Saturday, August 6, 2011

Takbir Cinta satukan Amy & Yassin

Ramadan tahun ini nyata membawa tuah kepada otai rock, Suhaimi Abdul Rahman, atau lebih popular dengan panggilan, Amy Search, kerana hasratnya untuk melancarkan single terbaru tercapai dengan Takbir Cinta. Dengan kemunculan single itu, berakhirlah penantian 10 tahun Amy untuk memiliki lagu baru, sekali gus menjadi hadiah bermakna buat peminat yang sudah lama menunggu.

Lebih bermakna, ia merupakan kolaborasi pertamanya bersama penyanyi Yassin yang turut bertindak sebagai komposer.

Mengulas tentang perkembangan terbarunya itu, Amy berkata, dia sangat teruja dan berharap peminat dapat menerimanya.

Menurutnya, single itu merupakan lagu pertamanya sempena menyambut kedatangan Ramadan dan Aidilfitri.

“Alhamdulillah, impian saya untuk bekerjasama dengan Yassin akhirnya terlaksana. Sebelum ini kami sama-sama sibuk bagaimanapun kolaborasi ini berjaya juga akhirnya.

“Saya memilih Yassin kerana meminati lagu yang digubah olehnya, lebih-lebih lagi dia seorang penyanyi nasyid kontemporari yang bagus,” katanya yang sangat mengagumi Yassin.

Amy berkata, mereka mengambil masa lebih tiga bulan untuk menyiapkan lagu itu, agar mendapat hasil yang terbaik.

“Secara peribadi, saya menganggap lagu ini cukup istimewa kerana ia adalah projek pertama saya untuk lagu bergenre Balada Rock World Music,” katanya yang baru menyambut ulang tahun kelahiran ke-53 pada 28 Julai lalu.

Seiring dengan penghijrahannya, Amy, memilih konsep ketuhanan untuk single terbarunya itu, namun tidak bermakna dia sudah melupakan genre rock yang selama ini cukup sebati dengan dirinya.

“Lagu berunsur ketuhanan ini saya buat bagi projek yang tertentu. Sama seperti Takbir Cinta, ia dihasilkan sempena bulan mulia dan hari raya tahun ini.

“Rasanya, perubahan yang dibawa tidak salah, bahkan ia membawa pengalaman baru bagi saya,” ujarnya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran single Takbir Raya di restoran miliknya, Cheng Ho, baru-baru ini.

Selain melancarkan single terbarunya itu, Amy turut meraikan hari lahirnya dengan menjemput anak-anak tahfiz.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: