Monday, August 15, 2011

Tidak mahu gelojoh

  • Foto

  • Foto

Kemampuan Mas kian dihargai penerbit, pengarah

SEBENARNYA kita ramai bakat baru dan muda yang diketengahkan oleh syarikat penerbitan drama atau filem.
Sebahagian besar daripada mereka cukup bertuah kerana mendapat pendedahan dan publisiti sewajarnya daripada media. Ini untuk memastikan kehadiran bakat muda ini boleh digilap dan seterusnya memberikan hasil terbaik.
Jika dulu rumah saya tidak dikunjungi peminat, kini sebaik raya menjelang adalah juga peminat yang menjengah untuk beraya bersama. - Mas Muharni, pelakon.
Menariknya mereka hadir dengan latar belakang pendidikan berbeza. Kesedaran terhadap pentingnya pendidikan membuatkan artis baru hari ini mampu seimbangkan antara kerjaya seni dengan pelajaran.

Seorang daripada bakat baru yang yang mempunyai pakej tersendiri ditambah pula mempunyai pendidikan dalam seni persembahan menjadi bonus untuk gadis yang punyai nama indah, Mas Normuharni Sheikhah Mohd Satar dalam menghayun langkah seninya sebaik mungkin.

Kehadiran Ramadan yang suci ini juga membawa rahmat kepada gadis kelahiran Sungai Petani, Kedah ini apabila rezeki pada bulan puasa menjengah pintu kerjayanya sebagai pelakon.

Lebih dikenali sebagai Mas Muharni, gadis berusia 25 tahun disunting oleh Profesor Dr Hatta Azad Khan untuk digandingkan dengan Zul Huzaimy dalam filem Wayang.
Selepas itu, dia dilamar oleh Ahmad Idham untuk beraksi dalam filem Jangan Pandang Belakang. Begitu juga dengan filem Mantra.

Kini, dia perlahan-lahan membina nama sebagai bintang TV pula menerusi kemunculannya dalam deretan drama atau telefilem.

Publisiti dan cerita glamor mengenai Mas Muharni tidak sehebat beberapa bintang baru yang lebih cantik, tetapi bakat mereka belum benar-benar diuji.

Namun, mas Muharni pula dianggap agak bertuah kerana dia sering diberikan peranan utama yang selalunya agak berat dan mencabar kemampuan sebenar dirinya.

Ini jelas sekali, karyawan seni seperti produser dan pengarah sudah membuka mata untuk benar-benar melihat kelebihan yang ada pada empunya diri yang lebih selesa dipanggil Mas.

“Saya baru menjalani penggambaran telefilem Sujudku Di Sejadah. Saya membawakan watak wanita bertudung yang berperwatakan baik.

“Malangnya saya ditipu dan akhirnya menjadi seorang pelacur dan watak yang dibawakan ini memang berat juga untuk dibawa. Drama ini memerlukan penghayatan yang tinggi. Saya kena banyak menangis untuk menjiwai karakter Khatijah atau Khaty, anak kepada seorang wanita yang bongkak,” katanya.

Istimewanya, telefilem menarik ini turut membariskan pelakon berpengalaman dan berbakat besar Fauziah Nawi, Datuk Jalaluddin Hassan dan Razali Hussain.
Hakikatnya, Mas mengakui telefilem Sujud Di Sejadah ini adalah drama lakonannya yang paling mencabar setakat ini.

Katanya, bagi menjiwai watak sebagai wanita yang sudah ternoda, Mas membuat rujukan dengan menonton lakonan Lisdawati dalam drama Anak-Anak Lorong yang pernah ditayangkan sebelum ini.

Dilahirkan pada tahun 1986, Mas juga memberitahu, sebagai pelakon, dia perlu menerima semua watak yang dipertanggungjawabkan kepadanya dan misinya adalah memberikan yang terbaik supaya ia menjadi seperti yang dikehendaki pengarah.

Kena bijak main emosi

Berlakon drama yang berkisarkan kehidupan hitam seorang wanita, Mas mengakui dia perlu bijak bermain dengan emosi dalaman dan berhadapan dengan tekanan perasaan yang dialami watak sebaik mungkin.

"Sebagai pelakon yang masih baru, ada juga rasa gugup ketika berlakon dengan Fauziah Nawi yang menjadi ibu Khaty, tetapi apabila sudah biasa saya akhirnya mendapat apa yang diperlukan bagi melengkapi antara satu sama lain," kata Mas.

Selain Sujudku Di Sejadah, Mas Muharni juga muncul dalam drama Siti Mariam untuk stesen TV Al-Hijrah dengan membawa watak gadis kampung yang bekerja sebagai penoreh getah bernama Rohani.

“Dalam drama ini saya turut berlakon bersama Yatt Hamzah dan sempena Ramadan ini saya berlakon sebagai anak yang kehilangan ayah berjudul Kelong Kasih yang akan disiarkan pada 28 Ogos nanti,” katanya.

Drama lain yang menjadi rezekinya adalah watak pembantu dalam drama Suara Banduan dan Rebah Di Hujung Taubat arahan Feroz Khan sambil memberitahu Ramadan yang membuka tirainya kali ini cukup bermakna kepada kerjaya seninya dan dia begitu sibuk dengan beberapa penggambaran telefilem dan drama bersiri pada Ramadan ini.

Kisah Syawal Mas sama seperti kisah insan lain apabila menggunakan saat yang dinanti itu sebaik mungkin bersama keluarga tersayang dan sempena Syawal yang menjelang tiba, dia tidak terkecuali membuat persiapan diri dan membeli pakaian raya.

Seperti biasa saya akan pulang ke Kedah. Sudah menjadi kebiasaan bagi kami berkumpul di pagi raya dan menghidangkan juadah seperti ketupat, rendang dan kuih-muih selain bersalam-salaman pada pagi istimewa itu,” katanya.

Sudah hampir empat tahun beraya sebagai artis, Mas Muharni berkata, selepas bergelar artis sambutan rayanya agak berbeza daripada Syawal sebelumnya.

“Jika dulu rumah saya tidak dikunjungi peminat, kini sebaik raya menjelang adalah juga peminat yang menjengah untuk beraya bersama. Kanak-kanak pun ada yang mahu datang beraya dan seperti biasa saya sediakan duit raya untuk mereka,” katanya.

Antara hidangan yang paling digemari adalah ketupat palas dan rendang daging yang dihidangkan keluarganya.

“Saya tidak masak, tetapi selalu ditugaskan menjaga anak buah ketika ibu berada di dapur menyediakan hidangan untuk kami sekeluarga dan ia pengalaman yang cukup menyeronokkan

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: