KESAN PSIKOLOGI...tanda pada muka beri gangguan emosi kepada kanak-kanak.
MASIH jelas di ingatan Manaka Singh bagaimana dia disisihkan keluarganya sendiri ketika kecil. Lebih menyedihkan orang tua dalam keluarga yang diharap dapat dijadikan tempat mengadu pula paling kuat menuduhnya dirasuk syaitan. Semuanya disebabkan kehadiran tanda lahir pada leher wanita berusia 34 tahun dari New Delhi itu.
Bagi Nur Atikah Ahmad, 25 (bukan nama sebenar), tanda lahir pada dagunya sering menjadi bahan ketawa kawan-kawan. Sejak di sekolah rendah lagi tanda lahir itu selalu membuatkan dia berasa rendah diri dan kurang yakin. Apa yang membuatkan dia lebih tertekan ialah ketika berada di khalayak ramai kerana pandangan orang akan tertumpu pada tanda lahir di dagunya itu.
Kesan psikologi dialami Manaka dan Nur Atikah sebenarnya turut dirasai semua individu yang mempunyai tanda lahir yang boleh dilihat dengan jelas. Pengarang akhbar mingguan terbesar di Amerika, LA Style, Joie Davidow juga melalui kepahitan diejek, dipersenda dan menjadi tumpuan renungan kerana mempunyai tanda lahir yang memenuhi separuh pipi kirinya.
Dia berkata, ketika kecil ibunya memberitahu tanda lahir itu adalah tempat sentuhan malaikat, malah tanda itulah yang membuatkan dia istimewa dan cantik. Namun, kata-kata penyedap hati itu terpadam apabila kawan-kawan di sekolah menengah mengejek dan memberinya pelbagai nama gelaran, menyebabkan dia tertekan, rendah diri dan lebih malang ejekan itu berlarutan hingga dewasa.
Menurut Perunding Paediatrik Pusat Perubatan Kelana Jaya, Dr Syed Nazir MS Kadir, tanda lahir adalah perkara biasa dan boleh dikatakan kebanyakan bayi mempunyai tanda lahir seperti tahi lalat kecil; tompok merah di dahi, belakang badan, leher atau mana-mana bahagian badan.
Tanda lahir bermakna tanda berwarna di atas atau bawah kulit bayi baru lahir. Walaupun ia dipanggil tanda lahir, tanda ini tidak semestinya ada ketika seseorang bayi dilahirkan. Sesetengah tanda lahir seperti hemangioma terbentuk beberapa minggu selepas bayi dilahirkan.
Ada banyak jenis tanda lahir. Ia berbeza saiz, bentuk dan warna - daripada biru, biru kelabu, coklat, hitam, merah jambu, putih, merah atau ungu. Ada yang licin dan ada pula timbul. Memang hampir semua tanda lahir ini kekal tetapi ada beberapa jenis akan pudar apabila kanak-kanak membesar.
Bagaimana berlakunya tanda lahir? Tanda lahir berlaku ketika perkembangan kulit.
Kadangkala tanda lesi pada �kulit dikaitkan dengan perkembangan otak, namun kebanyakan kes tanda lahir tidak berbahaya.
Pakar perubatan percaya ia disebabkan terlebih warna atau pigmentasi pada kulit. Namun, sesetengah tanda lahir disebabkan salur darah yang bergumpal atau tidak membesar secara normal.
Sehingga kini pakar sains masih tidak tahu kenapa sesetengah bayi boleh mendapat tanda lahir dan setengah lagi tiada. Kebanyakan kepercayaan masyarakat mengaitkannya dengan sesuatu yang dilakukan atau tidak dilakukan oleh ibu ketika hamil contohnya keinginan makan strawberi menyebabkan tompok merah.
Malah, masyarakat di negara maju seperti Jepun melarang wanita hamil daripada merenung api kerana ia dipercayai boleh mengakibatkan tanda kemerahan pada kulit bayi, sedangkan semuanya tidak berasas.
Kebanyakan tanda lahir tidak berbahaya, tetapi sesetengahnya mungkin perlukan rawatan khususnya bagi tujuan kosmetik atau pertumbuhan yang cepat. Malah, dalam keadaan tertentu ia boleh menjadi tanda kepada penyakit lain.
Jenis tanda lahir
Tanda lahir boleh dibahagikan kepada beberapa jenis iaitu:
Tompok cafe-au-lait - Seperti namanya, tanda lahir jenis ini berwarna seperti kopi. Ia sangat lazim dan boleh berlaku pada mana-mana bahagian badan dan biasanya tidak memerlukan rawatan.
Biasanya ada satu atau sepasang tompok cafe-au-lait. Bagaimanapun, ada juga bayi mempunyai banyak tompok yang dipanggil neurofibromatosis iaitu keadaan yang ada kaitan dengan faktor genetik. Jika anak anda mempunyai lebih daripada enam tompok cafe-au-lait, minta pendapat doktor sama ada si kecil perlukan pemeriksaan lanjut.
Nevus kongenital - Tanda ini boleh dilihat ketika bayi dilahirkan. Tanda ini biasanya besar, berwarna gelap dan timbul seperti tahi lalat di kulit kepala atau badan. Saiznya berbeza antara satu sentimeter hingga 14 sentimeter yang merangkumi kawasan luas. Kanak-kanak dengan tanda lahir ini terutama jika saiznya besar berisiko mendapat kanser kulit ketika dewasa.
Tompok biru Mongolia - Bentuknya kadangkala tidak jelas kerana ia besar dan kelihatan merebak. Warnanya yang biru-kelabu sering menyebabkan ia disalah anggap sebagai kesan lebam. Tanda lahir jenis ini lebih kerap dialami bayi yang berkulit gelap terutama daripada keturunan Asia. Ia boleh ada di mana-mana bahagian badan terutama belakang, punggung, kaki dan tangan. Tanda lahir jenis ini boleh hilang apabila bayi besar dan tidak memerlukan rawatan.
Ini adalah tanda lahir yang paling biasa pada bayi Asia Timur. Bayi mungkin dilahirkan dengan satu atau lebih tompok biru Mongolia dan saiznya berbeza-beza daripada satu tompok kecil pada punggung hinggalah hampir memenuhi belakang badan.
Tanda jenis ini juga boleh berlaku pada 90 hingga 95 peratus bayi Afrika Timur dan 80 hingga 85 peratus bayi penduduk asli Amerika. Hampir 90 peratus bayi Polinesia dan Mikronesia (penduduk di kepulauan Lautan Pasifik) ada tanda lahir ini. Malah, hampir 46 peratus kanak-kanak Amerika Latin juga dilahirkan dengan tanda ini. Walaupun ia turut ditemui pada bayi berkulit putih, tetapi jumlahnya lebih rendah (satu hingga 10 peratus saja). Orang yang tidak pernah melihat tanda lahir ini mungkin tersilap anggap ia sebagai lebam.
Tanda pewarna port-wine - Ini adalah tanda lahir yang kekal, berwarna merah jambu terang dan boleh bertukar menjadi merah atau ungu dengan peningkatan umur bayi. Biasanya tanda lahir ini ada di muka dan leher, tetapi ia juga boleh muncul di bahagian lain badan.
Kulit yang berwarna ini boleh menjadi tebal sedikit, timbul dan permukaannya tidak rata apabila kanak-kanak membesar. Perubahan inilah yang boleh menyebabkan masalah perubatan atau tekanan emosi kepada kanak-kanak kerana mereka sering menjadi bahan ejekan atau usikan. Dianggarkan sejuta penduduk Amerika mempunyai tanda lahir jenis ini dan kebanyakannya mengalami kesan psikologi seperti rasa rendah diri dan masalah untuk bersosial.
Tanda lahir ini boleh dirawat melalui terapi laser. Kebanyakan tanda pewarna port-wine tidak dikaitkan dengan masalah kesihatan, tetapi ada kalanya ia berlaku dengan sindrom Klippel-Trenaunay atau sindrom Sturge-Weber yang perlukan pemeriksaan lanjut.
Tanda gigitan bangau atau tompok salmon - Ia juga dipanggil ‘ciuman malaikat’. Tanda lahir ini berwarna merah jambu atau kemerahan, biasanya ada di bawah garis rambut di tengkuk, atas kelopak mata atau di antara dua mata. Ia disebabkan gumpalan salur darah di bawah kulit.
Tanda gigitan bangau di dahi, kelopak mata atau antara dua mata biasanya pudar dengan peningkatan umur. Bagaimanapun, jika tanda ini ada di tengkuk, ia tidak akan pudar, tetapi boleh ditutup dengan rambut dan biasanya tidak memerlukan rawatan.
Hemangioma - Warnanya merah jambu atau merah, membesar pada tahun pertama dan akan pudar secara perlahan-lahan dengan peningkatan umur. Pada umur 10 tahun, kanak-kanak tanda ini biasanya tidak kelihatan atau jika ada, sangat kecil. Malah, pertumbuhannya juga kelihatan terhenti.
Biasanya tanda lahir jenis ini tidak memerlukan rawatan, tetapi jika hemangioma yang dialami itu menunjukkan pertumbuhan cepat, maka ibu bapa membawa anak mendapatkan rawatan sama ada ubat atau terapi laser.
Masalah boleh timbul jika hemangioma dekat dengan mata (ia boleh menjejaskan penglihatan), sukar bernafas (jika di kerongkong), sukar menelan (jika di mulut) atau buang air (jika di celah kangkang). Malah, kanak-kanak yang ada tiga atau lebih hemangioma di kulit disarankan supaya menjalani pemeriksaan untuk hemangioma dalam badan, kerana ia boleh berlaku sekali.
Lebih 80 peratus hemangioma bayi berlaku pada kepala dan leher. Ia akan membesar sehingga 80 peratus daripada saiz maksimumnya dalam masa tiga bulan pertama (selepas dilahirkan) dan kebanyakannya berhenti membesar pada umur lima bulan. Bagaimanapun, hemangioma masih boleh membesar sehingga bayi berkenaan berumur 18 bulan.
Selepas tempoh ini, hemangioma mula mengecut atau berhenti membesar. Proses ini boleh mengambil masa antara tiga hingga 10 tahun. Hampir semua hemangioma kanak-kanak yang rata hilang sendiri tanpa rawatan.
Pun begitu, hemangioma besar dan timbul mungkin tidak mengecut sepenuhnya, dan ia akan meninggalkan tanda parut tidak rata yang nipis pada kulit (atrofi) atau parut berlekuk (anetoderma) yang berlaku pada sekurang-kurangnya 50 peratus kes.
Rawatan dan kesan psikologi
“Kebanyakan tanda lahir tidak berbahaya dan ada yang boleh hilang sendiri. Bagaimanapun jika ibu bapa masih ragu-ragu, bawalah anak berjumpa doktor. Doktor akan menentukan sama ada anak anda memerlukan pemeriksaan lanjut atau tidak. Namun, secara umumnya ibu bapa tidak perlu risau,” katanya.
Isu kesihatan mungkin tidak sebesar kesan psikologi dialami individu yang memiliki tanda lahir yang boleh dilihat dengan jelas seperti Manaka, Nur Atikah dan Davidow. Walaupun ketiga-tiganya tidak kenal satu sama lain dan tinggal di negara yang jaraknya jauh beribu kilometer, tetapi masalah yang dialami tetap sama iaitu kesan tanda lahir pada sahsiah dan keyakinan diri.
Malah, ibu bapa yang mempunyai anak dengan tanda lahir juga mendapat tempias tekanan terutama apabila melihat buah hati kesayangan bersedih kerana diejek, diusik atau dipulaukan rakan.
Kajian di negara maju seperti United Kingdom (UK) mendapati sembilan daripada 10 orang masih membuat tanggapan negatif terhadap mereka yang mempunyai tanda pada muka. Kajian itu menandakan orang yang ada tanda lahir di muka masih diketepikan kerana rupa paras yang ‘kurang sempurna’ walaupun mempunyai keupayaan.
Ini menyebabkan wujudnya pertubuhan seperti Persatuan Sokongan Tanda Lahir dan persatuan kebajikan Changing Faces di UK untuk membantu menguatkan semangat individu yang ada tanda lahir atau kekurangan pada wajah selain merancang aktiviti sosial.
Seorang juruterapi pertuturan bahasa dari Buckinghamshire (UK), Debbie Begent berkata, tanda lahir pada mukanya memberi kesan besar kepada peluangnya mendapat kerja. Dia mengambil masa tujuh bulan menghadiri puluhan temu duga untuk mendapatkan pekerjaan walaupun memiliki kelayakan sebaik rakan sekuliah yang lain.
Dalam soal ini, Debbie beruntung kerana mempunyai ibu yang sentiasa memberi kata semangat. Ibunya sentiasa �memberitahu bahawa tanda lahir di mukanya itu tidak akan menjadi penghalang untuk dia mencapai kejayaan. Malah, ibunya turut berpesan, kalau ada orang yang menyakitkan hatinya kerana tanda lahir itu, bermakna mereka tidak sesuai dijadikan kawan.
Sebelum dia bersekolah, ibunya pergi berjumpa guru dan kanak-kanak di sekolah berkenaan untuk menerangkan mengenai tanda lahir supaya mereka tidak mempersendakan rakan sebaya yang mempunyai tanda lahir seperti Debbie.
Bagi kanak-kanak dari Connecticut, Lindsey Brown, 11, dia tidak kisah dengan tanda lahir pada mukanya. Bagi Lindsey, apa yang penting ialah kecantikan dan keyakinan itu sebenarnya datang dari dalam diri bukan pada wajah.
Bagaimanapun, bukan semua orang mempunyai keyakinan tinggi seperti Davidow, Debbie atau Lindsey. Tanda lahir boleh dibuang melalui pembedahan kecil atau terapi laser. Malah, dalam Islam rawatan untuk menghilangkan sesuatu yang jelek daripada anggota badan dengan tujuan perubatan, mengelakkan kemudaratan atau mengembalikan keadaan asal adalah dibenarkan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: