Tuesday, August 16, 2011

Stigma masih kuat selepas 30 tahun

Tidak semua penghuni Baitul Cakna positif HIV, tetapi masing-masing menjaga satu sama lain seperti sebuah keluarga besar.

SEJAK diisytiharkan sebagai epidemik pada awal 1980-an, stigma yang menyelubungi HIV/AIDS tidak pernah berkurangan apatah lagi mesej-mesej kesedaran berunsurkan kematian dan kejahatan masih segar dalam ingatan ramai rakyat Malaysia walaupun hampir tiga dekad telah berlalu.

Bukankah ini sesuatu yang merugikan sedangkan pada ketika itu, maklumat mengenai transmisi jangkitan langsung tidak diketahui umum, jauh sekali kewujudan kempen-kempen kesedaran sehingga ke kawasan pedalaman atau lokasi berisiko tinggi seperti lokasi perdagangan seks dan tempat berkumpulnya pengguna dadah tegar.

Menurut Presiden Majlis AIDS Malaysia (MAC), Tan Sri Zaman Khan, paling menyedihkan baginya apabila orang yang hidup dengan HIV/AIDS (ODHA) dibuang oleh keluarga sendiri. Stigma ini mengakibatkan kesan lebih buruk kepada anak-anak mangsa HIV yang dipinggir oleh saudara dan masyarakat lantas memutuskan mereka dengan kemudahan kesihatan, pendidikan dan kelangsungan hidup secara keseluruhannya.

“Stigma dan ketakutan mengatasi perikemanusiaan terhadap darah daging sendiri. Mereka sanggup meminggir penghidap HIV kerana minda dihantui stigma bahawa HIV/AIDS adalah hukuman mati bagi jenayah tidak bermoral dan hanya boleh dijangkiti golongan hina.

Zakuan Sawai memberikan penjelasan mengenai Manual Islam & HIV/AIDS kepada media.

“Ini merupakan sebab utama kerana masih ramai enggan atau bimbang untuk menjalani ujian. Mereka takut dibuang keluarga atau lebih teruk, suami dan isteri sendiri. Justeru ramai yang menjalani gaya hidup berisiko tinggi tetapi enggan mengambil langkah berjaga-jaga,” tegasnya.

Zaman berkata, bukan sahaja pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikecam kerana berusaha membantu ODHA malah agensi kerajaan juga tidak terkecuali, seperti Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) yang memainkan peranan penting dalam menyebarkan pendidikan kepada pasangan Islam positif HIV seperti penggunaan kondom.

“Jakim juga kerap menerima kritikan kerana menggalakkan penggunaan kondom. Tetapi masyarakat perlu faham, ini pasangan yang sudah sah berkahwin tetapi menghidap HIV, mereka boleh menjalani kehidupan suami isteri seperti biasa malah melahirkan anak dengan khidmat nasihat yang betul,” ujarnya.

Beliau juga kesal apabila stigma yang sama menjadi punca pertikaian usaha NGO seperti MAC untuk mengurangkan jangkitan melalui kempen seks selamat yang pada hari ini disifatkan sebagai faktor terbesar punca jangkitan di Malaysia membabitkan seks bebas.

“Bukan sahaja penduduk luar bandar dan miskin, malah di gudang ilmu juga terdapat golongan pendidik dan persatuan ibu bapa yang prejudis terhadap para pelajar positif HIV atau merupakan waris kepada penghidap HIV/AIDS.

Selebriti Sokongan Riben Merah (RRCS), Shah Shamshiri menjelaskan pentingnya kesedaran media dalam memperjelaskan situasi sebenar mengenai HIV/AIDS kepada umum.

“Jika kita menjauhi topik ini, bagaimana hendak mendidik generasi akan datang tentang bahaya AIDS dan langkah-langkah pencegahan yang betul? Adakah kita mahu ia merebak menjadi epidemik lebih buruk apabila lebih ramai mati akibat AIDS kerana enggan menjalani ujian pengesanan?” ujar beliau.

Laporan media gambaran prejudis

Zaman dalam nada kecewa turut mendedahkan sikap segelintir media yang menjadikan elemen seks dan kematian membabitkan isu AIDS sebagai bahan sensasi sehingga mengabaikan fakta bahawa HIV/AIDS juga merupakan sejenis penyakit dan menjejaskan kehidupan penghidapnya secara mental dan fizikal.

Sedangkan pihak media merupakan pemegang amanah terbesar dalam menyedarkan masyarakat bagi meningkatkan lagi kefahaman mengenai HIV/AIDS bagi menghapuskan stigma dan diskriminasi terhadap lebih 91,000 rakyat Malaysia yang hidup dengan HIV.

“Bukan sahaja sesetengah laporan itu langsung tidak didorong motivasi untuk mendidik rakyat tentang kesihatan, sebaliknya ia menjadi bahan sensasi negatif yang menggambarkan prejudis penulis itu sendiri.

“Walaupun dengan sokongan positif banyak media pada hari ini namun masih ada lagi yang lebih menumpukan kepada elemen pelik, ngeri dan menakutkan bagaimana virus HIV itu boleh dijangkiti dan membunuh ramai orang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Bengkel Keprihatinan HIV Bersama Media 2011 di Tanjong Jara Resort Dungun, Terengganu baru-baru ini. Ia merupakan anjuran MAC dengan kerjasama Kementerian Kesihatan, Jakim, YTL Hotel & Resorts dengan dihadiri wakil media termasuk Pertubuhan Berita Nasional (Bernama), The Breakfast Club (Bernama TV), The Star, Harakah, New Straits Times dan majalah Kumpulan Karangkraf, ILUVISLAM.

Bengkel itu turut dikendalikan Selebriti Sokongan Riben Merah (RRCS) MAC, Shah Shamshiri yang menerangkan kesilapan lazim digunakan dalam laporan media membabitkan isu HIV/AIDS. “Kami berharap inisiatif ini dapat menarik penglibatan media tempatan dalam usaha membangkitkan kesedaran menyeluruh bagi menghapuskan stigma di kalangan rakyat Malaysia terhadap ODHA,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: