Tuesday, December 13, 2011

Aura si botak Pitbull


Pitbull sememangnya tidak menghampakan peminatnya yang menunggu walaupun hujan.


Walaupun hujan masih lagi turun ketika konsert bermula, namun semua itu tidak mampu menghalang kegilaan peminat penyanyi lelaki ini.

Seperti dijangka, Konsert Pitbull Live In Malaysia 2011 berjaya menarik deria peminat tegar artis lelaki yang hadir dengan imej botak itu.

Walaupun hanya berada di atas pentas tidak sampai satu jam, namun bahang aura Mr. Worlwide itu tetap dapat dirasai lebih 5,000 peminatnya yang hadir di Surf Beach, Sunway Lagoon, Petaling Jaya, Selangor, Khamis lalu.

Pentas pada malam tersebut dipanaskan terlebih dahulu dengan persembahan pembukaan oleh Mizz Nina. Ia membuatkan penonton semakin tidak sabar-sabar untuk menantikan kemunculan Pitbull.

Sebaik sahaja Mizz Nina selesai menyanyikan lagu What You Waiting For, tepat pukul 10.20 malam, Pitbull muncul di atas pentas sekali gus mengundang rasa teruja peminat yang hadir.

Berpakaian sut hitam kemas dan berkaca mata gelap, ternyata aura lelaki itu membuatkan semua penonton yang hadir tidak sabar-sabar untuk menari bersama.

Memulakan persembahan dengan menyampaikan lagu Shut It Down, Pitbull kemudiannya menghangatkan lagi persembahan pada malam itu melalui lagu I Gotta Feeling (FMIF Remix) dan Hey Baby (Drop It to the Floor).

Selain itu, penyanyi kacukan Cuba-Amerika Syarikat itu juga sempat mengucapkan terima kasih kepada seluruh peminatnya yang hadir walaupun keadaan cuaca pada malam tersebut bersulam hujan dan guruh.

Kemeriahan konsert itu kemudiannya diteruskan lagi dengan lagu Pause, Something For the DJ's, Shake/C**o, I Know You Want Me dan Come N Go.

Meskipun kebanyakan lagu yang disampaikan Pitbull mempunyai bait-bait bahasa Latin namun perkara tersebut tidak menghalang peminatnya daripada terus mengikuti rentak ‘disco-techno-beat’ yang kemas dan juga padat.

Malah, iringan beberapa pemuzik bermain saksofon, gitar bass, keyboard dan drum, menambahkan lagi kepelbagaian muzik pada malam tersebut.

Sebelum menutup tirai konsert pada malam itu, Pitbull menghiburkan peminatnya menerusi lagu Rain Over Me, On the Floor/I Like It/DJ Got Us, Fallin' In Love dan Hotel Room Service.

Lagu terakhir Give Me Everything disampaikan sebagai kenangan manis peminat-peminat Pitbull di Malaysia.

Secara jujur, konsert pada malam tersebut pastinya akan lebih bertenaga dan mantap jika beberapa artis yang berkolaborasi dalam album kelimanya, Planet Pit, dapat hadir.

Antara artis membuat penampilan khas dalam album kelimanya itu adalah Marc Anthony untuk lagu Rain Over Me, On The Floor (Jeniffer Lopez), deejay terkenal Perancis, David Guetta (Something For The DJs) dan juga Give Me Everything (Afrojack, Ne-Yo serta Nayer).

Selasa lalu, Pitbull baru sahaja mengakhiri rangka konsert jelajahnya di Jakarta, Indonesia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: