Tuesday, December 13, 2011

2011 bukan tahun sedih Yuna


PASTI kehadiran 2012 bakal memberi sinar baru buat karier Yuna.


SEJARAH hiburan negara parti tidak akan melupakan nama penyanyi ini setelah anugerah yang diterimanya pada sebuah majlis berpresti di tarik semula akibat daripada kesilapan pemarkahan.

Terpalit dengan kisah ngeri itu Yuna tetap berfikiran positif memandang tahun ini telah banyak menyaksikan naik turun perjalanan seninya.

"Setelah apa yang berlaku saya tetap mahu mengatakan tahun ini merupakan antara tahun terbaik saya

"Saya juga berpuas hati dengan segala kejayaan yang telah dicapai sepanjang tahun ini," katanya pada sidang akhbar untuk konsert maya pertamanya di Jaya One, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Menurut Yuna, dia akan melangkah ke tahun 2012 bersama azam baru buat kariernya sebagai seorang penyanyi

"Saya bakal melancarkan sebuah album untuk pasaran Amerika Syarikat (AS) pada Mac tahun hadapan.

"Album ini tidak akan dipasarkan di Malaysia kerana kesesuaian lagu ini untuk pasaran di sana. Bagaimanapun saya akan tetap mencipta lebih banyak lagu-lagu Melayu khususnya untuk pendengar di negara ini," katanya.

Menyangkal dakwaan bahawa dia kini kian berubah akibat populariti mendadaknya, Yuna memberitahu, secara mental, dia sudah berubah menjadi seorang yang lebih dewasa.

"Saya hanya berubah mengikut umur yang memerlukan saya menjadi lebih matang.

"Pelbagai cabaran telah dilalui dan sehingga kini saya rasa pengalaman itu sedikit sebanyak mengubah diri saya. Sama seperti penghibur lain, saya juga pernah merasai tidak dibayar selepas mengadakan persembahan," katanya.

Bakal mengadakan konsert maya pertamanya pada 14 Disember ini, Yuna memberitahu, dia sangat teruja untuk mengadakan konsert secara online yang pertama kali diadakan di negara ini.

"Perasaannya sama seperti mengadakan konsert yang dihadiri penonton sebenar.

"Seperti membuat konsert sebenar saya juga akan mengambil kira persiapan untuk konsert ini, seperti memilih baju untuk persembahan serta membuat latihan," katanya.

Ditanya sama ada dia akan memberikan persembahan yang sama seperti di konsert sebelum ini, Yuna memberitahu, dia pasti penonton konsert mayanya akan menikmati mutu persembahan yang sama seperti menghadiri konsert sebenar.

"Rasanya tidak akan ada masalah untuk saya memberikan persembahan terbaik kerana ia tetap akan ditonton secara langsung oleh peminat.

"Malah sebagai bonus untuk konsert maya kali ini saya juga akan memperdengarkan single terbaru saya buat pertama kalinya," kata Yuna.

Konsert yang dinamakan itu memerlukan peminat Yuna untuk membuat tempahan di laman www.nowyoucan.my/yuna dan hanya terbuka kepada 10,000 pendaftar pertama.

Penonton yang telah membuat tempahan boleh mendaftar masuk bermula pukul 7 malam sehingga 7.59 malam untuk menonton konsert berkenaan secara eksklusif.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: