Fazlyana Mohammad

Ramai orang mempunyai bakat dan rupa, namun tidak semua mendapat peluang untuk menceburkan diri dalam bidang seni.

Bagi pendatang baru seni suara, Fazlyana Mohammad, 18, dia berasa beruntung kerana mendapat peluang diimpikan dalam usia muda.

Lebih mesra disapa sebagai Fazlyana, mungkin tuah anak kelahiran Johor ini sudah termaktub dalam bidang nyanyian yang menjadi minatnya sejak kecil lagi.

“Memang saya minat menyanyi dari dulu lagi dan sering menyertai pelbagai pertandingan.

“Ketika terlibat dalam sebuah pertandingan anjuran RTM pada 2007, saya berpeluang bertemu dengan komposer terkenal, Julfekar, yang ingin menawarkan saya menjadi artis.

“Namun, waktu itu kami hanya bertemu sekejap dan kemudiannya terputus hubungan,” katanya.

Bak kata pepatah, kalau sudah rezeki tidak akan ke mana. Ternyata ‘jodoh’ Fazlyana dengan komposer yang pernah mendidik penyanyi terkenal, Azharina Azhar itu masih kuat.

Penglibatan Fazlyana sebagai peserta dalam pertandingan nyanyian anjuran sebuah akhbar dua tahun lalu sekali lagi membuka jalan buatnya.

“Secara kebetulan Julfekar turut terlibat dalam pertandingan itu dan saya pula memenangi tempat ketiga. Lalu, sekali lagi dia memberi tawaran yang sama dan saya menerimanya,” katanya.

Bagaimanapun, kata Fazlyana, dia yang baru mencecah usia 16 tahun ketika itu tidak terlalu ghairah dengan peluang di depan mata.

Baginya, pelajaran tetap perlu diutamakan dan dia sanggup menunggu sehingga dua tahun sebelum bergerak secara serius sebagai artis.

“Saya minta kebenaran Julfekar untuk hold dulu kerana saya perlu menghadapi Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) terlebih dahulu.

“Sebaik tamat SPM, barulah saya dapat menumpukan sepenuh komitmen terhadap bidang nyanyian,” katanya.


Single Bukanuntuk Sesaat

Bernaung di bawah syarikat rakaman Millenium Art Sdn Bhd milik Julfekar, ternyata perjalanan karier Fazlyana sudah disusun sebaiknya.

Baru-baru ini, Fazlyana bersama sembilan lagi artis yang sebumbung dengannya muncul dengan album berjudul DA 10.

Setiap artis diberi peluang merakamkan sebuah single ciptaan Julfekar, termasuklah Fazlyana yang mendapat kepercayaan membawakan lagu Bukan Untuk Sesaat.

Pernah menjadi lagu tema untuk sebuah telefilem, lagu itu dianggapnya sebagai platform untuk memperkenalkan namanya dalam industri.

Malah, Fazlyana turut teruja dengan penghasilan album DA 10 yang menonjolkan kekuatan setiap artis terlibat.

“Bagi saya, album ini ada kelainan berbanding album lain di pasaran kerana mempunyai pelbagai genre lagu yang berbeza.

“Saya sendiri secara peribadinya adalah peminat lagu-lagu dalam album ini, bukan kerana saya terlibat sama. Namun, kerana kekuatan dan keunikan album ini sendiri,” katanya.

Ketika ditanya mengenai pengalaman bekerja dengan Julfekar, menurut Fazlyana, dia selesa mendapat didikan komposer berpengalaman itu.

“Sangat senang bekerja dengan Julfekar kerana dia tahu kelemahan dan kekuatan kita sebagai artis.

“Malah, Julfekar juga banyak memberi tunjuk ajar dan panduan bagi saya melayari cabaran sebagai anak seni,” katanya.

Menurut Fazlyana, jika tiada halangan, dia akan tampil dengan album penuhnya tahun hadapan yang kini masih dalam proses pembikinan.

“Setakat ini, dua daripada lima lagu yang akan dimuatkan sudah pun siap menjalani rakaman.

“Album itu berkonsep pop balada kerana saya lebih selesa membawakan lagu-lagu berentak demikian,” katanya.


Sebumbung dengan kakak

Jika ada yang perasan, wajah Fazlyana pernah dilihat dalam program realiti terbitan TV3, Gangstarz musim kedua.

Ketika itu, Fazlyana menganggotai kumpulan South Trio bersama kakaknya, Farhana dan seorang rakan mereka, Mohd Dzul Fais Ismail.

Nasib tidak menyebelahi mereka di pertandingan itu dan South Trio juga berkubur setelah Fais membawa haluan sendiri.

Namun, perjuangan adik beradik itu tidak terhenti begitu saja apabila kedua-duanya kini bernaung di bawah bumbung sama, Millenium Art.

“Seronok apabila saya dan kakak sama-sama mendapat peluang ini, cuma kami tidak dapat bergabung lagi sebagai sebuah kumpulan kerana dia lebih cenderung kepada irama R&B.

“Apapun, kami saling menyokong karier masing-masing dan sering membantu satu sama lain,” katanya.