Tuesday, November 1, 2011

Lakonan karier sepenuh masa

pix_middle

TIGA tahun bergelar pelakon, nama Mon Ryanti barangkali masih ‘kabur’ dalam kalangan penonton tanah air. Malah, mungkin ramai yang tertanya-tanya siapakah gerangan si jelita ini dan apakah produk filem dan drama pernah dibintanginya?

Meraih peluang secara kebetulan pada 2009 apabila bahagian kakinya terpilih untuk menjadi poster filem Remp-It V3 Samseng Jalanan arahan Farid Kamil, anak jati Johor ini berkata dia tidak pernah pun berangan untuk membina karier dalam bidang seni.

  • Foto

    MON...bermula sebagai model poster.

  • Foto

    MON...bermula sebagai model poster.

Mon Ryanti atau nama sebenarnya, Mon Ryanti Muhammad Sahudina Lee, 23, berkata tuah kaki itu yang membuka jalannya. Walaupun, poster dihasilkan tidak lulus kerana hanya menampilkan paras punggungnya hingga kaki, peluang tetap ada.

“Saya kemudian dilamar pemilik MIG Productions Sdn Bhd, David Teo untuk menjadi pelakon. Ketika itu, perasaan saya berbelah bagi untuk menerima atau menolaknya kerana sedar diri tiada bakat dan tahu memang tak boleh berlakon langsung.


“Sifat malu yang tebal untuk beraksi di hadapan kamera adalah faktor utama.

Saya juga tak yakin boleh berlakon memandangkan tiada asas dalam lakonan. Ini kerana saya tidak pernah mendapat pendedahan dengan mengikuti bengkel atau kursus.

“Jadi, macam mana saya hendak berlakon dan pasti akan menyusahkan pihak produksi nanti. Apapun, David meyakinkan saya supaya mencuba dulu. Justeru, saya bulatkan tekad berlakon sekadar mencari duit poket,” katanya.

Menurut Mon Ryanti, ketika itu pun dia masih melanjutkan pengajian dalam bidang akaun dan kewangan. Jadi, enggan terlalu bergantung kepada kewangan keluarga, dia gigih berusaha mencari sumber pendapatan dengan terbabit sebagai model peragaan.

Memulakan langkah dalam lakonan dengan drama E-Toyol.com dan Julia Juli pada 2009, rezeki Mon Ryanti semakin murah pada 2010 dengan pelbagai drama terbitan MIG Productions dibintanginya seperti Epilog Syurga Cinta, Jalan Pinang Sebatang dan Cinta Tikar Sejadah.

Selain itu, dia juga berlakon dalam drama Takut Bini Sayang Suami, Adnan Sempi-It The Series, Duda & Dara serta Diva-Diva Pencen. Tidak terhenti setakat itu, Mon Ryanti turut memperoleh peluang beraksi di layar perak menerusi filem Mantra.

Apapun, lembaran 2011 nyata lebih luas untuknya apabila MIG Productions memberi kepercayaan lebih besar dengan melakonkan watak utama dalam filem seperti Nongkrong, Hantu Dalam Botol Kicap dan Keramat. Dia juga muncul dalam filem Super Duper Lover.

Tidak sekadar filem, Mon Ryanti juga terbabit menjayakan drama dan telefilem seperti Saya Tahu Apa Awak Buat Raya Lalu dan Klik. Katanya, dengan rezeki yang tak putus diterima, kini lakonan menjadi karier sepenuh masa walaupun saingan sengit.

“Kemunculan artis baru sekarang terlalu ramai dan di bawah naungan pengurusan MIG Productions saja kini ada 60 orang. Bagaimanapun, saya tidak gusar menghadapinya kerana yakin dengan bakat yang dimiliki pasti ruang rezeki tak ke mana.

“Apa yang penting bagi saya, lakonan ditonjolkan perlulah berkesan dan terbaik. Oleh itu, untuk memperolehnya saya sanggup mengulang beberapa kali sehingga mendapat apa yang diinginkan pengarah. Sebagai pelakon baru, saya masih belajar,” katanya.

Menurut Mon Ryanti, bukan mudah meraih kejayaan. Oleh itu, dia tidak malu mengulang babak dilakonkan beberapa kali demi kepuasan diri. Ujarnya, memandangkan lakonan adalah sumber pendapatannya, dia perlu melakukan sebaik mungkin.


Mon enggan dikait kontroversi

MEMILIKI pakej lengkap dengan wajah cantik dan tubuh seksi, apakah Mon Ryanti tidak bimbang dirinya akan dikaitkan dengan kontroversi?

Katanya, tak dinafikan ada juga kerisauan itu. Namun, dia sedar kontroversi adalah lumrah kehidupan artis.

“Dalam soal imej, saya berpakaian mengikut keselesaan. Justeru, saya harap tiada pihak cuba menyalah tafsir atau menjadikannya ruang untuk saya terbabit dengan kontroversi. Jujurnya, saya akui tidak mahu terjebak dengan sebarang kontroversi.

“Saya mahu diri ini dinilai dengan bakat lakonan ditonjolkan dan bukan menerusi perkara bukan-bukan termasuk imej. Apapun, jika terjebak juga dengan kontroversi, saya lebih selesa berbincang dengan pihak pengurusan, MIG Productions.

“Menerusi perbincangan, mungkin akan memperoleh jalan penyelesaian terbaik.
Bagaimanapun, saya sangat berharap penonton dapat menerima dengan menilai hasil lakonan dijayakan. Saya mahu dikenali dengan bakat diri,” katanya.

Ditanya mengenai penerimaan keluarga, Mon Ryanti berkata dia gembira mendapat sokongan daripada ibu bapanya. Jelas anak kedua daripada tiga beradik itu, dia takkan mensia-siakan kepercayaan keluarga dengan mempamerkan lakonan terbaik.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: