Tuesday, December 13, 2011

ALC TV tempatan bertaraf dunia


MD. AFENDI Hamdan (dua dari kiri) sewaktu melancarkan program dan produk rancangan televisyen yang dibawa ke ATF 2011 di Singapura, baru-baru ini.


LANGKAH Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menyertai Forum Televisyen Asia (ATF) 2011 di Singapura dari 7 hingga 9 Disember lalu telah membuka banyak ruang kepada syarikat-syarikat produksi tempatan bagi memasarkan produk-produk mereka di forum tersebut.

Seramai 63 penerbit termasuklah daripada medium drama, filem, dokumentari dan wakil-wakil stesen televisyen seperti RTM, Astro dan Media Prima Berhad bernaung di bawah bumbung Finas, merebut peluang pada forum yang dianjurkan buat kali ke-12 di negara itu.

Eurofine (M) Sdn. Bhd., salah satu syarikat produksi tempatan yang mengambil kesempatan itu bagi menjual saluran televisyen, Asia Living Channel (ALC) kepada stesen-stesen penyiaran di luar negara dengan menyediakan pelbagai bahan dokumentari dari negara-negara Asia.

Menurut Pengarah Urusannya, Ida Rahayu Md. Noor, ALC yang ditubuhkan pada tahun lalu dengan modal RM15 juta merupakan satu-satunya saluran TV kabel tempatan yang menyediakan dokumentari tentang budaya Asia untuk siaran di saluran-saluran TV luar negara.

"Untuk penerbitan pertama, ALC menyediakan 1,000 jam bahan dokumentari untuk dijual kepada mana-mana stesen di luar negara yang berminat dengan saluran baru ini. Sebanyak 80 peratus daripada dokumentari yang dipaparkan adalah dari Malaysia dan tentang budaya negara ini.

"Sementara 20 peratus lagi bahan dokumentari dalam ALC pula tentang budaya dari negara-negara Asia yang lain seperti Jepun, Korea Selatan, India dan Thailand. Kami membeli semua dokumentari itu daripada penerbit terbabit dan menjualnya secara pukal di luar negara.

"Harga jualan bagi setiap produk ALC bergantung kepada bilangan penonton sesebuah stesen televisyen yang menyiarkan saluran kami ini melalui perkhidmatan-perkhidmatan satelit yang menyediakan khidmat ini di seluruh dunia," katanya sewaktu ditemui di Singapura, baru-baru ini.

Eurofine yang telah 20 tahun terbabit dalam penerbitan drama dan rancangan televisyen katanya, mensasarkan jualan dan hak siaran ALC kepada stesen-stesen TV terutamanya dari Eropah dan Amerika Syarikat (AS) dalam usaha membantu menarik pelancong dari negara terbabit.

Tambahnya dengan durasi tayangan selama 1,000 jam untuk tempoh enam bulan itu, ALC secara tidak langsung diharap dapat membantu Kementerian Pelancongan bagi menarik lebih ramai pelancong dari Eropah dan AS ke negara ini pada masa depan.

"Saya difahamkan setakat ini tidak sampai sejuta pelancong dari dua benua itu yang berkunjung ke negara ini. Malah, daripada sekitar 26 juta pelancong yang datang ke negara kita pada setiap tahun, 18 juta daripadanya terdiri daripada pelancong dari negara-negara Asia.

"ALC mensasarkan jualan di 33 negara Eropah dan AS. Ini adalah langkah awal kami di mana pada masa depan, kami akan menubuhkan saluran televisyen lain seperti Toonz Asia Channel khas untuk rancangan-rancangan animasi dan Sutera Asia Channel pula untuk drama-drama," ujarnya.

Selain Finas, turut terbabit dalam ATF 2011 ialah agensi-agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Multimedia Supercoridor (MSC) serta Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

Penyertaan dari Malaysia

Finas boleh dikatakan berbaloi kerana menyertai ATF 2011 kerana perbadanan itu berjaya menarik 63 syarikat penerbit animasi, drama, filem tempatan termasuklah stesen-stesen penyiaran pada forum yang berlangsung di Pusat Konvensyen Marina Bay Sands, Singapura itu.

Pengerusi Finas, Datuk Md. Afendi Hamdan berkata, jumlah penyertaan itu yang terbesar dari Malaysia bagi memasarkan dan juga membeli rancangan-rancangan TV dari dalam serta luar negara di mana ia disertai 3,500 peserta dari lebih 10 buah negara di rantau ini.

"Tahun lalu hanya seramai 23 syarikat produksi yang menyertai ATF di mana tahun ini bilangannya bertambah tiga kali ganda. Kerajaan melalui Finas memberi galakkan kepada syarikat-syarikat produksi bagi memasarkan produk-produk mereka pada forum seperti ini.

"Finas menyediakan Pavilion Malaysia di ATF 2011. Semua syarikat produksi terbabit termasuklah stesen penyiaran seperti RTM, Media Prima Berhad dan Astro menggunakan pavilion ini bagi memasarkan produk atau membeli rancangan untuk siaran di stesen mereka.

"Malah, kerajaan juga menyediakan rebat sebanyak 50 peratus daripada kos-kos yang mereka gunakan untuk menyertai forum ini bagi memberi galakan dan kemudahan sewaktu menjalankan urusniaga di sini ," katanya sewaktu ditemui pada forum tersebut.

Jelas Md. Afendi, Finas yang telah menyertai ATF enam kali berturut-turut, merupakan salah satu inisiatif agensi itu membantu syarikat Malaysia terutamanya Bumiputra dalam memasarkan produk mereka ke luar.

Finas yang menjadi pemangkin dalam pembangunan industri perfileman di Malaysia turut mencari peluang pemasaran pada forum seperti ATF 2011 bagi menjadikan negara ini salah satu hub dalam pasaran filem, dokumentari dan animasi yang penting di rantau Asia.

"Malaysia misalnya telah terpilih sebagai tuan rumah pada Kongres Sains dan Penerbitan 2013 di mana tahun ini ia diadakan di Paris, Perancis dan tahun depan pula di Washington, Amerika Syarikat. Ia akan menarik ramai pembikin filem dan animasi dari seluruh dunia," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Finas, Mohd. Naguib Razak pula berkata, ATF 2011 mampu membawa pulangan lumayan terutamanya buat penerbit yang menjual produk mereka di mana anggaran jualan mampu mencecah RM25 juta.

Katanya, forum seperti itu juga akan mendedahkan penerbit dan pengedar rancangan TV Malaysia berurus niaga serta memasarkan produk mereka kepada wakil stesen-stesen TV dari luar negara.

"Banyak lagi bahan siaran TV yang belum dipasarkan di luar negara. Apatah lagi, di mata dunia Malaysia mempunyai banyak tarikan daripada sudut sosio, politik dan budaya yang boleh dikatakan eksotik serta belum diketahui penonton," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: