akan menongkat langit ibu negaranya itu bukanlah sesuatu yang asing.

Terletak di tengah-tengah kepesatan bangunan pencakar langit di sekelilingnya, Monumen Nasional (Monas) atau lebih dikenali sebagai Tugu Monas merupakan antara tarikan utama tatkala berkunjung ke bandar raya yang dihuni lebih 10 juta penduduk itu.

Terletak di daerah Gambir, Jakarta Pusat, monumen setinggi 132 meter itu dibina di kawasan seluas 80 hektar bertujuan memperingati semangat kepahlawanan dan perjuangan bangsa Indonesia semasa Revolusi Kemerdekaan 1945.

Pembinaannya dimulakan pada tahun 1955, dengan tanggungjawab itu diberikan kepada arkitek R.M. Soedarsono dan Frederich Silaban dan dibantu oleh konsultan, Ir. Rooseno.

Kesuburan

Mengambil konsep lingga (alu atau penumbuk beras) dan yoni (lesung), ia merupakan cerminan kesuburan berdasarkan konsep Hindu. Konsep itu juga melambangkan simbol kesuburan muka bumi dan kemakmuran bangsa Indonesia.


SUASANA dalam Dewan Kemerdekaan.


Sejurus siap dibina pada 12 Julai 1975, ia seterusnya dirasmikan dan dibuka kepada orang awam. Tarikan utama terletak di bahagian atasnya yang dilengkapi sebuah pelantar dengan keluasan 55 meter persegi. Ruang itu dapat menampung kira-kira 50 pengunjung pada satu masa.

Dari pelantar itu, pengunjung berpeluang melihat seluruh penjuru kota Jakarta dengan lebih dekat - kepelbagaian bentuk muka bumi seperti Gunung Salak di Jawa Barat atau Laut Jawa dan Pulau Seribu.

Di puncak tugu tersebut terdapat simbol api yang dilapisi lembaran emas. Ia melambangkan semangat perjuangan rakyat Indonesia yang tidak pernah padam dalam meraih status kemerdekaan.

Proklamasi

Sementara itu, di bahagian bawah tugu pula menempatkan ruang pameran yang dikenali sebagai Dewan Kemerdekaan. Mampu memuatkan lebih 500 pengunjung, ruang itu boleh diakses melalui pintu masuk di bahagian utara dan selatan. Ia memaparkan simbol-simbol kemerdekaan Indonesia termasuk naskhah asal Proklamasi Kemerdekaan, senjata tradisional dan peta kepulauan republik itu.

Pada dinding sebelah selatan terdapat sebuah patung besar Garuda Pancasila bersalut gangsa dengan emas, yang menjadi lambang negara. Jika melangkah ke sebelah timur pula, pengunjung berpeluang melihat teks pengisytiharan kemerdekaan dalam tulisan gangsa dan menghayati makna bendera kebangsaan Indonesia, Sang Saka Merah.


PANORAMA sekitar Jakarta dapat disaksikan dari pelantar tinjau di bahagian atas tugu.


Pelbagai diorama yang menghiasi ruang itu membolehkan pengunjung melihat pelbagai sejarah silam dan kebudayaan Indonesia dengan lebih dekat.

Pengunjung juga pasti terpesona melihat kolam air pancut dan patung Pangeran Diponegoro yang sedang menunggang kuda di permukaan kolam itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: